Ads

Kuasa Beli Makin Terhakis: Kenapa RM100 Sekarang Rasa Cepat Habis?

Kuasa Beli Makin Terhakis: Kenapa RM100 Sekarang Rasa Cepat Habis?

 

Pernah tidak anda rasakan bila memasuki kedai dengan sekeping RM100 dan keluar dengan beberapa barang sahaja, tetapi baki duit yang dibawa pulang hampir tiada?

Dulu, RM100 mungkin terasa seperti jumlah yang agak besar untuk dihabiskan kepada makanan, barang keperluan ataupun untuk mengisi minyak.

Hari ini, jumlah yang sama boleh habis tanpa kita sedari. Bukan kerana kita semakin boros. 

Salah satu sebabnya ialah kuasa beli kita hari ini makin berubah dari masa ke masa. Ianya dipengaruhi oleh inflasi dan peningkatan kos barangan serta kos perkhidmatan.

RM100 masih RM100, tetapi apa yang boleh dibeli sudah jauh berbeza.

Secara mudahnya, inflasi bermaksud peningkatan umum harga barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi dalam tempoh tertentu.

Apabila harga barang meningkat, nilai sebenar wang yang kita pegang dari segi kuasa beli menjadi lebih rendah.

Sebagai contoh mudah, jika dahulu RM100 boleh digunakan untuk membeli lima jenis barangan pada harga RM20 setiap satu, peningkatan harga bermakna jumlah yang sama mungkin hanya mampu sedikit barangan atau kurang.

Akan tetapi nilai wang tidak berubah.

Harga yang perlu dibayar yang berubah

Data jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan indeks harga pengguna digunakan untuk mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh sebuah isi rumah dari semasa ke semasa.

Sebab itu, apabila kadar inflasi meningkat, pengguna biasanya mula merasakan tekanan apabila membeli barangan harian.

Tetapi ada satu lagi sebab: gaya hidup kita turut berubah

Inflasi bukan satu-satunya sebab RM100 rasa sedikit. Namun cara kita berbelanja juga sudah banyak berubah.

Hari ini, seseorang mungkin membayar makanan menggunakan e-wallet, melanggan beberapa platform penstriman, menggunakan aplikasi penghantaran makanan, membeli kopi sebelum bekerja dan membuat pilihan secara dalam talian.

Setiap transaksi mungkin kelihatan kecil dengan jumlah RM8, RM12, RM15, dan RM20. tetapi apabila semuanya dikumpulkan, jumlahnya boleh menjadi besar.

Masalahnya, pembayaran secara digital juga membuatkan kita kurang merasakan “kehilangan” wang berbanding menyerahkan wang secara tunai.

Bayangkan rutin harian kita sebagai pekerja. 

Ads

Sarapan Rm8, Kopi Rm7, makan tengah hari Rm15, penghantaran atau pengangkutan Rm10, dan makanan ringan atau minuman Rm5.

Apabila kita jumlahkan kesemuanya, perbelanjaan seharian kita sudah sebanyak Rm45. Perkara ini tidak termasuk makan malam, minyak kenderaan, tol, parking atau komitmen lain sehari-hari.

Sebab itu seseorang akan cepat berasa

Aku baru keluar RM100 pagi tadi. Mana hilang semua duit tu?”

Jawapan mungkin bukan satu pembelian besar. Ia mungkin hilang sedikit demi sedikit.

Kos hidup bukan sekadar harga nasi dan minyak

Apabila bercakap mengenai kos sara hidup, ramai terus melihat harga makanan atau petrol. Tetapi perbelanjaan isi rumah sebenarnya merangkumi pelbagai kategori.

Menurut DOSM, perbelanjaan penggunaan isi rumah merangkumi perkara seperti makanan, perumahan, utiliti, pengangkutan, restoran dan penginapan. Maklumat serta komunikasi, kesihatan dan pendidikan juga termasuk dalam kategori perbelanjaan.

Maksudnya, tekanan terhadap kewangan seseorang bukan hanya datang daripada satu barang yang menjadi mahal. Ia boleh datang dari beberapa perbelanjaan serentak.

Harga makanan meningkat sedikit demi sedikit, bil-bil meningkat, kos perjalanan serta sewa rumah perlahan naik, kemudian ditambah pula dengan komitmen seperti pinjaman, langganan dan pembelian secara ansuran.

Akhirnya jumlah wang yang tinggal selepas komitmen menjadi semakin kecil.

Kenapa gaji naik tetapi masih rasa tidak cukup?

Ini antara persoalan yang sering timbul. Seseorang mungkin menerima kenaikan gaji, tetapi masih merasakan keadaan kewangan tidak banyak berubah.

Ads

Salah satu sebabnya ialah lifestyle inflation atau peningkatan gaya hidup apabila pendapatan meningkat.

Apabila gaji bertambah, perbelanjaan juga boleh bertambah. Dulu makan di kedai biasa, selepas gaji meningkat lebih kerap makan di restoran mahal.

Dulu menggunakan telefon lama. Selepas pendapatan bertambah, ambil telefon baru secara ansuran. 

Dulu jarang bercuti, kemudian mula bercuti beberapa kali setahun. Perkara ini tidak salah, namun jika peningkatan pendapatan hampir semuanya diikuti peningkatan perbelanjaan, jumlah simpanan mungkin tidak banyak berubah.

Masalah sebenar bukan RM100

Sebenarnya, persoalan yang lebih besar bukanlah “kenapa RM100 cepat habis” tetapi “berapa banyak kuasa beli yang kita hilang dan berapa banyak perbelanjaan yang kita tambah tanpa sedar?”

Dua perkara itu kembali pada masa yang sama. 

Harga sesetengah barangan dan perkhidmatan berubah mengikut keadaan ekonomi, manakala corak perbelanjaan seseorang turut mencari cara untuk mendapatkan lebih banyak duit.

Ianya juga mengenai mengetahui ke mana duit tersebut pergi.

Cuba buat eksperimen RM100

Jika mahu tahu sejauh mana duit anda benar-benar pergi, cuba satu perkara mudah. Ambil RM100 kemudian catat setiap perbelanjaan sehingga jumlah itu habis.

Jangan abaikan perbelanjaan sehingga jumlah itu habis. Jangan abaikan perbelanjaan kecil. Setiap perbelanjaan perlulah dicatat. Selepas semuanya dicatat, mungkin anda akan terkejut melihat berapa banyak duit yang sebenarnya hilang melalui perbelanjaan kecil.

Ads

Daripada situ, lebih mudah untuk menentukan perkara mana yang perlu dikurangkan.

Bukan bermaksud kita perlu berhenti menikmati hidup

Mengurus kewangan tidak bermaksud seseorang perlu mengharamkan semua perkara yang menyeronokkan.

Kopi masih boleh diminum, makan di restoran masih boleh, bercuti masih boleh, membeli barang yang kita suka juga masih boleh. Cuma yang berbeza ialah kita tahu kemampuan sendiri.

Masalah bermula apabila gaya hidup yang kita mahukan lebih besar daripada kemampuan kewangan yang kita ada.

Pada akhirnya, bukan siapa yang paling banyak mendapat gaji yang semestinya mempunyai kewangan paling sihat.

Sebaliknya, mereka yang tahu mengurus apa yang ada mungkin mempunyai kedudukan yang lebih kukuh.

BACA JUGA : OPR 2.75 Peratus Dijangka Kekal, BNM Berdepan Tekanan Global

RM100 hari ini mengajar satu perkara

Wang tidak semestinya kehilangan nilainya secara tiba-tiba.

Perubahannya berlaku sedikit demi sedikit.

Harga naik, Kos meningkat, Keperluan bertambah, Gaya hidup berubah.

Dan tanpa sedar, apa yang dahulu terasa banyak kini terasa sedikit.

Jadi, apabila anda mengeluarkan sekeping RM100 dan tertanya-tanya ke mana wang itu pergi, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat bukan hanya harga barang.

Lihat juga tabiat berbelanja sendiri.

Kerana dalam keadaan kos sara hidup yang sentiasa berubah, kemahiran paling penting bukan sekadar tahu bagaimana mahu mendapatkan wang.

Tetapi tahu bagaimana mahu memastikan wang yang diperoleh tidak hilang tanpa kita sedari.

Sumber Rujukan : DOSM

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
SIGHTFUTURE

SIGHTFUTURE Kini Di Malaysia, Bawa Pendekatan Sains Untuk Atasi Kulit Kusam...

Masalah kulit kusam, tona tidak sekata dan hiperpigmentasi antara perkara yang sering menjadi perhatian dalam rutin penjagaan kulit. Kini, pengguna Malaysia mempunyai satu lagi...