Sebuah lakonan yang baik mempunyai kuasa untuk menyentuh jiwa dan hati penonton, demikian perkara yang disedari oleh Zahiril Adzim tatkala menonton lakonan Allahyarham Sudirman Haji Arshad suatu ketika dahulu.
Ketika masih kecil, Zahiril masih ingat menonton filem Kami, khususnya ketika babak di mana watak Tookoo sedang bersedih bersendirian di dalam sebuah bas.
Dia kagum bagaimana lakonan itu mampu membuatnya turut bersedih, dan dari saat itulah timbulnya minat Zahiril untuk menceburi dunia lakonan.
Selepas tamat persekolahan, Zahiril pada awalnya menyambung pengajian dalam bidang rekaan grafik namun mengambil keputusan untuk berhenti di pertengahan jalan.
Kemudian dia disyorkan oleh rakan-rakannya untuk menceburi bidang seni lakonan pula, maka Zahiril menyambung pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya ambil Diploma Teater, memang tujuan saya masuk itu memang saya nak cari ilmu tentang lakonan sebab masa itu saya rasa pelakon ini adalah satu kerjaya profesional,” ujar Zahiril.
“Jadi untuk menjadi seorang pelakon saya perlu ada satu kelulusan. Saya mendekati lakonan ini sebagaimana orang mendekati nak jadi doktor, arkitek, jurutera. Kena ada kelulusan”.
Menjelang tamatnya pengajian di akademi itu, Zahiril sudah mula menghadiri pelbagai ujibakat untuk mencari peluang berlakon.
Selepas penolakan demi penolakan, Zahiril akhirnya berjaya membuat kemunculan pertamanya di hadapan kamera menerusi drama bersiri Kami pada tahun 2008.
“Sampailah saya pergi ujibakat Red Communication, baru saya dapat diambil sebagai antagonis, masa itu saya jadi watak sampingan lah,” kongsinya.
Ads
Akui Bersifat Memilih
Sebagai seorang pelakon, Zahiril mengakui yang dia bersifat selektif dalam memilih naskah untuk dilakonkan
“Saya akan tengok watak, jalan cerita, siapa pengarah dan pasukan produksi. Tapi jalan cerita dan watak yang paling saya titik beratkan,” katanya.
Jelasnya, segala tawaran lakonan dan hal-hal bayaran diuruskan oleh isterinya, Shera Aiyob yang juga berperanan sebagai pengurusnya.
Selepas itu, barulah Zahiril akan mula membaca naskah yang telah diterima melalui Shera.
Zahiril akan menolak dari melakonkan naskah tersebut jika dia kurang berminat selepas membacanya.
Impak Filem “Pekak”
Di antara pelbagai jenis watak lakonannya, Zahiril mengganggap lakonannya sebagai Uda menerusi filem Pekak pada 2015 meninggalkan kesan yang begitu mendalam sehingga ke kehidupan peribadinya.
Zahiril masih ingat bagaimana dia perlu mengambil masa selama lebih kurang dua minggu untuk memulihkan keadaan dirinya.
Ads
Bahkan, dia yang perlu memasuki set penggambaran bagi filem Juvana selepas itu terpaksa menghubungi pihak produksi untuk memohon penangguhan.
Menurut Zahiril, dia banyak menghabiskan masa berseorangan demi mendalami watak Uda, seorang lelaki cacat pendengaran yang penyendiri.
Sebagai seorang individu yang sempurna deria pendengarannya di dunia nyata, Zahiril akui sukar untuk memahami dan mendalami watak itu.
Oleh itu, pengarah filem berkenaan memberikan Zahiril satu bunyi dengungan untuk membantu Zahiril mendalami watak seorang lelaki pekak.
“Sepanjang permulaan penggambaran saya dengar itu (dengungan) sahaja… Saya tutup deria pendengaran saya sepanjang dua minggu yang pertama. Pergi set pun saya tak bercakap dengan sesiapa,” kongsinya.
Malah, seluruh warga produksi turut memberi kerjasama dengan tidak berkomunikasi secara lisan dengan Zahiril sepanjang berada di set penggambaran.
Ads
Bagaimanapun tanpa disedari, kesan daripada kehidupan sebagai lelaki pekak itu berlanjutan dalam hidup Zahiril selama beberapa minggu walaupun selepas tamatnya penggambaran.
Maka Zahiril memutuskan untuk keluar berjalan dan berjumpa dengan rakan-rakannya demi menghubungkan kembali dunia sosialnya.
Setiap pelakon mempunyai cara tersendiri untuk mendalami watak. Bagi Zahiril sangat penting untuknya membuat kajian sendiri demi memahami watak yang diberi.
“Kena betul-betul tahu watak itu, faham latar belakang watak, benda-benda yang tiada dalam skrip, kitalah sebagai pelakon kena cari sendiri,” ujarnya.
“Sebaik sahaja kita sudah faham, watak itu milik kita. Tiada siapa lagi berhak untuk kacau watak kita”.
Bahkan pengarah pun perlu merujuk kepada pelakon jika mahu membuat perubahan pada watak berkenaan, demikian pendapat Zahiril.
“Kalau saya rasa tak boleh, maka tak boleh. Sebab ini saya punya, saya yang buat kajian,” tegasnya.
Aroma yang masih lagi laris sebagai minyak wangi kegemaran lelaki yang sukakan bauan maskulin dan segar. Paduan pelbagai jenis citrus dengan aroma rempah-ratus dan nuansa kayu-kayuan menjadi base notes untuk minyak wangi ini menjadi pilihan ramai.
2. ETERNITY FOR MEN
Gabungan maskulin rempah sage pastinya menjadi pemikat untuk lelaki yang gemarkan minyak wangi ini. Ia sesuai buat anda yang meminati nuansa bunga yang menyejukkan kerana munyak wangi ini merangkumkan campuran bauan daripada bunga lili, geranium, melati dan orange blossom.
3. ACQUA DI GIO GIORGIO ARMANI
Minyak wangi ini mempunyai bauan akuatik, kayu-kayuan dan aromatik. Ia menggabungkan aroma rempah-ratus dan citrus yang disertakan dengan bauan halus geranium, sage, rosemary dan patchouli. Bagaikan membawa anda menjelajah ke Laut Mediterranean, semburan ini mampu menampilkan gaya maskulin seorang lelaki.
4. PACO RABANNE 1 MILLION INTENSE
Minyak wangi ini miliki paduan aroma pedas dan kayu-kayuan yang oriental. Diawali dengan aroma segar daripada blood mandarine, kapulaga, lada hitam dan kunyit pada fase pertama, aromanya semakin berubah menjadi bauan mawar, neroli, dan kayu manis yang akan membentuk bau yang berbeza di fase pertengahan. Ia diakhiri dengan aroma leather, orris akar, nilam dan kayu cendana pada fase terakhir.
5. BVLGARI MAN
Minyak wangi bauan maskulin ini menyerlahkan macho dan gentleman si pemakai. Ia memiliki unsur ozonic dan tonka bean yang mampu menciptakan kesan memikat dengan gabungan campuran buah-buahan yang segar daripada jeruk bergamot dan pir.
6. AIGNER BLACK
Walaupun miliki bauan yang lebih ‘jantan’ dan maskulin, campuran aroma orange dalam minyak wangi ini masih memberikan unsur yang menyegarkan dan menyenangkan. Ia sesuai menjadi pilihan lelaki yang ingin menunjukkan karakter kuat.
7. CK ONE BY CALVIN KLEIN
Minyak wangi uniseks ini tidak perlu diragui kerana ia memiliki daya tarikan yang tersendiri. Menggunakan kombinasi daripada bauan lemon, citrus, nanas, melati, mawar dan teh hijau, ia hadir dalam mood segar dan elegan buat si pemakai.
8. YSL LA NUIT L HOMME
Aroma maskulin yang menggambarkan lelaki tegas, moden, sensual, mewah dan elegan. Ia hadir dengan top notes bauan buah pelaga, bertukar pada middle notes aroma herba citrus, kayu cedar dan lavendar serta base note dengan aroma vetiver yang sangat lasting.
9. VERSACE EAU FRAICHE
Minyak wangi ini menggabungkan bauan daripada bergamot, lemon, Brazillian rosewood dan cardamom yang dipadukan dengan aroma tarragon, sage, cedar, pepper serta meninggalkan jejak bauan amber, saffron, musk, woody di akhir fase. Ia sesuai untuk lelaki yang ingin tampil dalam mood segar dan cool.
10. RALPH LAUREN POLO RED
Minyak wangi ini sesuai digunakan pada waktu malam atau ketika suasana sejuk. Ia mampu menyerlahkan gaya maskulin lelaki dengan bauan pedas daripada kulit kayu manis dan digabungkan dengan campuran daripada red grapefruit, cranberry, lemon, red sage, lavender, red wood dan coffee beans.
Salah satu acara yang mengetengahkan bakat jelita dari seluruh dunia, Miss Universe sentiaa dinantikan oleh jutaan peminatnya.
Jika pada tahun lalu menyaksikan peserta dari Amerika Syarikat, R’Bonney Gabriel diangkat sebagai pemenang bagaimana pula untuk edisi pada tahun 2023?
Pada Sabtu lalu di José Adolfo Pineda Arena di San Salvador, El Salvador satu sejarah baharu telah tercipta. Buat pertama kali dalam sejarah pertandingan Miss Universe menyaksikan pemenangnya dari negara Nicaragua.
Shennis Palacios, gadis berusia 23 tahun dari Nivaragua yang merupakan negara benua Amerika Tengah diumumkan sebagai pemenang mengalahkan 83 orang peserta-peserta lain dari seluruh pelosok dunia.
Sebelum ini pencapaian tertinggi bagi negara Amerika Tengah ini dalam pertandingan Miss Universe adalah pada tahun 2016 apabila wakil mereka berjaya mencapai Top 16.
Selain kemenangannya, penganjuran untuk edisi Miss Universe 2023 juga menyaksikan beberapa perkara baharu turut berlaku seperti kehadiran dua peserta yang merupakan ibu, dua peserta transgender dan seorang peserta ‘plus-size’.
PERJALANAN JAUH
Perjalanan Sheynnis Palacios dalam pertandingan ratu cantik bukanlah baharu kerana sejak berusia 16 tahun dia telah mula aktif dan memasang cita-citanya untuk dinobatkan sebagai Miss Universe.
Sebelum malam kemuncak Miss Universe 2023, Sheynnis Palacios mengambil kesempatan untuk merenung perjalanan pertandingannya di Instagram.
“Malam ini, saya persembahkan kepada gadis dalam diri saya dan kepada setiap gadis yang berhasrat untuk merealisasikan impian ini, walaupun langit sendiri adalah batasnya, impian begitu besar sehingga orang berpikir ia mustahil dicapai.
“Kerana di situlah anda tahu bahawa impian dan matlamat anda akan melepasi rintangan, dan ingatlah untuk menyertakannya dengan tekad, ketabahan, dan semangat,” jelasnya.
Di luar dunia pertandingan kecantikan, Palacios, yang telah memperoleh ijazah dalam Komunikasi Massa di Universidad Centroamericana, merupakan hos televisyen di saluran tempatan.
KEBOLEHAN BAHASA
Dia juga mempunyai kebolehan bahasa yang sangat baik apabila boleh bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Portugis dan Inggeris.
Sheynnis juga seorang peminat aktiviti adrenalin seperti bermain bola tampar selain mengakui bahawa dia paling gembira ketika menikmati matahari terbenam dan tidak boleh hidup tanpa haiwan kesayangannya dan keluarganya.
Minatnya dalam produksi audiovisual telah menyemarakkan impian Palacios untuk memulakan syarikat produksinya sendiri.
Sama ada sebagai penerbit atau editor, beliau juga menggunakan platformnya untuk menyuarakan isu-isu keadilan sosial yang dekat di hatinya, seperti pendidikan dan kesihatan mental.
Dalam video “Beauty with a Purpose” untuk pertandingan Miss World 2021, Palacios membincangkan inisiatifnya untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan untuk kanak-kanak, terutamanya perempuan.
MALAM KEMUNCAK
Mengenai malam penobatan, Palacios terus maju ke peringkat seterusnya dengan memberikan persembahan yang hebat dalam segmen pakaian renang dan pertandingan gaun malam.
Semasa segmen soalan dan jawapan Top 5 pertandingan kecantikan, beliau ditanya mengenai kualiti dan nilai-nilai yang memandu beliau sebagai pemimpin dan contoh teladan untuk orang lain.
Dia menjawab dengan penuh yakin, “Kualiti yang telah menginspirasi saya dan telah menginspirasi berjuta-juta wanita dan gadis adalah kesederhanaan dan kebolehan untuk menghargai perkara-perkara kecil, kerana di situlah perkara yang paling berharga: hakikat menjadi manusia.”
Dia kemudian maju ke Top 3 bersama Anntonia Porsild dari Thailand dan Moraya Wilson dari Australia. Kesemua tiga calon yang tersisa ditanya soalan yang sama dalam pusingan akhir: “Jika anda boleh hidup satu tahun dalam kasut wanita lain, siapakah yang anda pilih dan mengapa?”
Jawapan kemenangan beliau adalah: “Saya akan memilih Mary Wollstonecraft, kerana beliau membuka peluang untuk ramai wanita. Apa yang saya akan lakukan adalah membuka jurang pendapatan agar wanita dapat bekerja dalam apa-apa bidang yang mereka pilih kerana tidak ada sekatan untuk wanita. Itu berlaku pada tahun 1750. Sekarang pada tahun 2023, kita sedang membuat sejarah.”
Jawapan yang cukup baik tersebut dikatakan telah banyak membantunya meraih kemenangan Miss Universe 2023.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Episod program automotif paling sensasi di Malaysia, ‘RODA PANAS’ kini bakal memasuki episod yang keempat.
Dalam tiga episod sebelum ini, ‘RODA PANAS’ membawakan anda mendekati beberapa tema auto yang cukup sensasi. Dengan episod pertama kereta sport mewah Porsche kemudian disusuli dengan ‘muscle car’ milik Wak Doyok dan minggu lalu menelusuri lebuh raya bersama motosikal berkuasa besar gaya Amerika bersama Dato Awie.
Jadi apakah pula tema yang dibawakan oleh ‘RODA PANAS’ pada minggu ini menerusi episod keempat? Buat peminat kereta berkuasa tinggi buatan Jepun, inilah episod yang tidak harus anda lepaskan.
Pada minggu ini ‘RODA PANAS’ akan membawakan anda dekati Nissan Skyline GTR R34 milik seorang pengusaha auto spa dan carwash, Muhammad Amirul Rejab Zakaria.
Jentera yang cukup sinonim dengan kecanggihan teknologi Jepun berwarna bitu ini sangat ikonik dalam dunia automotif terutamanya di Malaysia dan juga khususnya di Asia.
MODEL KERETA GEMPAK
Jika anda pernah tengok filem ‘Fast & Furious’ memang akan pernah lihat kelibat jentera hebat ini. Malah, ia juga sering tampil menerusi filem-filem aksi Asia dan Hollywood yang lain.
Nissan Skyline GTR R34 yang dimiliki beliau merupakan versi tahun 1999 yang kini dikatakan memiliki nilai yang agak tinggi di pasaran. Permintaan terhadap model ini juga sangat hebat di kalangan penggemar kereta Skyline.
Menerusi episod ini, Remy Ishak menemubual Amiurl Rejab bagaimana mainatnya terhadap model ini bermula. Selain itu, Remy juga akan mebawa kita dekati kereta ini dengan mengetahui spesifikasi serta modifikasi dengan cukup teliti.
Antara perkongsian yang dipaparkan menerusi RODA PANAS ialah modifikasi bahagian luaran seperti bampar, rim dan spoiler. Tidak ketinggalan spesfikasi dalam seperti kemampuan enjinnya yang cukup digeruni ramai dan juga hiasan dalaman seperti tempat duduk, meter dan juga kelengkapan lain.
Anda pasti terkejut dengan jumlah besar wang yang dilaburkan beliau untuk mendapatkan versi Nissan Skyline GTR R34 ini.
Jangan lupa saksikan ‘RODA PANAS’ EPISOD 4 pada malam esok, 9:30 malam meenerusi saluran Astro Naura dan strim menerusi Astro GO.
Ingat roda gempak, ingat RODA PANAS!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kemsite memperkenalkan konsep “Outdoor Inside” di The Gardens Mall, membawa gaya hidup outdoor ke ruang urban dengan jenama premium dan pengalaman eksklusif yang menggabungkan alam, rekaan dan keselesaan moden.