
Pelakon Mierul Aiman mencuri perhatian apabila tampil dengan imej baharu berambut blonde, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat mengenai perubahan drastik penampilannya.
Namun menurut Mierul, gaya tersebut bukan dilakukan semata-mata untuk kelihatan berbeza. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada persediaan untuk membawakan karakter baharu dalam sebuah naskhah yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
“Ketika ini, saya berada dalam penampilan yang baharu. Saya juga agak terkejut dengan penampilan ini. Namun, ini adalah tuntutan watak.
“Saya seronok untuk berkongsikan mengenai penampilan baharu saya ini kepada peminat dan penonton. Ia dibuat untuk mencipta sebuah karakter yang baharu,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Media Hiburan di acara Meet & Greet Mierul Aiman x Dr. Cardin baru-baru ini.

Teruja Eksperimen Dengan Karakter Berbeza
Bagi Mierul, perubahan fizikal seperti warna rambut hanyalah sebahagian daripada proses membina karakter.
Lebih daripada itu, dia mengakui cukup teruja kerana watak terbaharu tersebut memberikan ruang untuk dirinya bereksperimen dengan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.
“Bila bercakap tentang karakter, sudah pasti ia menyentuh minat dan kesukaan saya. Saya tak sabar untuk berkongsi hidangan ini kepada kalian.
“Saya tak boleh berkongsi lebih mengenai naskhah ini. Ia sangat unik dan menyeronokkan. Kita akan berjumpa nanti,” ujarnya lagi.

Walaupun masih belum mendedahkan lebih banyak butiran mengenai projek berkenaan, keterujaan Mierul memberi bayangan bahawa watak itu bakal memperlihatkan sisi berbeza dalam perjalanan seninya.
Terdahulu, Mierul turut menjadi antara selebriti yang terlibat dalam kempen ‘The Overlooked Malaysia’ oleh Dr. Cardin, yang mengetengahkan lokasi percutian menarik di Malaysia yang jarang diberikan perhatian.
Kudrat 1968: High Council Terus Tinggalkan Kesan
Dalam perkembangan lain, Mierul turut mengulas sambutan positif terhadap siri Kudrat 1968: High Council yang terus mendapat perhatian penonton.
Bagi Mierul, kejayaan sesebuah karya tidak wajar diletakkan kepada barisan pelakon semata-mata. Sebaliknya, dia mahu kredit diberikan kepada seluruh pasukan produksi yang bekerja di belakang tabir.
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur dan dihargai. Namun, perkara utama yang perlu saya katakan, kita kena beri pujian kepada seluruh pasukan produksi Kudrat 1968: High Council.
“Setiap episod saya menonton dengan keluarga. Bila berada di dalam skrin, saya rasa sangat seronok bila dapat menonton bersama keluarga. Mereka bangga dengan kejayaan anaknya.
“Famili saya juga dapat melihat naskhah ini daripada kehebatan dan keunikan penceritaan penulis. Saya juga dapat rasakan penonton juga rasa dekat dengan penceritaan itu,” kongsinya lagi.

Baginya, antara kekuatan utama naskhah tersebut ialah penceritaannya yang mampu membuatkan penonton berasa dekat dengan dunia dan konflik yang dibawa.
Malah, pengalaman menonton bersama keluarga turut memberikan makna tersendiri buat Mierul apabila mereka dapat melihat sendiri hasil kerja yang diusahakannya.
Mahu Momentum Positif Industri Terus Kekal
Melihat penerimaan baik terhadap Kudrat 1968, Mierul berharap momentum tersebut tidak terhenti pada satu naskhah sahaja.
Sebaliknya, dia mahu semangat dan sokongan penonton itu menjadi pemangkin kepada penggiat industri kreatif untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti.

“Tahniah juga buat seluruh pasukan produksi yang sudah berikan yang terbaik sepanjang penggambaran. Inilah hasilnya bila kita berikan yang terbaik.
“Ia menjadi cerminan kepada kami untuk terus memberikan yang terbaik. Saya juga nak pinjam masa untuk ucap terima kasih kepada seluruh peminat dan penonton Kudrat 1968.
“Kami suka melihat suasana ini. Kami tak mau ia terhenti setakat ini sahaja. Saya mahu semangat ini berterusan untuk industri kreatif kita,” akhirinya.
BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang
Daripada imej rambut blonde untuk karakter baharu hinggalah kejayaan Kudrat 1968, jelas Mierul kini berada dalam fasa yang cukup aktif untuk terus meneroka watak serta naskhah yang lebih mencabar.
Dan jika perubahan penampilan ini menjadi petunjuk awal, peminat mungkin bakal melihat satu lagi sisi Mierul Aiman yang berbeza selepas ini.
Kredit: MH & Instagram Mierul Aiman
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
