
Apabila berbicara mengenai proses penuaan, perhatian lazimnya tertumpu kepada kesihatan fizikal, penyakit kronik, pergerakan tubuh dan kemerosotan fungsi kognitif. Namun, ada satu aspek yang tidak kurang penting tetapi masih mudah terlepas pandang, iaitu kesejahteraan mental dan emosi warga emas.
Perkara itu semakin relevan ketika Malaysia sedang menuju ke arah populasi yang semakin menua. Pada 2026, individu berusia 60 tahun dan ke atas dianggarkan merangkumi sekitar 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.
Menurut Ketua Jabatan Psikologi di Taylor’s University, Profesor Dr Rozainee Khairudin, penuaan sihat bukan semata-mata tentang berapa lama seseorang mampu hidup atau sejauh mana tubuh kekal aktif.
Ia turut berkait rapat dengan sama ada seseorang masih berasa dihargai, mempunyai hubungan bermakna dan merasakan dirinya mempunyai tujuan dalam kehidupan.
Bersara Boleh Mengubah Lebih Daripada Rutin Harian
Usia lanjut sering membawa perubahan besar dalam kehidupan.
Persaraan, misalnya, mungkin kelihatan seperti fasa untuk berehat selepas berpuluh tahun bekerja. Namun bagi sesetengah individu, ia turut bermaksud kehilangan rutin harian, identiti profesional dan peranan yang selama ini menjadi sebahagian besar daripada kehidupan.
Pada masa sama, anak-anak mungkin sudah meninggalkan rumah, hubungan keluarga berubah dan seseorang mungkin berdepan kehilangan pasangan, sahabat rapat atau tahap kebebasan yang pernah dinikmati.
Perubahan sebegini boleh memberi kesan terhadap emosi, keyakinan, identiti serta rasa tujuan seseorang. Justeru, ia tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang warga emas perlu hadapi sendirian hanya kerana ia merupakan sebahagian daripada proses kehidupan.
Tidak Semua Perubahan Adalah ‘Sebab Dah Tua’
Satu lagi cabaran ialah kecenderungan masyarakat menganggap perubahan emosi atau tingkah laku dalam kalangan warga emas sebagai perkara biasa akibat usia.
Individu yang semakin pendiam, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, mengalami perubahan tidur atau selera makan dan menjadi semakin menjauh mungkin sekadar dianggap sedang melalui proses penuaan.
Begitu juga apabila berlaku masalah ingatan.
Namun menurut penulisan Prof Dr Rozainee, menjadi semakin berusia tidak secara automatik bermaksud seseorang akan mengalami kemurungan, keresahan atau tekanan emosi.

Kemurungan dan gangguan keresahan merupakan keadaan kesihatan mental yang memerlukan perhatian serta sokongan sewajarnya.
Kajian tempatan juga telah merekodkan kewujudan kemurungan, keresahan dan tekanan dalam kalangan warga emas, dengan sebahagian masalah kesihatan mental berkemungkinan tidak dikenal pasti.
Sebab itu, perubahan mendadak dalam emosi dan tingkah laku tidak wajar terus diketepikan dengan alasan, “biasalah, dah tua.”
Tinggal Bersendirian Tidak Semestinya Kesunyian
Kesunyian juga sering disalahertikan sebagai keadaan seseorang yang hidup bersendirian.
Hakikatnya, seorang warga emas boleh tinggal seorang diri tetapi masih mempunyai hubungan sosial yang kukuh. Pada masa sama, seseorang yang tinggal bersama keluarga masih boleh berasa sangat terasing.
Apa yang lebih penting ialah kualiti hubungan sosial, bukannya sekadar berapa ramai orang berada di sekeliling.
Satu kajian di Malaysia melibatkan 2,188 warga emas mendapati rangkaian sosial yang lebih kukuh mempunyai kaitan dengan tahap perkembangan psikologi yang lebih baik dan, dalam sesetengah kumpulan, tahap kesunyian yang lebih rendah.
Dalam erti kata lain, kehadiran fizikal sahaja tidak mencukupi. Warga emas juga perlu berasa didengari, diterima dan masih mempunyai tempat dalam kehidupan orang di sekeliling mereka.
Kehilangan Juga Boleh Mengubah Identiti
Kehilangan pasangan atau insan tersayang merupakan antara pengalaman paling berat dalam kehidupan.
Bagi warga emas, kehilangan tersebut kadangkala membawa kesan lebih mendalam kerana ia boleh turut mengubah identiti dan peranan yang sudah dibina selama bertahun-tahun.
Seseorang mungkin bukan sahaja kehilangan pasangan, tetapi juga peranan sebagai penjaga, teman hidup atau individu yang selama ini mempunyai rutin tertentu bersama orang tersebut.

Pengurangan tahap kebebasan akibat faktor kesihatan turut boleh menyebabkan seseorang kehilangan rasa tujuan.
Kesedihan selepas kehilangan adalah tindak balas semula jadi. Namun warga emas masih memerlukan ruang untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman, bukannya diminta untuk segera “melupakan” atau menerima kesedihan sebagai perkara biasa kerana usia.
Aktiviti Ringkas Boleh Membawa Makna Besar
Sokongan terhadap kesejahteraan mental warga emas juga tidak semestinya memerlukan program yang terlalu kompleks.
Aktiviti dalam kumpulan kecil, keluar bersama komuniti, menari, menyanyi atau melakukan aktiviti kreatif boleh membantu seseorang kekal aktif dan berhubung dengan orang lain.
Nilainya bukan sekadar untuk “mengisi masa”.
Aktiviti seperti ini membuka peluang kepada ekspresi diri, perkongsian kenangan, rangsangan kognitif dan pembentukan hubungan sosial yang bermakna. Penyelidikan terhadap aktiviti kreatif dan sosial turut menunjukkan potensinya dalam menyokong kesihatan emosi serta kognitif.
Pendekatan terhadap penuaan juga perlu berubah daripada hanya memikirkan perkara yang mungkin hilang apabila seseorang semakin berusia kepada apa yang boleh membantu mereka terus berdaya tahan, aktif dan terhubung.
Dengar Apa Yang Warga Emas Mahukan
Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, “Lived experiences heard: real voices, real change”, memberi penekanan kepada pentingnya mendengar pengalaman sebenar individu dalam membentuk sistem sokongan kesihatan mental yang lebih responsif dan inklusif.
Bagi warga emas, prinsip itu bermaksud keluarga, komuniti dan profesional kesihatan perlu melibatkan mereka dalam keputusan berkaitan kehidupan sendiri.
Bukan semua keputusan perlu dibuat untuk mereka.
Sebaliknya, kita juga perlu bertanya apa yang mereka perlukan, perkara yang masih mahu dilakukan dan apa yang memberikan makna kepada kehidupan mereka.
Kesihatan mental tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan fizikal, fungsi kognitif, hubungan sosial dan persekitaran tempat seseorang menjalani kehidupan.
BACA: Lelaki Ini Lari Maraton Berlin Dengan Crocs, Catat Masa Sekitar 2 Jam 30 Minit
Seperti yang ditekankan Prof Dr Rozainee, penuaan sihat bukan hanya tentang menambah tahun dalam kehidupan, tetapi memastikan tahun-tahun itu dapat dilalui dengan hubungan, maruah, makna dan tujuan.
Ketika Malaysia semakin menuju kepada masyarakat menua, tanggungjawab menjaga warga emas juga tidak seharusnya diletakkan pada keluarga semata-mata.
Ia memerlukan peranan masyarakat secara keseluruhan supaya seseorang bukan sahaja dapat hidup lebih lama, tetapi terus merasakan bahawa kehidupan mereka masih bernilai.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
