Dalam dunia yang semakin sarat dengan simbol status dan pencapaian material, ada kisah luar biasa yang mengangkat kembali nilai jati diri lelaki sejati. Kisah ini berlaku di Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia, apabila seorang penghulu sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan sepasang pengantin sah di sisi agama.
Menurut laporan, Ahad Nasution, seorang penghulu dari Jorong Batang, Nagari Batang Kundur, ditugaskan untuk menikahkan pasangan Agep Purwandi dan Intan Purnama Sari di sebuah kampung pedalaman yang hanya boleh diakses sejauh 27 kilometer melalui laluan berbukit dan licin. Namun malangnya, jambatan tunggal yang menghubungkan ke kampung tersebut telah runtuh akibat hujan lebat dan banjir.
Ahad Nasution, seorang penghulu dari Jorong Batang, Nagari Batang Kundur, Indonesia ketika berenang menyeberangi sungai
Di sinilah ujian sebenar bermula.
Tanpa banyak soal, Nasution menukar pakaiannya, menyerahkan dokumen penting kepada penduduk setempat, dan nekad berenang menyeberangi sungai yang ketika itu deras dan berarus kuat. Di seberang, sebuah motosikal lain sudah menanti untuk membawanya terus ke lokasi akad nikah. Semuanya demi sebuah janji – demi amanah yang digalas sebagai pemudah antara dua jiwa yang ingin bersatu.
Majlis akad nikah itu akhirnya berlangsung dengan penuh adat dan makna pada jam 11.30 pagi, disaksikan ketua adat Sumarno serta penduduk setempat. Hujan masih belum berhenti. Demi keselamatan, beliau dinasihatkan bermalam di kampung itu — bukti komitmen tanpa syarat.
Ads
Ahad Nasution membuktikan kepada kita semua bahawa kekuatan sebenar lelaki tidak terletak pada tubuh sasa atau suara lantang, tetapi pada jiwa yang sanggup berkorban demi orang lain. Dalam dunia penuh alasan, beliau memilih tindakan. Dalam dunia penuh halangan, beliau cipta jalan.
Sebagaimana kata Afief Mundzir, Ketua Bahagian Bimbingan Perkahwinan, Kementerian Agama Indonesia:
Ads
“Dedikasi seperti ini membuktikan bahawa khidmat keagamaan bukan sekadar tugasan rasmi, tetapi amanah yang lahir dari hati.”
Ads
Dan kisah ini bukan yang pertama. Awal tahun ini, seorang bidan di Pasaman juga menjadi tular selepas berenang menyeberangi sungai demi merawat pesakit. Lihat betapa tenaga di pedalaman ini, lelaki dan wanita sama-sama menjulang nilai tanggungjawab melebihi segala.
Dalam dunia penuh cabaran, jadilah lelaki yang tahu makna amanah — bukan hanya pada mulut, tetapi pada perbuatan.
DARI MANA DATANGNYA SAYANG, DARI MATA TURUN KE HATI. NAMUN, BAGI INDIVIDU YANG TIDAK MEMPUNYAI MATA YANG SEMPURNA SEPERTI JULING, IA AKAN MENJEJASKAN IMEJ DAN KEYAKINAN DIRI MEREKA.
Kerap kali, mereka akan mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain kerana berasa rendah diri. Malah, kajian telah membuktikan bahawa mata juling menyukarkan seseorang bertemu jodoh dan menjejaskan peluang pekerjaan.
Dengan penglihatan normal, kedua-dua mata akan menuju satu titik atau objek yang menjadi pusat perhatian. Kemudian otak menyatukan kedua-dua imej yang terbentuk dari setiap mata menjadi satu bayangan tunggal tiga dimensi. Imej tiga dimensi inilah yang memberikan kita persepsi kedalaman.
Juling atau istilah perubatannya strabismus adalah efek penglihatan di mana kedua-dua mata tidak terarah pada satu objek yang menjadi pusat perhatian.
Satu mata (kadangkala kedua-duanya sekali) boleh tertumpu pada satu objek sedangkan mata yang lain juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.
Juling sama ada boleh menjadi sesuatu yang kekal atau dapat juga tenggelam timbul di mana mata yang juling kelihatan lurus dan yang tadinya tampak lurus kelihatan juling.
Di kalangan kanak-kanak, juling bukan sahaja berubah-ubah dari hari ke hari tetapi keadaannya boleh berubah-ubah dalam masa sehari sahaja.
Juling tidak memilih jantina, ia boleh berlaku kepada lelaki mahupun wanita. Juling juga dapat diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Namun ia tetap boleh terjadi walau tidak ada riwayat keluarga juling.
Apabila salah satu mata juling, dua gambar yang berbeza akan dikirim ke otak. Pada anak-anak usia muda, otak belajar mengabaikan bayangan dari mata yang juling dan hanya melihat satu bayangan dari mata yang lurus atau mata yang melihat lebih baik. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut kehilangan kedalaman persepsinya.
Sementara itu, orang dewasa yang mengalami juling sering mengeluh penglihatannya menjadi berganda kerana otaknya sudah terlatih untuk menerima imej dari kedua-dua mata dan tidak dapat mengabaikan bayangan dari mata yang juling.
MATA MALAS
Penglihatan seseorang kanak-kanak itu akan berkembang baik apabila kedua-dua matanya dalam posisi normal. Juling mampu mencetuskan ambliopia (mata malas), iaitu penglihatan yang tidak sempurna pada mata yang juling.
Otak akan mengutamakan imej yang datang dari mata yang lebih baik dan mengabaikan bayangan dari mata yang lebih lemah atau mata yang ambliopia. Hal ini terjadi pada hampir 50 peratus kanak-kanak yang juling.
Ambliopia dapat diatasi dengan menutup mata yang lebih baik dan memaksa mata yang lebih lemah agar penglihatan menjadi lebih baik.
Apabila terapi dilakukan pada kanak-kanak pada usia yang sudah agak lewat, mata malas umumnya menjadi kekal. Justeru, lebih awal ambliopia dirawat, penglihatan akan menjadi lebih baik.
PENYEBAB JULING
Enam otot mata yang mengawal pergerakan bola mata melekat pada bahagian luar mata. Pada setiap mata, dua otot menggerakkan ke kanan dan ke kiri. Empat otot lainnya menggerakkan ke atas, ke bawah dan berpusing.
Agar kedua-dua mata lurus dan dapat menumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian, semua otot pada setiap mata harus seimbang dan bekerja secara bersama-sama.
Agar kedua-dua mata bergerak bersama-sama, semua otot pada kedua-dua mata harus diselaraskan dengan baik. Otot-otot mata ini dikawal oleh otak.
Juling lazim ditemui pada kanak-kanak dengan kelainan pada otak seperti palsi serebral, sindrom down, hidrosefalus, tumor otak dan anak yang lahir tidak cukup bulan.
Katarak atau trauma yang menjejaskan penglihatan juga boleh menyebabkan strabismus. Namun banyak juga kanak-kanak yang bermata juling tidak mempunyai kelainan-kelainan tersebut.
GEJALA STRABISMUS
Tanda utama juling adalah mata yang tidak lurus di mana apabila satu mata terfokus pada satu objek, mata yang lain tertuju pada objek yang lain pula.
Kadang-kadang, anak dengan strabismus akan mengenyitkan satu mata di saat matahari terik atau memiringkan leher untuk menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PSEUDOSTRABISMUS?
Mata bayi sering terlihat seakan-akan juling, padahal sebenarnya tidak juling. Keadaan ini yang disebut pseudostrabismus atau juling palsu.
Bayi baru lahir, sering mempunyai hidung yang agak lebar, leper atau agak penyek dan ada lipatan kulit pada bahagian kelopak dekat hidung yang kelihatan seolah-olah juling.
Keadaan ini akan pulih dengan sendirinya dengan bertambahnya usia dan perkembangan bayi. Bayi atau anak seperti ini tidak akan membesar menjadi benar-benar juling di kemudian hari.
Seorang pakar mata biasanya dapat menjelaskan kepada pesakitnya perbezaan di antara juling dengan pseudostrabismus.
JENIS-JENIS JULING YANG KERAP DITEMUI
* Esotropia kongenital di mana mata juling ke dalam yang bermula dari usia bayi kurang enam bulan. Bayi seperti ini tidak dapat menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama. Pada kebanyakan kes, pembedahan awal diperlukan untuk meluruskan matanya
* Esotropia akomodatif merupakan bentuk esotropia (juling ke dalam) yang biasa ditemui pada kanak-kanak berusia dua tahun atau lebih besar. Pada jenis juling seperti ini, apabila kanak-kanak memfokuskan matanya untuk dapat melihat jelas, mata akan tampak juling ke dalam. Juling ini berlaku semasa melihat jauh saja, melihat dekat saja atau kedua-duanya
* Eksotropia atau juling keluar merupakan bentuk lain juling yang juga sering ditemui. Bentuk juling ini paling sering terjadi ketika anak memandang objek yang jauh.
Eksotropia hanya muncul sekali sekala terutama bila anak dalam keadaan lelah, sakit atau mengelamun. Orang tua sering memperhatikan anaknya juling keluar saat berada pada matahari terik.
Walaupun kaca mata, latihan atau prisma dapat mengurangi atau membantu mengawal juling di kalangan sesetengah kanak-kanak, namun dalam kebanyakan kes, pembedahan mungkin diperlukan.
BAGAIMANA MENDIAGNOSIS JULING
Strabismus dapat didiagnosis melalui pemeriksaan mata. Adalah disarankan agar kanak-kanak berusia di antara tiga hingga tiga setengah tahun menjalani pemeriksaan mata oleh pakar kanak-kanak, doktor atau mereka yang terlatih untuk memeriksa penglihatan anak prasekolah.
Apabila ada kanak-kanak yang gagal dalam ujian pemeriksaan ketajaman penglihatan, mereka akan dirujuk ke pakar mata untuk pemeriksaan lanjut.
Jika terdapat riwayat keluarga strabismus atau ambliopia, atau riwayat keluarga menggunakan kaca mata tebal, seorang pakar mata akan melakukan pemeriksaan penglihatan walaupun usianya kurang dari tiga tahun.
Sekiranya memang kanak-kanak tersebut kejulingannya nampak jelas sejak usia kurang dari enam bulan, ibu bapa perlu membawanya berjumpa doktor seawal yang boleh.
Setelah pemeriksaan mata lengkap, pakar mata akan mencadangkan terapi yang sesuai. Dalam beberapa kes, pemakaian kaca mata dapat meluruskan kedudukan bola mata.
Terapi lain berupa prosedur pembedahan untuk menyeimbangkan otot-otot yang tidak seimbang atau surgeri katarak apabila terdapat katarak.
Selalunya, menutup sebelah mata yang dominan untuk mengatasi ambliopia, diperlukan.
RAWATAN
Juling tidak akan pulih dengan sendirinya. Rawatan untuk meluruskan mata diperlukan. Jenis-jenis rawatan mungkin digunakan secara sendirian atau bergabung, bergantung kepada jenis juling dan penyebabnya.
* Biasanya kaca mata akan dipreskripsi untuk meningkatkan tumpuan dan mengarahkan garisan penglihatan, membolehkan mata menjadi lurus
* Ubat-ubatan dalam bentuk titisan mata atau sapuan mungkin juga digunakan dengan atau tanpa kaca mata. Ubat suntikan mungkin digunakan untuk melemahkan secara berpilih, otot-otot mata yang terlampau aktif
* Pembedahan akan dilakukan pada otot mata untuk meluruskan mata setelah pendekatan tanpa bedah tidak berjaya
* Latihan atau senaman mata berguna sama ada sebelum atau selepas surgeri.
BAGAIMANA PEMBEDAHAN JULING DILAKUKAN
Apa pun jenis pembedahan mata, bola mata tidak akan dikeluarkan dari soketnya. Pakar mata akan membuat hirisan pada selaput putih mata untuk dapat mencapai otot penggerak bola mata.
Otot mata kemudian dilepaskan dari lekatannya dan dipindahkan (lekatannya) pada tempat yang diinginkan sesuai dengan arah juling bola mata. Atau, otot-otot dipotong sedikit sesuai keperluan kemudian dilekatkan lagi pada tempat perlekatan semula.
Pembedahan strabismus dapat dilakukan pada satu atau kedua-dua mata sekali gus bergantung jenis dan besarnya juling. Surgeri umumnya dilakukan dengan bius umum, terutama pada kanak-kanak.
Surgeri biasanya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar sahaja. Waktu pemulihan juga adalah cepat. Kanak-kanak biasanya dapat kembali melakukan aktiviti normal dalam masa beberapa hari sahaja.
Setelah pembedahan, kaca mata mungkin masih diperlukan. Dalam beberapa kes, pembedahan lebih dari satu kali mungkin diperlukan untuk menjaga mata agar tetap lurus.
KESAN SAMPINGAN SURGERI
Seperti juga pembedahan lainnya, surgeri strabismus juga ada risiko termasuklah infeksi, perdarahan, jaringan parut yang berlebihan dan walaupun amat jarang terjadi, gangguan penglihatan.
Pembedahan juling umumnya merupakan cara yang efektif untuk mengatasi masalah juling. Di samping itu, tambahan kaca mata dan terapi ambliopia tidak kurang pentingnya.
SUMBER : UTUSAN
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Siapa sangka francais filem aksi dengan kuasa adrenalin deruman enjin berkuasa bermula pada tahun 2001 berterusan dan masih utuh sehingga ke hari.
Pada 18 Mei 2023, francasi yang mengetengahkan Van Diesel sebagai wajah utamanya bakal memasuki filem mereka yang ke-10. Filem yang dibawa dengan nama ‘Fast X’ dianggap sebagai karya aksi yang cukup dinanti-natikan bukan sahaja peminat dan penggemar siri ini malah peminat filem di seluruh dunia.
Memikirkan semula sembilan filem terdahulu segala macam aksi kenderaan telah kita saksikan dengan kapal selam, kereta api, kapal terbang dan juga roket telah dipertontonkan dengan visual yang cukup luar biasa. Selain itu, perjalanan konflik kisah karakter utamanya, Dom Toreeto bersama ‘skuadnya’ juga bakal menempa sebuah kisah baharu.
Lebih menarik, karakter yang berlagak sebagai seterunya menerusi ‘Fast X’ ialah pelakon yang popular dengan watak ‘Aqua Man’ iaitu Jason Momoa.
Menerusi ‘Fast X’, Jason membawakan watak sebagai Dante Reyes seorang lelaki yang dalam misi membalas dendam terhadap Dom dan krewnya kerana penglibatan mereka dalam tragedi berlaku di dalam ‘Fast Five’.
Terbaru dilaporkan bahawa ‘Fast X’ bakal menjadi antara filem berdurasi paling dalam di dalam fancais mereka. Ia dijangkakan berdurasi selama 141 minit menurut klasifikasi terkini yang dilaporkan oleh beberapa agensi berita semasa.
Ini bermakna ia hanyalah tiga minit lebih pendek dari filem terdahulunya, ‘Fast & Furious 9’. Instalasi terbaru ini juga menyaksikan Dom sekali lagi bertembung dengan Cipher yang dilakon dengan begitu mantap sekali oleh Charlize Theron.
‘Fast X’ menyaksikan kepulangan semula Michelle Rodriguez sebagai pelumba jalanan dan isteri Dom Letty Ortiz, Tyrese Gibson sebagai Roman Pearce, Chris ‘Ludacris’ Bridges sebagai Tej Parker, Nathalie Emmanuel sebagai Ramsey, Sung Kang sebagai Han, John Cena sebagai Jakob Toretto, Jordana Brewster sebagai Mia Toretto dan Helen Mirren sebagai Queenie Shaw.
Selain itu beberapa wajah baharu yang muncul ialah Brie Larson sebagai Tess, Daniela Melchior sebagai pelumba jalanan Isabel, Alan Ritchson sebagai ketua Agensi baharu, Aimes dan Rita Moreno sebagai nenek Dom dan Mia.
Adakah ‘Fast X’ mampu menjadi filem paling berjaya dalam sejarah francais mereka? Nantikan filem ini di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei 2023. Atau jika anda ingin menontonnya secara eksklusif bersama MASKULIN, sertai contest MASKULIN x FAST X di laman Instagram @maskulinmag bermula hari ini.
Jangan lupa untuk patuhi dan ikuti segala syarat peraduan ya!`
Astro Originals meneruskan momentum karya premium tempatan dengan sebuah lagi siri yang dijangka mencetus perbualan hangat tentang ‘Honey Trap’ yang bakal ditayangkan bermula 20 Jun 2025.
Dengan latar dunia fiksyen Masraya yang diperkenalkan dalam siri ‘KUDETA (2022)’, ‘Honey Trap’ tampil mengangkat kisah seorang perisik wanita dalam dilema antara tanggungjawab negara dan konflik peribadi.
Drama bersiri ini hadir dengan 8 episod serta 2 episod istimewa, menampilkan watak utama, Surya Gabriel (lakonan Nina KSC), seorang perisik wanita elit, berkaliber dan berani.
Misi utamanya? Menumpaskan kumpulan pemberontak yang mengancam kestabilan Masraya. Namun, segalanya menjadi rumit apabila dia perlu merekrut aset yang ada kaitan rapat dengan musuh dan hubungan mereka mula berubah menjadi sesuatu yang lebih dari sekadar misi.
“Jika KUDETA memfokuskan kuasa dan politik secara besar-besaran, Honey Trap pula lebih bersifat peribadi dan mendalam dengan menampilkan sisi psikologi dan isu sosial.
“Kami percaya ini akan memberikan pengalaman tontonan yang segar, berani dan relevan, ” jelas Ketua Astro Shaw dan. Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad.
Walaupun Honey Trap diterajui watak wanita, kehadiran karakter lelaki dalam siri ini membawa naratif yang seimbang. Antara nama yang menguatkan barisan pelakon ialah Ungku Ismail, Syarul Ezani, Irfan Zaini dan Ayez Shaukat Fonseka.
Karakter-karakter lelaki dalam siri ini bukan sahaja memegang peranan penting dalam naratif, tetapi mencerminkan sisi kompleks, keliru dan juga hipokrit dalam dunia kuasa.
“Motifnya dendam. Tapi drama ini bersangkut paut dengan politik, kuasa dan hipokritikal. Cerita ni kompleks dan agak pening kepala bila baca skrip.
“Tapi bila kita dah shoot, kita nampak dan faham… dan tak susah sangat,” jelas Ungku Ismail, salah seorang pelakon ‘Honey Trap’ yang ditemui MASKULIN semalam di majlis pelancarannya semalam.
Siri ini bukan sahaja menawarkan elemen aksi dan ketegangan politik, tetapi juga memaparkan pergelutan dalaman dan psikologi yang lebih mendalam.
Isu kesihatan mental di tempat kerja, manipulasi struktur autoriti dan ketidakseimbangan kuasa turut dibawa secara halus namun berkesan.
Di sebalik naratif penuh aksi dan politik, ‘Honey Trap’ lahir daripada pengalaman peribadi pengarahnya, Imran Sheik, dalam menjaga ahli keluarga yang menghidap schizophrenia. Beliau yang juga mengarah KUDETA, kembali menerajui projek ini dengan visi lebih empatik dan psikologikal.
“Bukan niat saya untuk mensensasikan penyakit ini, sebaliknya untuk meningkatkan empati masyarakat terhadap mereka yang menghadapi isu kesihatan mental… pesakit mental memiliki kekuatan dalaman luar biasa yang jarang kita sedari,” jelas Pengarah, Imran Sheik.
Dengan kerjasama produksi Lacuna Pictures dan diterbitkan oleh Astro Shaw, ‘Honey Trap’ turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Goodday Charge, menerusi inisiatif promosi dan penempatan produk.
Tambahan pula, dua episod pertama boleh distrim terus di On Demand bermula hari pertama tayangan.
Honey Trap akan ditayangkan setiap:
Dengan plot penuh mencengkam, watak-watak yang memikat dan isu-isu kontemporari yang menggugah, ‘Honey Trap’ bukan sekadar sebuah siri thriller tapi ia cerminan konflik moden dalam dunia kuasa, psikologi dan moraliti manusia!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang