
Dalam dunia jam selam, warna biru bukan sesuatu yang asing. Namun untuk keluaran terbaharunya, Seiko memilih pendekatan yang lebih puitis dengan mengambil inspirasi daripada fenomena alam “Blue Tears”, cahaya bioluminesen yang membuatkan permukaan laut kelihatan seolah-olah bercahaya pada waktu malam.
Inspirasi itu diterjemahkan menerusi Seiko Prospex Diver’s Watch Blue Tears HBB006, edisi khas eksklusif Thong Sia Group yang menggabungkan karakter sebuah jam selam profesional dengan estetika yang lebih ekspresif.

Dial Biru Yang Jadi Tarikan Utama
Karakter utama model ini jelas terletak pada dial birunya.
Seiko menggunakan corak sunray halus untuk meniru kilauan plankton bioluminesen yang bergerak di bawah permukaan laut pada waktu malam. Permainan cahaya pada dial berubah mengikut sudut pandangan, menghasilkan kesan visual yang lebih hidup berbanding kemasan rata biasa.

Jarum saat berwarna biru terang dipadankan dengan bezel biru gelap bagi menguatkan tema lautan malam, sementara sapuan Lumibrite berintensiti tinggi pada jarum dan indeks memastikan keterbacaan kekal jelas dalam keadaan gelap.
Pendekatan ini menjadikan HBB006 bukan sekadar jam selam dengan warna biru, tetapi sebuah model yang cuba membawa unsur alam ke dalam reka bentuknya.
Saiz Yang Kekal Praktikal
Walaupun hadir dengan identiti visual yang kuat, bentuk jam ini masih mengekalkan bahasa reka bentuk Prospex yang praktikal.
Ia menggunakan sarung keluli tahan karat berdiameter 41.7mm dengan ketebalan 12.3mm, saiz yang masih munasabah untuk sebuah jam selam mekanikal dan tidak terlalu besar untuk penggunaan harian.

Kristal Hardlex digunakan pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakang menggunakan screw case back bersama screw-down crown. Tahap kalis air pula dinilai sehingga 200 meter, selari dengan fungsi asalnya sebagai jam selam.
Dari segi penampilan, model ini hadir dengan gelang keluli tahan karat sebagai konfigurasi utama.
Namun Seiko turut menyertakan tali silikon biru navy sebagai pilihan kedua. Pertukaran ini membolehkan jam tampil lebih formal dengan gelang keluli atau lebih santai dan sporty ketika menggunakan tali silikon.
Caliber 4R35, Mekanikal Yang Sudah Dikenali
Di sebalik dial birunya, HBB006 digerakkan oleh Caliber 4R35, sebuah pergerakan automatik Seiko yang turut boleh diputar secara manual.
Ia beroperasi pada frekuensi 21,600 getaran sejam atau 3Hz dan menawarkan rizab kuasa sekitar 41 jam.
Pemilihan 4R35 menjadikan model ini lebih dekat dengan karakter tradisional Prospex; fokusnya bukan kepada komplikasi rumit, tetapi kepada mekanisme automatik yang ringkas, praktikal dan sesuai digunakan sebagai jam harian.
Rintangan magnet pula dinyatakan pada 4,800 A/m. Seiko_TSG Exclusive PSX Blue Te…
Edisi Terhad 1,200 Unit
Nilai utama Blue Tears ini bukan hanya datang daripada reka bentuk, tetapi juga sifatnya sebagai keluaran terhad.
Hanya 1,200 unit akan dihasilkan untuk pasaran di bawah Thong Sia Group, meliputi Malaysia, Brunei, Hong Kong, Macau dan Singapura. Model ini mula ditawarkan pada Oktober 2026 menerusi butik Seiko serta peruncit terpilih di negara-negara tersebut.
Untuk pasaran Malaysia, harga runcit yang disyorkan ialah RM2,750. Setiap pembelian model ini turut disertakan dengan tikar piknik Prospex sebagai hadiah pelancaran.
Antara Tool Watch & Jam Gaya Hidup
Seiko Prospex Blue Tears menarik kerana ia berada di tengah-tengah dua dunia.
Dari satu sisi, ia masih sebuah diver’s watch sebenar dengan sarung keluli, mahkota berulir, Lumibrite, rintangan air 200 meter dan pergerakan mekanikal automatik.
Namun dari sisi lain, inspirasi bioluminesen, dial sunray dan jarum saat biru memberikan karakter yang lebih emosional serta mudah dipakai sebagai jam gaya hidup.
BACA: 10 Fakta Bahrain Grand Prix 2026 Di Malaysia, F1 Kembali Ke Sepang!
Bagi peminat Prospex, model ini menawarkan sesuatu yang cukup familiar dari segi teknikal, tetapi dengan wajah yang lebih unik dan eksklusif.
Dan dengan hanya 1,200 unit dihasilkan, daya tarikannya mungkin bukan sekadar pada warna biru yang cantik, tetapi pada hakikat bahawa tidak ramai akan memilikinya.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
