KEKEJANGAN OTOT IALAH KONTRAKSI OTOT YANG KUAT DI LUAR KAWALAN. KONTRAKSI OTOT INI AKAN BERTERUSAN DAN BIASANYA TERJADI SECARA TIBA-TIBA.
Keadaan itu menimbulkan rasa sakit kuat yang mengganggu pergerakan anggota berkenaan. Kekejangan otot sering berlaku ketika bersukan dan menjalani aktiviti fizikal terutama dalam kalangan atlet.
PUNCA KEKEJANGAN DISEBABKAN PENGUMPULAN ASID LAKTIK DAN BAHAN TOKSIK SECARA BERLEBIHAN. PADA MASA SAMA, IA MENGAKIBATKAN KANDUNGAN OKSIGEN DAN NUTRIEN DI DALAM OTOT SEMAKIN BERKURANGAN.
KEKEJANGAN OTOT SELEPAS BERSENAM
– Kontraksi otot luar kawal yang menyakitkan berlaku semasa atau selepas bersenam.
– Kelesuan yang melampau iaitu kehausan otot berpunca daripada aktiviti yang melebihi tahap kemampuan.
– Fasa memanaskan dan menyejukkan badan yang tidak mencukupi.
– Hanya berlaku pada otot yang digunakan secara berlebihan daripada kemampuan.
KEKEJANGAN OTOT AKIBAT KELETIHAN
– Ia biasa berlaku dalam kalangan atlet yang banyak kehilangan elektrolit selepas berpeluh.
KEKEJANGAN OTOT AKIBAT CUACA PANAS
– Ia berlaku disebabkan kehilangan sejumlah besar kuantiti air dan garam di dalam badan terutama selepas bersenam pada suhu yang panas.
– Selalunya bermula di kaki tetapi boleh membabitkan bahagian yang lain.
FAKTOR KEKEJANGAN OTOT BERLAKU DISEBABKAN BERSENAM.
Umur – Individu yang berusia lebih cenderung mengalami kekejangan otot disebabkan otot badan yang mula kendur dan mengecil. Anggota badan mudah letih ketika aktiviti fizikal.
Atlet – Atlet acara jarak jauh mudah mengalami kekejangan terutama apabila cuaca panas. Kecederaan yang dialami ketika menjalani latihan pada awal musim boleh juga menjadi punca.
Dehidrasi – Kurang pengambilan air tetapi berpeluh secara berlebihan boleh meningkatkan risiko kekejangan otot.
Obesiti – Otot yang menampung berat badan berlebihan sering mengalami kekejangan terutama pada bahagian kaki kerana kekurangan daya tahan.
Intensiti dan tempoh senaman yang berlebihan – Senaman berintensiti tinggi yang dilakukan secara berlebihan menjadi punca berlakunya kekejangan otot.
Teknik regangan otot yang salah – Regangan otot yang dilakukan secara sambil lewa sebelum memulakan senaman boleh mengakibatkan otot menjadi kejang.
PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN KETIKA KEKEJANGAN OTOT:
Berhenti dan berehat di kawasan yang mempunyai pengaliran udara yang baik.
Minum air yang mencukupi. Elak minum air berkafein yang akan merangsang anda membuang air kecil.
Letak ais pada otot bagi mengurangkan intensiti sakit.
Urutan ringan akan membantu mengurangkan kekejangan.
Lakukan regangan secara perlahan sehingga simptom berkurangan.
Kekejangan otot disebabkan senaman boleh dikurangkan melalui beberapa cara.
Bersedia sepenuhnya dari segi fizikal sebelum memulakan aktiviti.
Lakukan regangan mencukupi ke atas otot yang cenderung mengalami kekejangan.
Pastikan pengambilan nutrisi dan air mencukupi.
Mulakan aktiviti dengan tempoh dan intensiti yang optimum.
Pastikan minum air pada kadar awal sekiranya berlaku dehirasi.
Kurangkan berat badan berlebihan.
Banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Jika perkongsian fakta yang salah atau tidak tepat di bidang agama boleh menyebabkan seorang agamawan direhatkan daripada bersiaran di media arus perdana seperti stesen televisyen, perkara yang sama juga perlu dilaksanakan untuk bidang yang lain.
Hal ini disebabkan perkongsian fakta yang salah atau tidak tepat boleh berlaku di mana-mana bidang termasuklah bidang kecergasan dan kesihatan.
Seorang jurulatih kecergasan Kamarul Izzwan Zaman, atau lebih dikenali sebagai Kam Izzwan berkongsi pendapat demikian menerusi sebuah hantaran video di laman media sosialnya.
“Dalam dunia kesihatan ini banyak sangat ajaran kesihatan. Dari segi nak sihat tak boleh makan selepas pukul tujuh (pm), dari segi nak sihat tak boleh makan karbo (karbohidrat),” kata Kam susulan isu pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal yang direhatkan daripada sebuah program rancangan televisyen.
Ulasnya, perkongsian maklumat sebegitu boleh menyebabkan masyarakat menjadi keliru.
“Tapi kalau kita tengok kesahihan atau berdasarkan fakta, banyak sahaja fakta kata (jika) anda nak kawal gula, siapa kata tak boleh makan nasi?” tambahnya.
Oleh yang demikian, Kam berharap agar tindakan yang sama boleh dilaksanakan kepada bidang kecergasan dan kesihatan juga.
Sampaikan Ilmu Berdasarkan Fakta Sahih, Bukan Sekadar Pengalaman
Tambah Kam, seseorang penceramah kesihatan atau kecergasan perlu menyampaikan ilmu berdasarkan fakta dari sumber kajian yang sahih, bukan sekadar dari pengalaman peribadi semata-mata.
“Kalau anda cakap sesuatu, jangan sekadar cakap ‘dulu saya berjaya turun 10 kilogram sebab saya buat macam ini’. Itu bukan kesahihan, itu pengalaman.
“Kesahihan ialah lebih kepada ‘mengikut fakta, mengikut kajian, inilah sebab mengapa anda masih boleh makan sebelum tidur. Inilah sebab mengapa anda masih boleh makan karbohidrat dan mengurangkan lemak’. Itu kesahihan dan juga fakta,” jelas Kam.
Terdahulu, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM), susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Memetik laporan Harian Metro, Ustaz Don menerusi sebuah siaran radio telah mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali, yang juga dikatakan cinta pertama Baginda.
Kenyataan Ustaz Don itu kemudian ditegur oleh beberapa tokoh agamawan namun tiada sebarang pembetulan dilakukan beliau.
Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan yang walaupun kisah tersebut benar, namun lamaran Baginda hanya ditolak sekali sahaja sewaktu Ummu Hani baru memeluk Islam.
Dakwaan dua lamaran yang ditolak sebelum itu adalah tidak diterima kerada sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.
Bahkan, kenyataan mengenai Ummu Hani merupakan cinta pertama Bagina turut diragui kerana tiada ayat Al-Quran, riwayat hadis atau athar para sahabat yang menyebut mengenai perkara ini.
Ustaz Don yang sedang mengendalikan program Salam Baitullah di stesen itu juga mencetuskan perdebatan di media sosial kerana didakwa kerap berkongsi kisah atau hadis yang tidak sahih atau terlalu dhaif, demikian lapor Kosmo.