Tahukah anda pada masa kini ramai di kalangan lelaki yang kurang bersenam dan melakukan aktiviti fizikal berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik?
Mengapakah perkara seperti ini boleh berlaku walhal ada di antara mereka hanya duduk di kerusi dan melakukan kerja di meja pejabat seharian suntuk.
Sakit Pinggang Boleh Melarat Jadi Kronik, 3 Regangan Terbaik Rawat Sakit Pinggang
Masalah sakit belakang di kalangan lelaki sebenarnya bukanlah satu perkara asing. Ia merupakan satu fenomena biasa yang kita lihat berlaku di antara rakan-rakan terdekat. Malah lebih buruk jika sakit belakang itu melibatkan kecederaan serius seperti ‘slip disc’.
Sebab itulah penting untuk memasukkan regangan pinggang ke dalam rutin senaman anda bagi meningkatkan mobiliti, mencegah kecederaan dan menangani ketidakselesaan sedia ada.
Ini 3 senaman boleh dicuba:
Ads
1. OPEN BOOKS
Caranya dengn berbaring secara mengiring pada bahagian kanan badan. Angkat lutut agar sejajar dengan paha dan sebaiknya letakkan bantal di bawah leher untuk memberi sokongan pada kepala. Tarik nafas dan pastikan bahu anda sentiasa dalam keadaan relaks.
Sambil memusingkan tubuh, angkat lengan kiri ke atas dan letak di belakang badan. Perhatian setiap pergerakan anda. Pastikan kedudukan pelvis dan betis tidak beralih. Anda boleh berhenti seketika untuk mengambil nafas selama tiga saat. Hembus nafas sambil membawa lengan kembali ke posisi mula. Ulangi sebanyak 3-5 kali untuk setiap sisi.
Ads
2. CAT COW
Dalam posisi merangkak, lentikkan punggung dan tolak dada ke hadapan sambil bernafas. Kemudian dongak kepala, relakskan bahu dan pandang ke hadapan. Semasa menghembus nafas, kendurkan badan sambil kepala menghadap lantai dan relaks. Ulang 10 kali.
Dalam posisi merangkak, angkat tangan kanan ke atas sambil memerhatikannya. Teruskan memerhati sambil hayunkan tangan kanan tadi ke bawah bahagian kiri tubuh. Ulang 10 kali pada kedua-dua belah sisi badan.
Ramai rakyat Malaysia mempunyai pelbagai istilah tersendiri apabila mengalami sakit perut. Ada yang menyalahkan makanan pedas, kopi, tekanan kerja atau waktu makan yang tidak menentu.
Tidak kurang juga yang terus membeli ubat antasid di farmasi dengan harapan masalah akan hilang seperti biasa.
Namun menurut pakar, jika simptom seperti pedih ulu hati, kembung perut atau sakit di bahagian atas abdomen kerap berulang, ia mungkin bukan lagi sekadar “gastrik biasa”, sebaliknya petanda kepada masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.
Pakar Bedah Am & Gastrousus Atas (Perunding), Dr. Tee Sze Chee, bersama Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman (Perunding), Dr. Muhammad Ilham Abdul Hafidz dari Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) berkata, endoskopi saluran gastrousus (GI) atas merupakan antara prosedur terbaik untuk mengenal pasti punca sebenar simptom yang dialami pesakit.
Menurut Dr. Tee, ramai pesakit menangguhkan pemeriksaan kerana simptom tersebut datang dan pergi, sekali gus menyebabkan mereka beranggapan masalah itu tidak serius.
Hakikatnya, simptom seperti pedih ulu hati yang berpanjangan, refluks asid, kembung perut, loya, sakit di bahagian ulu hati serta kesukaran menelan boleh berpunca daripada pelbagai penyakit termasuk gastritis, ulser peptik, jangkitan bakteria Helicobacter pylori mahupun keadaan yang lebih serius seperti kanser gastrik.
Tambah beliau, pengambilan ubat tanpa preskripsi hanya mampu melegakan simptom buat sementara waktu tetapi tidak dapat mengenal pasti punca sebenar masalah.
“Sakit perut seperti pedih ulu hati yang kerap, kesukaran atau kesakitan ketika menelan, loya yang berpanjangan, penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas, hilang selera makan, muntah darah atau najis berwarna hitam adalah antara simptom yang perlu diteliti oleh doktor.
“Walaupun ubat yang dibeli tanpa preskripsi boleh memberikan kelegaan sementara, adakalanya pengambilan ubatan tersebut boleh menyembunyikan masalah kesihatan sebenar yang memerlukan rawatan perubatan,” jelasnya lagi.
Endoskopi GI atas ialah prosedur yang menggunakan tiub nipis dan fleksibel yang dilengkapi kamera definisi tinggi untuk memeriksa bahagian dalam esofagus, perut dan duodenum secara langsung.
Melalui prosedur ini, doktor boleh melihat keadaan saluran penghadaman dengan lebih jelas berbanding hanya bergantung kepada simptom yang diceritakan pesakit.
Ia juga membolehkan doktor mengenal pasti ulser, keradangan, polip, ketumbuhan atau mengambil sampel tisu (biopsi) jika diperlukan.
Menurut Dr. Muhammad Ilham, kebanyakan pesakit sebenarnya lebih takut kepada bayangan prosedur berbanding prosedur itu sendiri.
Antara kebimbangan paling lazim ialah takut berasa sakit atau bimbang tersedar ketika pemeriksaan dijalankan.
Namun menurut beliau, kedua-dua kebimbangan tersebut sebenarnya tidak berasas.
Sebelum prosedur, pesakit hanya perlu berpuasa selama enam hingga lapan jam bagi memastikan perut kosong. Mereka juga perlu memaklumkan doktor mengenai ubat-ubatan yang sedang diambil atau sejarah alahan yang pernah dialami.
Semasa prosedur pula, pesakit akan diberikan ubat pelali secara intravena sebelum endoskop dimasukkan melalui mulut.
“Pesakit tidak akan merasa atau mengingati apa-apa sepanjang prosedur.”
Keseluruhan proses biasanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.
Selepas selesai, pesakit hanya perlu berehat seketika di ruang pemulihan sementara kesan ubat pelali hilang sebelum dibenarkan pulang.
Ramai pesakit turut berasa cemas apabila doktor memaklumkan biopsi perlu dilakukan.
Sebenarnya, menurut Dr. Ilham, biopsi merupakan prosedur standard dalam banyak kes endoskopi.
Ia bukan semestinya kerana doktor mengesyaki kanser, tetapi turut dilakukan bagi mengesan jangkitan Helicobacter pylori atau menilai perubahan tisu sekiranya terdapat ulser, polip atau ketumbuhan yang dikesan ketika pemeriksaan.
Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih 60 peratus kes kanser di negara ini hanya dikesan ketika sudah berada pada tahap tiga atau empat.
Bagi kanser gastrik pula, data GLOBOCAN 2022 merekodkan sebanyak 1,528 kes baharu dan 1,223 kematian dalam tempoh setahun di Malaysia. Statistik ini menunjukkan ramai pesakit mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap lewat.
Dr. Tee menegaskan bahawa kelegaan selepas mengambil ubat tidak bermaksud masalah tersebut sudah selesai.
“Ubat yang melegakan tidak bermaksud masalah sudah selesai.
“Banyak keadaan yang menyebabkan simptom GI atas yang berpanjangan adalah biasa dan mudah dirawat, tetapi ada juga simptom yang sebenarnya adalah tanda awal penyakit yang lebih serius, termasuk kanser gastrik. Simptom sahaja tidak cukup untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku.”
Dr. Muhammad Ilham turut menegaskan bahawa kelewatan mendapatkan diagnosis boleh memberi kesan besar terhadap peluang rawatan.
“Dalam amalan klinikal, pengesanan lewat bukan sekadar menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar. Ia juga bermaksud pesakit sedang berdepan dengan hasil rawatan yang sangat berbeza.
Pengesanan lebih awal memberi lebih banyak pilihan rawatan. Apabila kanser gastrik dikesan terlalu lewat, selalunya peluang untuk sembuh sangat terhad. Itulah realiti yang kami cuba ubah.”
Beliau turut memberi jaminan kepada mereka yang masih takut menjalani endoskopi.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Prosedurnya sangat mudah dan ringkas. Tidak sakit, cepat, dan sangat selamat.”
Akhirnya, endoskopi bukanlah prosedur untuk mencari penyakit semata-mata, tetapi satu langkah mendapatkan jawapan yang tepat terhadap simptom yang dialami.
Daripada terus membuat andaian bahawa semua sakit perut berpunca daripada “gastrik”, mendapatkan diagnosis awal bukan sahaja mampu memberi ketenangan, malah berpotensi menyelamatkan nyawa melalui rawatan yang lebih cepat dan berkesan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kehidupan yang sibuk sering menyebabkan lelaki mengabaikan pemakanan, mengutamakan kerja dan memilih makanan segera yang kurang berkhasiat.
Namun, diet yang betul dapat membantu mengekalkan tenaga, meningkatkan fokus dan memastikan tubuh kekal cergas.
Berikut adalah panduan diet mudah yang sesuai untuk lelaki dengan jadual yang padat.
Sarapan adalah makanan paling penting kerana ia memberikan tenaga untuk memulakan hari.
Bagi lelaki sibuk, sarapan mudah seperti oat segera dengan susu dan buah-buahan, smoothie pisang dengan yogurt dan mentega kacang atau sepasang telur rebus bersama roti gandum adalah pilihan ideal.
Untuk menjimatkan masa, sediakan bahan sarapan pada malam sebelumnya agar anda tidak tergesa-gesa pada waktu pagi.
Menghadapi hari yang sibuk memerlukan snek yang sihat untuk mengekalkan tenaga.
Pilihan seperti badam, walnut atau kekacang tanpa garam boleh membantu mengelakkan rasa lapar melampau.
Buah-buahan seperti epal atau pisang serta protein bar rendah gula, juga sesuai untuk dimakan di tengah-tengah kesibukan.
Elakkan snek seperti coklat dan kerepek kentang yang tinggi gula dan kalori kosong.
Walaupun sibuk, cuba elakkan makanan segera seperti burger atau ayam goreng.
Sebaliknya, pilih hidangan seimbang yang mengandungi protein (contohnya ayam, ikan atau tofu), karbohidrat kompleks (seperti nasi perang atau quinoa) dan sayur-sayuran segar.
Jika anda makan di luar, pilih restoran yang menawarkan menu sihat seperti sup, salad atau makanan panggang.
Ini membantu memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari.
Dehidrasi boleh menyebabkan keletihan, kurang fokus dan menjejaskan produktiviti.
Pastikan anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Membawa botol air ke tempat kerja atau ke mana sahaja adalah cara mudah untuk memastikan anda kekal terhidrat.
Gantikan minuman manis seperti soda dengan air kosong atau teh tanpa gula untuk pilihan yang lebih sihat.
Makan lewat malam boleh mengganggu sistem pencernaan dan menyumbang kepada peningkatan berat badan.
Jika anda lapar pada waktu malam, pilih makanan ringan yang sihat seperti segelas susu rendah lemak, sebiji buah seperti epal atau yogurt rendah lemak.
Ini membantu mengelakkan rasa lapar tanpa menjejaskan kesihatan.
Diet yang sihat tidak bermaksud anda perlu melepaskan semua makanan kegemaran anda.
Tetapkan satu hari dalam seminggu untuk “cheat day” di mana anda boleh menikmati makanan yang anda suka.
Namun, pastikan anda tidak berlebihan dan kembali kepada rutin pemakanan sihat selepas itu.
Ingatlah, kesihatan adalah pelaburan jangka panjang yang paling berharga untuk kejayaan hidup anda. Mulakan perubahan kecil hari ini untuk hasil yang besar esok! 💪
Jangan lupa saksikan program realiti kecergasan paling mantap, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ yang akan mula ditayangkan bermula 29 November, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria!
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Bagi ramai orang terutamanya lelaki di Malaysia, makan pedas bukan sekadar selera, tetapi ia adalah satu gaya hidup. Bahkan ia adalah satu budaya yang diterapkan dalam menu harian kita.
Tak keterlaluan MASKULIN katakan ada yang tak lalu makan kalau sambal tak cukup padu. Ada yang sanggup berpeluh satu badan demi rasa puas.
Tapi bila masuk fasa jaga badan, masuk gym atau mula serius dengan larian, satu soalan mula timbul. Adakah makan pedas boleh jejaskan stamina dan kecergasan lelaki?
Jawapan secara permukaan, dia bergantung pada situasi. Pedas boleh jadi kawan, boleh juga jadi musuh.
Secara asasnya, makanan pedas tidak terus merosakkan stamina. Tapi kalau waktu anda makan pedas terlalu dekat dengan sesi workout atau larian, risiko besar ialah gangguan perut, bukan masalah tenaga.
Dalam dunia endurance, masalah gastrointestinal distress seperti kembung, memulas, cirit atau loya memang antara punca utama prestasi drop. Isu ini juga biasa berlaku dalam kalangan atlet endurance dan boleh memberi kesan negatif kepada prestasi.
Maksudnya di sini, kalau perut anda meragam masa tengah lari, stamina tak sempat keluar pun. Mulalah kalut nak cari toilet!
Komponen utama yang buat cili pedas ialah capsaicin. Menariknya, ada kajian mendapati capsaicin boleh memberi kesan ergogenic, iaitu potensi membantu prestasi untuk sesetengah bentuk senaman.
Meta analysis dalam jurnal Nutrients mendapati capsaicin dan capsiate berpotensi memberi kesan positif terhadap muscular endurance.
Dalam bahasa mudah, anda mungkin boleh buat lebih banyak reps atau tahan lebih lama dalam kerja otot tertentu. Tetapi ini biasanya melibatkan dos yang dikawal dalam kajian, bukan semata-mata makan pedas kaw-kaw.
Terdapat juga kajian lain menunjukkan supplementation capsaicinoid boleh memberi peningkatan kecil terhadap time to exhaustion dan prestasi resistance.
Namun ia bukan lesen untuk claim makan pedas confirm laju. Ia lebih kepada kelebihan kecil dan bergantung kepada individu.
Kalau anda jenis ada gastrik, acid reflux atau perut sensitif, pedas boleh jadi punca simptom makin teruk. Ini akan ganggu latihan sebab anda cepat rasa tak selesa, cepat penat dan hilang fokus.
Stamina lelaki bukan sekadar paru-paru dan kaki. Perut pun main peranan besar dalam kecergasan keseluruhan.
Ramai salah faham bila makan pedas dan berpeluh, terus ingat badan tengah membakar lemak . Sebenarnya itu reaksi badan terhadap capsaicin, termasuk rasa panas dan peluh.
Ada kajian menunjukkan capsaicin boleh meningkatkan energy expenditure dan fat oxidation, tetapi kesan sebenar dalam hidup harian bergantung pada keseluruhan diet dan kalori.
Kalau anda memang kaki pedas, cara paling mantap ialah menjarakkan waktu anda makan pedas dengan waktu training atau running.
Elakkan pedas 24 hingga 48 jam sebelum race penting dan test dulu masa latihan, jangan eksperimen masa event.
Ramai jurulatih endurance turut berpendapat dan menyarankan untuk anda elak makanan pedas sebelum perlumbaan kerana risiko gangguan perut.
Makan pedas tak semestinya jatuhkan stamina. Tapi kalau timing salah atau perut anda sensitif, ia boleh merosakkan performance dengan cepat.
Dalam masa sama, capsaicin ada potensi membantu dari segi endurance dan muscular endurance, cuma kesannya kecil dan bukan semua orang akan rasa.
Jika anda lelaki aktif yang serius dengan kecergasan, strategi paling bijak ialah kenal badan sendiri, kawal timing, dan jangan biar selera sabotaj prestasi anda.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang