
Hubungan Malaysia dan Indonesia sekali lagi menjadi perhatian selepas tercetus kontroversi melibatkan kenyataan seorang pelakon Indonesia berkaitan isu boikot terhadap sebuah jenama penjagaan diri dari negara berkenaan.
Melihat perbalahan di media sosial semakin memanas, pelakon Sharnaaz Ahmad tampil menyuarakan pandangannya dan meminta kedua-dua pihak tidak terus membesarkan keadaan sehingga menjejaskan hubungan masyarakat dua negara serumpun itu.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Sharnaaz, 41, menegaskan bahawa tindakan atau kenyataan seorang individu tidak sepatutnya menjadi sebab hubungan yang sudah lama terjalin antara rakyat Malaysia dan Indonesia terjejas.
“Jangan disebabkan oleh hang seorang, kami macam aku, Yayan, Iko Uwais, Kang Cecep, kami ni berkawan dah lama.
“Jangan benda-benda macam ni merosakkan kami punya hubungan. Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia adalah industri nusantara.
“Aku tak salahkan netizen Indonesia sahaja, Malaysia pun sama yang kadangkala over juga. Kalau nak cari salah siapa, isu ini tak akan selesai,” katanya.
Mahu Dua Negara Saling Menyokong
Bagi pelakon filem Blood Brothers itu, Malaysia dan Indonesia mempunyai terlalu banyak persamaan dari segi bahasa, budaya serta industri kreatif untuk terus terperangkap dalam pertikaian yang tidak berkesudahan.
Malah, Sharnaaz melihat kerjasama antara kedua-dua negara sebagai sesuatu yang lebih bermanfaat berbanding terus berbalas kenyataan dan provokasi di media sosial.

“Cuba kalau Malaysia dengan Indonesia ni bergabung, kan lagi bagus.
“Kita boleh berbual dengan baik, kita boleh berkongsi budaya bersama, daripada kita nak bergaduh macam ni.”
Pandangan itu turut mencerminkan hubungan yang sudah lama wujud dalam industri hiburan serantau apabila ramai penggiat seni Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan profesional serta persahabatan yang merentasi sempadan.
Sharnaaz sendiri menyebut beberapa nama pelakon aksi Indonesia seperti Yayan Ruhian, Iko Uwais dan Cecep Arif Rahman yang mempunyai hubungan baik dengannya.
“Jangan Persoalkan Agama, Bangsa Dan Budaya”
Dalam masa sama, Sharnaaz tidak menafikan kedua-dua negara mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Namun katanya, perbezaan itu perlu diterima tanpa menjadikannya alasan untuk menyentuh perkara sensitif yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Indonesia ada kebaikan dia, Malaysia ada kebaikan dia. Dua-dua pun ada keburukan dia.
“Terimalah perbezaan dan kekurangan masing-masing, okay. Tapi jangan persoalkan agama, bangsa dan budaya.
“Jangan cabar, semuanya ada batas.”
Bagi Sharnaaz, perbezaan pendapat masih boleh berlaku tanpa perlu membawa perbalahan kepada isu identiti, bangsa atau budaya.
Lebih penting, beliau mahu orang ramai memahami bahawa kenyataan individu tertentu tidak seharusnya digunakan untuk menggambarkan keseluruhan rakyat sesebuah negara.
Lihat siaran ini di Instagram
Bermula Daripada Kontroversi Boikot Kahf
Terdahulu, pelakon Indonesia Boy Hamzah menjadi perhatian selepas mengulas tindakan sebahagian rakyat Malaysia yang menyeru boikot terhadap jenama penjagaan diri Indonesia, Kahf.
Dalam kenyataannya, Boy membandingkan jumlah penduduk Malaysia yang dianggarkan sekitar 34 juta orang dengan Indonesia yang mempunyai populasi jauh lebih besar.
Berdasarkan perbandingan itu, Boy mendakwa kempen boikot oleh pengguna Malaysia tidak akan memberikan kesan besar kepada jenama berkenaan.
BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang
Kenyataannya kemudian mengundang lebih banyak kritikan apabila beliau turut menyentuh soal sejarah dan mendakwa Malaysia tidak akan wujud tanpa Indonesia.
Susulan itu, perdebatan di media sosial semakin melebar dan tidak lagi tertumpu kepada isu asal membabitkan jenama berkenaan.
Jangan Biarkan Media Sosial Jadi Jurang
Apa yang cuba disampaikan Sharnaaz adalah supaya pertikaian tersebut tidak berkembang menjadi sentimen lebih besar antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
Dalam era media sosial, satu kenyataan daripada seorang individu mudah dikongsi dan ditafsirkan seolah-olah mewakili seluruh masyarakat.
Hakikatnya, hubungan dua negara serumpun itu jauh lebih besar daripada satu kontroversi dalam talian.
Seperti yang ditegaskan Sharnaaz, kedua-dua pihak mempunyai ruang untuk tidak bersetuju, namun masih boleh berkomunikasi dengan matang tanpa merendahkan budaya, bangsa mahupun identiti satu sama lain.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
