
Ketika kebanyakan pelumba Formula 1 memilih penerbangan singkat atau perjalanan selesa untuk bergerak dari satu lokasi perlumbaan ke lokasi seterusnya, Valtteri Bottas memilih cara yang jauh berbeza.
Pelumba Cadillac itu menamatkan perjalanan berbasikal sejauh 419.67 kilometer dari Malaysia ke Singapura, merentasi laluan jalan raya, kawasan luar bandar dan trek gravel selama empat hari sebelum tiba di republik itu pada Rabu.
Perjalanan tersebut bermula beberapa jam selepas berakhirnya Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad lalu. Bottas kemudian menuju ke selatan bagi menghadapi Singapore Grand Prix yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober.
Dari Sepang, Terus Naik Basikal
Apa yang pada awalnya dianggap sebagai perjalanan sekitar 350 kilometer sebenarnya menjadi jauh lebih panjang kerana Bottas tidak memilih laluan paling terus ke Singapura.
Dia mencampurkan jalan berturap dengan laluan gravel, jalan kampung dan kawasan ladang sepanjang perjalanan.
Selepas dilihat beberapa peminat keluar dari kawasan Sepang dalam pakaian berbasikal ketika trafik selepas perlumbaan masih sesak, Bottas kemudian mengesahkan sendiri misinya menerusi media sosial.

“Ya, saya berbasikal ke Singapura. Melalui jalan gravel yang jarang dilalui dengan Canyon Grail CFR baharu saya. Jumpa anda di sana,” tulisnya.
Pelumba Finland itu ditemani oleh pelumba basikal Malaysia, Shaiful Nizam Yahya atau Epul, termasuk ketika mereka menyeberangi Tambak Johor menuju ke Singapura pada hari terakhir.
Lebih 160KM Dalam Satu Hari
Data yang dikongsikan melalui Strava menunjukkan Bottas bukan sekadar mengayuh secara santai.
Pada hari pertama, dia mencatat 56.6km dalam masa dua jam lapan minit selepas meninggalkan kawasan Sepang.
Hari kedua menjadi antara segmen paling panjang apabila dia mengayuh 161.91km dalam tempoh hampir enam jam. Perjalanan diteruskan dengan kira-kira 160km lagi pada Selasa sebelum baki sekitar 40km diselesaikan pada Rabu.

Keseluruhan perjalanan empat hari itu akhirnya mencapai 419.67km.
Laluan yang dipilih turut membawanya merentasi trek tanah, ladang kelapa sawit dan beberapa kawasan yang dilalui pada waktu malam.
Daripada perspektif seorang pelumba F1, perjalanan itu mungkin jauh lebih perlahan daripada kelajuan yang biasa dialaminya di dalam jentera lumba. Tetapi dari sudut ketahanan fizikal, menghabiskan ratusan kilometer di atas basikal sebelum satu lagi hujung minggu perlumbaan bukanlah cabaran kecil.
Bukan Sekadar ‘Stunt’
Minat Bottas terhadap dunia berbasikal sebenarnya bukan perkara baharu.
Pelumba berusia 37 tahun itu memang terkenal sebagai penggemar sukan berbasikal dan pernah menyertai acara gravel ketika berada di luar jadual F1. Dia juga merupakan antara individu di sebalik acara FNLD GRVL di Finland.
Minat itu turut dikongsi bersama pasangannya, Tiffany Cromwell, pelumba basikal profesional Australia yang pernah mewakili negaranya di peringkat Olimpik serta kejohanan antarabangsa.
Jadi, perjalanan dari Malaysia ke Singapura ini bukan sekadar satu aksi spontan selepas perlumbaan.
Ia selari dengan gaya hidup Bottas yang cukup dekat dengan sukan ketahanan dan basikal.
Dari DNF Di Sepang Ke Cabaran 419KM
Bottas sebenarnya tidak menikmati keputusan terbaik di Sepang apabila perlumbaannya berakhir lebih awal selepas terbabas ke kawasan batu kerikil dalam keadaan trek basah.
Namun bukannya terus berehat selepas keluar daripada perlumbaan, dia menukar fokus kepada cabaran berikutnya, kali ini tanpa enjin dan menggunakan kudrat sendiri.
Empat hari kemudian, dia selamat tiba di Singapura tepat pada masanya untuk menjalani tugasan media Formula 1 sebelum hujung minggu perlumbaan bermula.
Persediaannya juga agak luar biasa kerana Singapore Grand Prix kali ini menggunakan format Sprint. Pelumba hanya mempunyai satu sesi latihan bebas sebelum terus memasuki Sprint Qualifying pada malam Jumaat.
419.67km commute ✔️
Well arrived in Singapore this arvo. What an epic adventure 🐍 more to come eventually! https://t.co/gOQ8d9pNR5
— Valtteri Bottas (@ValtteriBottas) October 7, 2026
419KM Sebelum Cabaran Marina Bay
Singapore Grand Prix sendiri terkenal sebagai antara perlumbaan paling mencabar secara fizikal dalam kalendar Formula 1, dengan cuaca panas, kelembapan tinggi serta litar jalan raya yang memerlukan konsentrasi berterusan.
Justeru, hakikat bahawa Bottas tiba selepas empat hari mengayuh lebih 419km menjadikan perjalanannya antara kisah paling unik menjelang perlumbaan tersebut.

BACA: Lelaki Ini Lari Maraton Berlin Dengan Crocs, Catat Masa Sekitar 2 Jam 30 Minit
Daripada deruman enjin di Sepang kepada bunyi rantai basikal di jalan-jalan Malaysia, Bottas memilih perjalanan yang mungkin jauh lebih panjang, tetapi jauh lebih sukar untuk dilupakan.
Dan selepas 419.67 kilometer merentasi dua negara, dia akhirnya tiba di Singapura dengan cara yang mungkin tidak pernah terlintas dilakukan oleh kebanyakan pelumba Formula 1 lain.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
