
Kemeja denim antara item yang mudah disimpan lama dalam almari kerana sifatnya yang versatil. Ia boleh nampak kasual, rugged atau lebih kemas bergantung kepada cara dipadankan.
Cabaran utama cuma satu, jangan sampai gaya denim kelihatan terlalu berat atau seperti kostum koboi. Dengan pemilihan warna, potongan dan lapisan yang betul, kemeja denim sebenarnya cukup mudah digayakan untuk pelbagai suasana.
1. Padankan Dengan Seluar Chinos Untuk Gaya Paling Selamat

Jika mahu penampilan yang kemas tetapi masih santai, padankan kemeja denim dengan chinos.
Warna seperti khaki, beige, olive atau hitam cukup mudah digandingkan dengan denim biru. Kombinasi ini sesuai untuk gaya hujung minggu, makan tengah hari atau pejabat yang tidak terlalu formal.
Untuk nampak lebih rapi, pilih kemeja denim yang potongannya tidak terlalu longgar dan lipat lengan hingga ke bawah siku.
2. Denim Dengan Seluar Hitam, Susah Nak Salah
Antara kombinasi paling mudah ialah kemeja denim biru bersama seluar hitam.
Kontras kedua-dua warna ini menjadikan keseluruhan penampilan lebih seimbang. Ia juga membantu kemeja denim menjadi fokus tanpa membuat gaya kelihatan terlalu sarat.
Boleh lengkapkan penampilan dengan kasut putih, loafer hitam atau but kulit bergantung kepada tahap formaliti yang diinginkan.
3. Nak Cuba ‘Double Denim’? Bezakan Ton Warna
Memakai denim atas dan bawah tidak semestinya menjadi kesalahan fesyen.
Kuncinya ialah jangan gunakan warna denim yang terlalu sama. Jika kemeja berwarna biru muda, pilih seluar jeans biru gelap atau hitam. Begitu juga sebaliknya.
Perbezaan tona membantu memecahkan keseluruhan penampilan supaya ia tidak kelihatan seperti satu set pakaian.
Elakkan juga terlalu banyak elemen denim dalam satu masa. Kemeja dan seluar sudah mencukupi.
4. Jadikan Sebagai Lapisan Luar
Kemeja denim juga boleh berfungsi seperti jaket ringan.
Pakai secara terbuka bersama kemeja-T putih, hitam atau kelabu di bahagian dalam. Padankan dengan seluar chinos, jeans hitam atau cargo pants untuk gaya lebih santai.
Teknik ini sangat berguna jika kemeja denim anda mempunyai material sedikit tebal atau potongan yang lebih besar.
Ia juga memberikan dimensi pada penampilan berbanding memakai kemeja secara biasa.
5. Pilih Kasut Mengikut Karakter Gaya

Kasut boleh mengubah keseluruhan karakter kemeja denim.
Sneaker putih memberikan imej bersih dan moden, manakala kasut but kulit menghasilkan penampilan lebih lasak. Untuk gaya smart casual, loafer atau kasut kulit minimalis boleh menjadi pilihan.
Jika memakai seluar yang lebih santai seperti cargo atau potongan lebar, sneaker berprofil rendah biasanya memberikan keseimbangan yang lebih baik.
6. Elakkan Potongan Terlalu Ketat
Denim merupakan material yang mempunyai struktur tersendiri. Jika kemeja terlalu ketat pada bahu, dada atau lengan, ia mudah membuatkan pemakai kelihatan kurang selesa.
Pilih potongan yang mengikuti bentuk badan tetapi masih memberi ruang untuk bergerak.
Untuk lelaki berbadan besar, kemeja denim berwarna gelap dan potongan lurus biasanya lebih mudah digayakan. Lelaki bertubuh langsing pula boleh bermain dengan potongan regular atau sedikit oversized.
7. Jangan Terlalu Banyak Aksesori
Kemeja denim sendiri sudah mempunyai karakter visual yang kuat.
Jadi, aksesori tidak perlu terlalu banyak. Jam tangan, tali pinggang kulit atau satu rantai minimal sudah memadai.
Jika memakai kemeja denim dengan but dan seluar jeans, elakkan menambah terlalu banyak elemen seperti topi koboi, tali pinggang besar atau aksesori berlebihan jika tidak mahu penampilan kelihatan terlalu bertema.
BACA: Kelebihan Melakukan Aktiviti Renang, Stamina & Kekuatan Badan Makin Mantap
Kemeja Denim Tak Perlu Nampak ‘Old School’
Walaupun sudah lama menjadi sebahagian daripada fesyen lelaki, kemeja denim masih relevan kerana mudah menyesuaikan diri dengan perubahan gaya.
Rahsianya ialah memastikan keseluruhan penampilan seimbang. Jika bahagian atas sudah mempunyai tekstur denim yang kuat, biarkan seluar, kasut dan aksesori lebih ringkas.
Daripada chinos dan sneaker hinggalah seluar hitam bersama but kulit, satu kemeja denim sahaja sudah cukup untuk menghasilkan beberapa karakter gaya berbeza.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
