Ads

Degupan Jantung Nampak Normal Belum Tentu Sihat, Penyakit Arteri Koronari Boleh Berlaku Secara Senyap

Keterujaan Formula 1 di Sepang baru-baru ini mengembalikan perhatian kepada kelajuan, prestasi dan adrenalin. Namun apabila jantung berdegup lebih laju, persoalan yang lebih penting bukan sekadar berapa pantas denyutannya, tetapi apa yang sebenarnya sedang berlaku di sebalik itu.

Palpitasi atau rasa jantung berdebar boleh berlaku atas pelbagai sebab termasuk senaman, tekanan dan keterujaan. Ia juga tidak semestinya bermaksud seseorang menghidap penyakit jantung.

Pada masa sama, degupan jantung yang kelihatan normal bukan jaminan bahawa semuanya berada dalam keadaan baik. Penyakit Arteri Koronari atau Coronary Artery Disease (CAD) boleh berkembang secara perlahan apabila plak mula terkumpul dalam arteri yang membekalkan darah kepada otot jantung.

Degupan Jantung Nampak Normal Belum Tentu Sihat, Penyakit Arteri Koronari Boleh Berlaku Secara Senyap
Pakar Perunding Kardiologi di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr Mohamed Nazrul bin Mohamed Nazeeb

Menurut Pakar Perunding Kardiologi di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr Mohamed Nazrul bin Mohamed Nazeeb, keadaan itu boleh berlaku tanpa tanda jelas sebelum membawa kepada komplikasi yang lebih serius.

Bila Jantung Berdebar Perlu Diberi Perhatian

Palpitasi mungkin berlaku selepas bersenam, ketika tertekan atau sewaktu berada dalam keadaan terlalu teruja.

Namun, jika keadaan itu berlaku secara berterusan atau terasa luar biasa, ia wajar dinilai oleh doktor, terutama apabila disertai ketidakselesaan dada, sesak nafas, pening atau pengsan.

Lebih penting, seseorang yang tidak mengalami sebarang simptom juga masih berpotensi mempunyai masalah pada arteri koronari.

CAD berlaku apabila plak yang terdiri daripada kolesterol, kalsium, sel radang dan bahan lain dalam darah terkumpul pada dinding arteri. Apabila semakin banyak plak terbentuk, salur darah boleh menjadi sempit dan mengehadkan bekalan darah serta oksigen ke otot jantung.

“Penyakit arteri koronari boleh berkembang tanpa tanda atau simptom yang jelas, sebab itu ia mungkin tidak dikesan sehingga berlaku komplikasi yang lebih serius. Oleh itu, memahami faktor risiko anda dan mendapatkan penilaian perubatan yang sewajarnya apabila diperlukan adalah penting,” kata Dr Nazrul.

Degupan Jantung Nampak Normal Belum Tentu Sihat, Penyakit Arteri Koronari Boleh Berlaku Secara Senyap

Faktor Risiko Yang Tidak Boleh Dipandang Ringan

Antara faktor risiko utama CAD termasuk kolesterol tinggi, diabetes, tekanan darah tinggi, merokok, obesiti serta sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kardiovaskular pramatang.

Skala masalah itu di Malaysia juga cukup besar.

Ads

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian yang disahkan secara perubatan pada 2024, dengan 17,421 kematian atau 13 peratus daripada keseluruhan kematian yang disahkan secara perubatan.

Angka tersebut menunjukkan mengapa kesedaran terhadap kesihatan jantung tidak sepatutnya hanya bermula selepas seseorang mengalami simptom.

Perlu Ke ‘Servis’ Jantung?

Tidak semua individu memerlukan ujian yang sama.

Pemilihan pemeriksaan bergantung kepada simptom, usia, profil risiko dan keadaan klinikal keseluruhan seseorang.

Antara ujian tidak invasif yang boleh digunakan untuk menilai penyakit arteri koronari termasuk skor kalsium arteri koronari, angiografi CT koronari (CCTA), ujian tekanan senaman, pengimejan perfusi miokardium dan MRI jantung.

Dalam keadaan tertentu, doktor juga boleh menjalankan ujian invasif seperti angiografi koronari atau angioplasti.

Ini bermakna pemeriksaan tidak seharusnya dilakukan secara rawak atau berdasarkan satu ujian semata-mata. Penilaian yang diperibadikan penting untuk menentukan kaedah yang sesuai bagi setiap pesakit.

Ads

Arteri Tersumbat Tidak Semestinya Perlu Stent

Satu lagi tanggapan umum ialah setiap salur darah yang sempit atau tersumbat mesti dirawat menggunakan stent.

Hakikatnya, matlamat rawatan CAD ialah memastikan bekalan darah yang mencukupi kembali sampai kepada otot jantung. Kaedah yang digunakan bergantung kepada keadaan setiap pesakit.

“Pendekatan rawatan bergantung kepada lokasi dan tahap keterukan sumbatan, saiz dan keadaan arteri yang terjejas, ciri-ciri plak, bilangan sumbatan, fungsi jantung serta keadaan kesihatan keseluruhan pesakit,” kata Dr Nazrul.

Rawatan boleh merangkumi ubat-ubatan dan pengurusan gaya hidup, pembedahan cantuman pintasan arteri koronari atau coronary artery bypass grafting (CABG), serta intervensi koronari perkutaneus atau percutaneous coronary intervention (PCI), yang lazimnya dikenali sebagai angioplasti.

Belon Bersalut Ubat Jadi Satu Lagi Pilihan

Salah satu teknologi yang digunakan dalam kes terpilih ialah Belon Bersalut Ubat atau Drug-Coated Balloon (DCB).

Berbeza daripada stent konvensional yang kekal berada di dalam arteri, DCB merupakan belon khas yang disalut dengan ubat.

Ketika angioplasti, belon berkenaan diletakkan pada bahagian arteri yang sempit dan dikembangkan untuk tempoh singkat supaya ubat dapat dihantar terus ke dinding salur darah. Selepas itu, belon dikeluarkan tanpa meninggalkan implan kekal.

Ads

“Belon Bersalut Ubat membolehkan ubat disalurkan terus ke dinding salur darah tanpa meninggalkan implan kekal. Ubat tersebut membantu mengurangkan risiko arteri yang dirawat menjadi sempit semula dan, dalam keadaan tertentu, membantu salur darah menyesuaikan diri dan pulih dengan lebih baik,” jelas Dr Nazrul.

Bagaimanapun, DCB bukan pilihan untuk semua pesakit atau semua jenis sumbatan. Penggunaannya bergantung kepada lokasi serta ciri penyempitan, saiz salur darah dan keadaan pesakit secara keseluruhan.

Pencegahan Masih Jadi Pertahanan Utama

Walaupun teknologi rawatan jantung terus berkembang, pencegahan kekal sebagai langkah paling penting.

Mengawal tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah, bersenam secara berkala, mengelakkan tabiat merokok serta mendapatkan penilaian perubatan apabila perlu boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang

Kesihatan jantung juga tidak boleh dinilai berdasarkan satu angka sahaja.

Sama seperti kelajuan kereta F1 tidak menceritakan keseluruhan apa yang berlaku di litar, kadar denyutan jantung yang kelihatan normal juga tidak semestinya mendedahkan keadaan sebenar salur darah di sebaliknya.

Sebab itu, memahami faktor risiko sendiri dan mendapatkan pemeriksaan apabila diperlukan mungkin jauh lebih penting daripada sekadar menunggu simptom muncul.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads
pickleball

ASICS Raikan World Pickleball Day, Satukan Selebriti, Atlet & Komuniti Di...

ASICS Malaysia meraikan World Pickleball Day bersama selebriti, atlet dan komuniti, termasuk Yasmin Hani, Harris Alif, Intan Ladyana serta pemain skuasy negara Aifa Azman.