
Malaysia terus merekodkan penyusutan jumlah kelahiran apabila hanya 396,175 kelahiran hidup dicatatkan sepanjang 2025, turun 4.5 peratus berbanding 414,918 kelahiran pada tahun sebelumnya.
Menurut laporan Perangkaan Penting, Malaysia, 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah itu bersamaan pengurangan sebanyak 18,743 kelahiran dalam tempoh setahun.
Penurunan bukan sahaja berlaku dari segi bilangan kelahiran, malah turut dapat dilihat menerusi kadar kelahiran kasar atau Crude Birth Rate (CBR) yang merosot daripada 12.2 kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
Semua Kumpulan Etnik Catat Penurunan
DOSM memaklumkan bahawa semua kumpulan etnik utama merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
“Semua kumpulan etnik utama merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding 2024. Etnik Melayu merekodkan CBR tertinggi dengan 14.9 kelahiran, manakala etnik Cina kekal merekodkan CBR terendah dengan 5.0 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025,” menurut kenyataan itu.
Corak sama turut berlaku di semua negeri.
Terengganu mencatatkan CBR tertinggi dengan 18.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Pulau Pinang berada pada kedudukan paling rendah dengan 9.3 kelahiran.
Kadar Kesuburan Turun Kepada 1.5 Anak
Lebih ketara, kadar kesuburan jumlah atau Total Fertility Rate (TFR) negara turut terus menurun.
TFR Malaysia berkurangan daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025 bagi setiap wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun.
Bagaimanapun, kadar tersebut berbeza mengikut kumpulan etnik.
“Etnik Melayu kekal tidak berubah dan terus merekodkan TFR tertinggi dengan 1.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun. TFR bagi Bumiputera lain menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025, manakala TFR bagi etnik India kekal tidak berubah pada 1.1 anak.
“Etnik Cina merekodkan TFR terendah, menurun daripada 0.9 anak kepada 0.7 anak pada 2025,” menurut kenyataan itu.
Angka tersebut memperlihatkan bahawa penurunan kadar kelahiran bukan tertumpu kepada satu kumpulan sahaja, sebaliknya berlaku secara lebih meluas dalam struktur demografi negara.
Terengganu Kekal Catat Kadar Kesuburan Tertinggi
Di peringkat negeri, Terengganu sekali lagi berada di kedudukan tertinggi dengan TFR sebanyak 2.5 anak, diikuti Kelantan dengan 2.3 anak dan Pahang 1.8 anak.
Pulau Pinang pula merekodkan TFR paling rendah iaitu 1.1 anak, turun daripada 1.2 anak pada 2024.
Perbezaan antara negeri itu menunjukkan corak kelahiran di Malaysia tidak seragam, dengan sesetengah negeri masih merekodkan kadar kesuburan lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Namun secara keseluruhan, hala tuju negara masih menunjukkan penyusutan.

Kematian Pula Meningkat Sedikit
Dalam laporan sama, DOSM turut merekodkan sedikit peningkatan dalam jumlah kematian.
Sebanyak 199,807 kematian direkodkan pada 2025 berbanding 198,992 pada 2024, peningkatan sekitar 0.4 peratus.
Bagaimanapun, kadar kematian kasar atau CDR kekal pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.
“Kadar kematian kasar (CDR) kekal tidak berubah pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025. Etnik India merekodkan CDR tertinggi dengan 8.2 kematian, manakala Bumiputera lain merekodkan CDR terendah dengan 5.7 kematian pada 2025.
“Selain itu, CDR bagi etnik Cina menurun daripada 7.6 pada 2024 kepada 7.5 pada 2025,” menurut kenyataan itu.
Dari sudut negeri pula, Perak merekodkan kadar kematian kasar tertinggi iaitu 8.2 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, sementara Putrajaya mencatatkan kadar paling rendah dengan 2.6 kematian.
BACA: Lari Sambil Berjalan Untuk 10km, Ini Strategi Hebat!
Trend Kelahiran Semakin Jelas
Data terbaharu DOSM memperlihatkan perubahan demografi yang semakin ketara apabila jumlah kelahiran hidup, kadar kelahiran kasar dan kadar kesuburan semuanya mencatatkan penurunan.
Daripada hampir 415,000 kelahiran pada 2024 kepada kurang 400,000 pada 2025, perbezaan hampir 19,000 bayi dalam tempoh setahun bukan angka yang kecil.
Jika corak ini berterusan, isu berkaitan pembentukan keluarga, jumlah penduduk usia muda serta struktur penduduk negara akan terus menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam tahun-tahun mendatang.
Sumber: BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
