Apa ada dengan millenial? Mungkin itulah soalan yang sesetengah daripada anda tertanya-tanya. Namun sebenarnya generasi inilah yang sekarang ini banyak mencorakkan bukan sahaja penggunaan teknologi pintar malah gaya hidup serta corak kerja sosial yang lebih baharu.
Siapa itu millennials? Mereka merupakan generasi yang lahir di antara tahun 1981 sehingga 1996. Kini ramai diantara mereka sudah mencecah usia matang dan sangat berjaya dalam bidang masing-masing.
Tahukah anda hampir 4% bilionair terkaya di dunia terdiri daripada generasi millennial? Walaupun ada sesetengah daripada mereka usianya mencecah awal 40-an namun mereka adalah antara bilionair dan manusia terkaya di dunia.
Berikut MASKULIN kongsikan 5 bilionair yang terdiri daripada millennial.
1. MARK ZUCKERBERG
Usia: 37 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Jumlah kekayaan: USD67.3 bilion
Sumber: Meta
Foto: Meta
Rasanya tiada siapa yang tidak kenal dengan Mark Zuckerberg terutamanya jika anda pengguna tegar laman media sosial Facebook. Pengasas bersama platform tersebut serta CEO kepada syarikat Meta, Mark merupakan millennial terkaya di dunia. Malah dia menduduki tangga ke-15 manusia paling kaya. Dia juga dianggap sebagai antara pencetus revolusi laman media sosial terpenting dalam sejarah.
Ads
2. ZHANG YIMING
Usia: 38 tahun
Negara: China
Jumlah kekayaan: USD50 bilion
Sumber: TikTok
Foto: TikTok
Siapa sangka dalam tempoh beberapa tahun tahun sahaja, TikTok kini menjadi salah satu platform media sosial paling popular di dunia. Zhang Yiming merupakan pengasas kepada syarikat ByteDance, syarikat yang memiliki TikTok atau parent company. Menurut Forbes, dia juga dianggarkan memiliki 22% pemilikan syarikat yang turut menyaksikan platform berbeza seperti TouTiao, Douyin dan Buzz Video.
3. SAM BANKMAN-FRIED
Usia: 30 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Jumlah kekayaan: USD20 bilion
Sumber: Pertukaran matawang kripto
Ads
Foto: Bloomberg
Sam Bankman-Fried nama yang cukup dikenali di kalangan pengguna matawang kripto. Malah dia dianggap sebagai individu terkaya dalam dunia kripto dengan pengenalan FTX yang dilancarkannya pada tahun 2019.
4. GUILLAUME POUSAZ
Usia: 40 tahun
Negara: United Kingdom
Jumlah kekayaan: USD23 bilion
Sumber: Fintech
Foto: Forbes
Usahawan berpengaruh berbangsa Swiss, Gullaume Pousaz merupakan pengasas kepada laman sesawang checkout.com, platform pembayaran yang diasaskannya pada tahun 2021. Pengenalan platform tersebut telah banyak membantu masalah pembayaran di atas talian untuk kebayakan peniaga di atas talian.
Ads
5. YANG HUIYAN
Usia: 40 tahun
Negara: China
Jumlah kekayaan: USD18.7 bilion
Sumber: Hartanah
Wanita berpengaruh ini memiliki 57% pegangan saham syarikat pemaju Country Garden Holdings yang sebelum ini diterajui oleh bapanya. Syarikat tersebut terlibat bukan sahaja dalam bidang pembinaan tetapi pelaburan, pengurusan harta dan juga operasi perhotelan.
Di sebalik kisah kejayaan mereka tersembunyi kisah perit serta ujian yang harus mereka lalui. Semoga 5 millennial ini mampu memberikan inspirasi kepada anda!
Jangan lupa subscribe You Tube MASKULIN!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Seorang jejaka dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Ahmad Kashfi, lebih dikenali sebagai Kay, telah mencuri perhatian ramai dengan cara uniknya dalam menyampaikan mesej kepedulian terhadap kebersihan alam sekitar.
Apa yang menarik, Kay mengutip sampah di kawasan awam dengan memakai kimono, pakaian tradisional Jepun yang dikenali dengan elegan dan simbolisme budaya yang mendalam.
Inisiatif ini bukan sahaja menarik perhatian orang ramai tetapi juga mengajak masyarakat untuk lebih peka dengan kebersihan di sekeliling mereka.
Segalanya bermula kira-kira tiga tahun lalu ketika Kay mula membuka akaun TikTok dan menghasilkan kandungan berkaitan kebersihan.
Pada mulanya, dia hanya merakamkan video dengan pakaian biasa dan mengutip sampah secara rawak, dengan harapan video tersebut dapat menyebarkan mesej kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.
Namun, apa yang membezakan Kay daripada orang lain adalah keberaniannya untuk menggunakan imej Jepun, dengan memakai kimono, dalam setiap kandungan video yang dihasilkannya.
Foto : SAYS Seismik
Mencuba Imej Jepun untuk Tarik Perhatian
Menurut Kay, idea untuk memakai kimono timbul selepas mendengar cerita mengenai rakyat Jepun yang terkenal dengan disiplin penjagaan kebersihan mereka.
Dari situlah dia mendapat ilham untuk menggabungkan imej Jepun dalam kandungan video yang dihasilkannya.
“Saya memilih untuk memakai kimono kerana ia bukan sahaja menarik perhatian tetapi juga memberi elemen unik dan kelainan, mungkin membuatkan orang akan lebih tertanya-tanya,” ujar Kay.
Pakaian tersebut ternyata berhasil menarik perhatian orang ramai, dan memberi peluang kepada Kay untuk menerangkan lebih lanjut mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
Foto : SAYS Seismik
Menghadapi Cabaran Awal
Pada awalnya, Kay mengaku dia berasa malu dan ragu-ragu dengan pendekatannya.
Risau dipandang sinis oleh masyarakat sekeliling, Kay pernah terfikir untuk berhenti seketika. “Ada juga timbul persoalan dalam diri adakah betul apa yang saya buat ini? Mungkin ada yang terkejut dan salah faham,” katanya.
Namun, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan telah memberikan semangat baru untuknya teruskan perjuangan ini.
Kay yang merupakan anak keenam daripada tujuh adik-beradik, meluangkan masa kira-kira dua hingga tiga jam sehari untuk mengutip sampah di sekitar Kota Bharu.
Tindakan Kay ini bukan sahaja memberi contoh kepada orang lain tetapi turut memberi inspirasi kepada golongan muda untuk lebih peka terhadap kebersihan.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Kay berharap bahawa lebih ramai orang akan menyedari betapa pentingnya menjaga kebersihan bukan hanya di rumah, tetapi juga di ruang awam.
Sumber : SAYS Seismik
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Selepas menjadi naib juara Piala AFF Suzuki baru-baru ini, bola sepak negara terus dihiasi dengan berita baik pada hari ini apabila penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama.
Kelab yang beraksi di J2 League, liga profesional kedua negara tersebut merupakan kelab kebanggaan buat warga Okayama, Jepun.
Selepas menjalani sesi latihan sebanyak dua kali bersama kelab tersebut pada bulan September dan November yang lalu, impian Hadi untuk beraksi di negara matahari terbit kini menjadi kenyataan.
Jelas Hadi menerusi Instagram, penghijrahanya ke kelab Fagiano Okayama merupakan satu permulaan baru karier bola sepaknya. Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun 2018 namun ia telah membuahkan hasil.
Di kesempatan itu juga dia mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yang banyak membantu merealisasikan impiannya.
Difahamkan juga Hadi turut pernah menjalani latihan bersama sebuah lagi kelab Liga J2, Roasso Kumamoto pada Ogos lalu namun mungkin rezekinya tiada bersama kelab tersebut.
Hadi yang kini berusia 18 tahun merupakan bekas pemain Johor Darul Ta’zim II pada awalnya pergi ke Jepun untuk menimba pengalaman dan ia diuruskan oleh syarikat minuman Yakult (M) Sdn Bhd.
Kenyataan media dari Fagiano Okayama mengumumkan Hadi Fayyadh sebagai pemain mereka yang sah. Foto: Astro ARENA
Usaha sama seperti inilah yang sebenarnya kita sebagai peminat bola sepak negara ingin lihat agar bakat-bakat muda berpotensi mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Dengan menyarung jersi Fagiano Okayama, Hadi menjadi pemain Malaysia pertama dalam sejarah yang akan beraksi di Liga J2.
Beberapa tahun sebelum ini dua bekas pemain Harimau Muda negara iaitu Nazirul Naim dan Wan Zack Haikal pernah beraksi bersama FC Ryukyu, kelan divisyen 3.
Selamat berjaya di negara Jepun kami ucapkan buat Hadi. Make Malaysia proud!
Kredit foto: Yakult Malaysia
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Bila sebut tinju pastinya kita akan terus terbayang akan sukan yang sangat menuntut kecergasan serta stamina yang tinggi. Tinju juga merupakan antara sukan yang menuntut persediaan fizikal dalam keadaan paling mantap.
Tapi bagaimana pula petinju yang bakal mengharungi perlawanan penting dalam kariernya di bulan Ramadan dan menjalankan ibadah puasa? Itulah yang telah dilalui oleh petinju profesional negara, Adli Hafiz Mohd Pauzi.
Dikenali dengan nama gelaran ‘Goldenboy’, Adli Hafidz bakal berentap di UBO Middleweight World Championship di Singapura pada 30 April 2022 di Singapura. Dalam pertarungan tersebut dia bakal berentap dengan petinju dari Thailand, Theerawat Yoohangoh.
Adli Hafidz yang juga merupakan dura kepada jenama sukan popular, Under Armour sempat meluangkan masanya untuk ditemu bual secara di atas talian bersama MASKULIN.
Ikuti temu bual eksklusif MASKULIN bersama jaguh tinju ini di bawah.
1. Salam Adli, pertama sekali boleh kongsi bagaimana pada mulanya boleh berkecimpung dengan dunia tinju atau seni mempertahankan diri secara umumnya?
Saya mula berkecimpung dalam sukan tinju pada usia 15 tahun di mana ketika itu saya sedar yang saya perlu mencari kelainan dalam aktiviti sukan yang diceburi.
2. Mengapa memilih tinju, adakah disebabkan cabaran atau faktor teknikal yang lebih mencabar?
Secara teknikalnya, sukan tinju perlu dilihat bukan sahaja dari perspektif sukan. Lebih penting lagi, sukan ini banyak mengajar saya erti disiplin. Saya ingin mencabar potensi diri saya dan melihat sejauh mana saya mampu pergi dengan berbekalkan semangat juang yang ada.
3. Apakah perkara paling sukar untuk mula menjejakkan kaki ke dalam sukan tinju?
Bermula pada usia yang agak lewat dalam sukan tinju memerlukan saya untuk bijak mengadaptasi dengan persekitaran sukan ini. Kebanyakan atlet tinju memulakan karier mereka sejak kecil. Jadi saya perlu berlatih dan belajar teknik sukan ini secara pantas untuk memastikan saya ‘fit’ untuk menceburi sukan ini.
4. Bagaimana dengan reaksi keluarga apabila mengetahui anda ingin aktif dalam sukan lasak seperti tinju?
Keluargalah merupakan pendorong utama saya. Alhamdulillah, keluarga saya amat menyokong pendirian saya dalam menceburi sukan ini.
5. Pada 30 April ini anda akan bertarung melawan peserta Thailand. Apakah harapan anda untuk perlawanan tersebut?
Saya amat bersyukur kerana kita sekarang sedang beralih ke fasa endemik dan ini membolehkan saya untuk menyertai kejohanan. Harapan saya untuk perlawanan ini amat tinggi kerana kemenangan ini akan membolehkan saya untuk pergi lebih jauh dalam karier tinju saya.
Memenangi UBO adalah impian saya maka saya perlu bertarung hingga ke titisan darah terakhir. Sebagai atlet Under Armour, saya selalu meletakkan moto ‘The Only Way Is Through’ apabila berlatih dan ketika berada di gelanggang bagi memberikan saya semangat juang dan untuk tidak berputus asa.
Selain itu, moto ini juga memberikan saya motivasi untuk bersedia secara mental dan fizikal dengan melakukan yang terbaik apabila berada di gelanggang, walau dengan apapun jua situasi yang melanda.
6. Berlatih pada bulan puasa merupakan satu cabaran yang agak mencabar? Boleh kongsi rutin latihan anda pada bulan puasa?
Berlatih pada bulan Ramadan sejujurnya, agak mencabar kerana kekurangan tenaga untuk berlatih pada waktu siang. Namun itu bukanlah alasan untuk saya tidak berlatih. Saya mencadangkan pada bulan puasa untuk melakukan senaman pada skala intensiti sederhana.
Selain itu, anda juga perlu hidratkan diri dengan kerapkan minum air selepas waktu berbuka bagi memastikan bekalan tenaga yang berkekalan bagi sesi latihan pada waktu siang.
7. Bagaimana pula rutin dengan pengambilan makanan di bulan puasa bagi memastikan badan anda sentiasa ada tenaga mencukupi untuk latihan? Boleh kongsi jenis makanan dan minuman yang diambil.
Semasa berpuasa, saya mengamalkan pengambilan kurma yang kaya dengan sumber nutrien bagi memastikan saya sentiasa bertenaga ketika berlatih. Selain itu, saya juga mengamalkan pemakanan yang kaya dengan makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak) serta tinggi nutrien untuk prestasi dan proses pemulihan tenaga. Saya akan hadkan pengambilan makanan dan mengambilnya dalam sukatan sederhana.
8. Apakah corak latihan fizikal yang anda lakukan untuk persediaan perlawanan nanti?
Saya telah melakukan persiapan sejak November 2021. Untuk makluman, perlawanan ini telah ditunda sebanyak 3 kali. Untuk persediaan perlawanan, saya banyak memfokuskan kepada tactical focus untuk mitts dan sparring. Selain itu, saya turut melakukan larian untuk memastikan saya sentiasa bertenaga dengan melakukan larian aerobik dalam jangka masa yang panjang.
Untuk larian, saya banyak dibantu dengan kelengkapan sukan dari Under Armour iaitu koleksi UA Flow Wind Velociti 2. Bersifat ringan, tanpa getah dan tahan lasak, teknologi ‘cushioning’ baharu daripada Under Armour memberikan impak ‘close-to-the-ground’ memberikan keselesaan yang optimum semasa saya berlari.
9. Dari segi mental pula, bagaimanakah pendekatan yang anda ambil. Adakah menerusi jurulatih peribadi atau kerohanian?
Persiapan menghadapi perlawanan ini menuntut saya untuk bersedia bukan sahaja dari segi fizikal malah mental juga perlu dititikberatkan. Saya percaya aspek mental perlu diberi perhatian dalam menghadapi sesuatu perlawanan.
Salah satu moto yang saya pegang adalah ‘The Only Way Is Through’ dari Under Armour. Satu mesej yang kuat untuk memotivasikan saya dan membuatkan saya untuk terus berfikiran positif. Sejujurnya, saya juga tertekan ekoran daripada penundaan perlawanan sebanyak 3 kali, namun saya perlu bangkit dan tidak boleh menyerah kalah.
Moto ini jelas memberikan saya semangat untuk mencapai impian saya. Aspek kerohanian juga amat penting dalam kehidupan. Selain itu, saya juga mendapat bimbingan dan konsultasi dengan jurulatih peribadi dari aspek teknikal berkenaan jadual latihan dan sebagainya.
10. Apakah strategi yang anda ambil untuk setiap perlawanan atau pertarungan? Adakah dengan mengkaji corak bertarung pihak lawan atau bagaimana?
Saya menjangkakan pertemuan kami akan memberikan perlawanan yang sengit. Sekiranya ada peluang untuk menumbangkan lawan, saya akan buat yang terbaik sehingga ke pusingan terakhir.
11. Boleh kongsi asal usul nickname ‘Golden Boy’?
Nama idola saya, Oscar Goldenboy Dela Hoya, hanya ada seorang di USA. Jadi, saya mendapat inspirasi untuk gunakan nama Goldenboy tersebut di Malaysia.
12. Boleh kongsi jenis kelengkapan dan pakaian yang anda sentiasa guna ketika latihan?
Persiapan saya banyak dibantu dengan peralatan dan kelengkapan sukan dari Under Armour. Koleksi UA RUSH merupakan kegemaran saya. Koleksi ini diperbuat daripada fabrik yang selesa dan ditambah baik dengan teknologi Celliant- sejenis teknologi infrared yang terbukti meningkatkan oksigen dalam tisu badan.
Saya percaya kualiti fabrik yang diperkaya dengan teknologi sains ini memainkan peranan dalam membantu proses pemulihan tenaga dan memastikan prestasi saya berada pada tahap terbaik. Biasanya, saya akan mengenakan UA RUSH Seamless Short Sleeve, HeatGear 2.0 Leggings dan Quarter Socks sebelum latihan.
Selain itu, UA Recover juga turut membantu dalam proses pemulihan tubuh badan di mana koleksi ini turut ditambah dengan teknologi Celliant. Sebelum tidur, saya akan mengenakan UA RECOVER Shorts dan Crew Long Sleeves untuk pemulihan tenaga saya selepas seharian berlatih.
13. Boleh share sedikit Ucapan Hari Raya.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin buat semua peminat sukan tinju di Malaysia! Setelah dua tahun tidak dapat beraya, saya berharap agar kita semua dapat memanfaatkan kesempatan yang ada untuk menziarahi keluarga dan sanak saudara yang tersayang.
Selamat berjaya MASKULIN ucapkan kepada Adli Hafidz dalam pertarungannya nanti. Malaysia boleh!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.