Head of Men & Hobbies, Penata Gaya: Fiezreen Ahmad
Ass. Manager Men & Hobbies, Penulis: Farizul Izwany
Dibantu oleh: Faez Akhmal & Darwisy Farain
Arahan Seni: Azniza Aziz
Grooming: Ayang Kamell
Fotografer: Jazlan Nangar
Videografer: Husin Ali, Ezzat Shukri
Editor Video: Husin Ali
Suntingan Foto: Hezry Rokman
Dikenali sebagai hero romantik di layar kaca, siapa sangka pelakon kacak Ikmal Amry kini menempa nama sebagai ikon kecergasan lelaki moden? Selepas menempuh 10 episod mencabar dalam program realiti MASKULIN Who’s Your Bro, Ikmal bersama gandingannya, Hakimi Noordin, mengejutkan ramai pihak apabila dinobatkan sebagai juara.
Ramai yang melihat mereka sebagai ‘pretty face’ dalam kelompok 12 peserta yang lain. Tetapi ternyata mereka bukan sekadar pelengkap jadual. Kemenangan duo ini telah memadam persepsi skeptikal dan menjadi bukti bahawa keazaman serta usaha mampu menepis segala label luar yang tidak adil.
Sebagai wajah penghias cover MASKULIN Men of The Moment kali ini, MASKULIN sempat duduk semeja bersama Ikmal dan menyelami perubahan yang dialaminya sepanjang dan selepas Who’s Your Bro. Antara perkara paling awal yang terungkap ialah perubahan persepsinya terhadap dunia kecergasan dan kesihatan lelaki moden.
“Saya lebih cenderung untuk jaga pemakanan, lifestyle, kecergasan, cara menjadi lelaki lebih baik. Pertandingan ini mendorong saya jadi lelaki lebih baik dari semua aspek terutama fitness,” ujar Ikmal sambil tersenyum.
Lebih menarik, pengalaman bersaing bersama atlet profesional seperti Saddam dan Chee Wai menyuntik semangat baharu dalam dirinya.
“Secara asasnya, saya jadi lebih berminat untuk menjadi atlet. Dalam pertandingan ini saya berpeluang bertanding bersama atlet-atlet profesional dan hebat dari seluruh negara. Kemenangan ini membuatkan saya jadi lebih yakin untuk menjadi atlet seperti mereka,” jelas Ikmal dengan nada serius.
TIADA TOKSIK MASKULINITI
Antara nilai paling mengejutkan sepanjang program ini adalah semangat ‘brotherhood’ yang menebal di kalangan peserta. Di sebalik aura maskulin dan elemen kompetitif yang kuat, suasana sebenarnya cukup harmoni dan menyokong.
“Pertama sekali, semua masuk memang semua nak menang. Tapi bila dah mula kenal antara satu sama lain, toksik maskuliniti itu hilang secara semulajadi. Tambahan pula peserta-peserta yang masuk ini kesemuanya dah matang,” ujar Ikmal.
Bukan sekadar menang, Who’s Your Bro membawa impak yang besar dalam kehidupan peribadinya. Ikmal mengakui, pertandingan itu telah mengasah dirinya menjadi lelaki yang lebih ‘tough’ — dari aspek mental, fizikal dan emosi.
Ads
“Motto saya, ingin menjadi lelaki lebih baik dari semalam. Kalau semalam ada buat sesuatu yang tak baik, jadi hari ini cuba untuk tidak ulangi kesilapan sama. Tambahan saya pula sekarang seorang suami dan ayah. Mahu tunjuk teladan dan contoh yang baik,” katanya dengan penuh reflektif.
Di sebalik wajah tampan dan penampilan bergaya, Ikmal adalah seorang family man yang sangat mementingkan keluarga. Kehadiran isteri tersayang, Najla Shamsul, di hampir setiap sesi rakaman menjadi sumber kekuatan dan dorongan utamanya.
“Macam-macam yang berubah. Cara berpakaian, cara bercakap, cara makan harian, rutin harian semua berbeza. Ini semua berubah selepas munculnya insan tersayang iaitu isteri dan anak saya. Paling ketara ialah perangai saya. Dulu saya seorang yang baran – mudah triggered dengan hal-hal kecil,” ceritanya jujur.
BAKAL SERTAI HYROX
Satu sisi Ikmal yang jarang diketahui ramai ialah rejim latihannya yang ketat ketika menyertai Who’s Your Bro. Setiap cabaran yang ekstrem memerlukan perancangan dan latihan yang serius.
“Jujur saya katakan cabaran di program ini memang gila dan ekstrem. Jadi mahu tak mahu saya kena persiapkan diri dan melakukan latihan dengan lebih terancang dan intense,” katanya lagi.
Ads
Kini, selepas program tamat, rutin latihannya tetap diteruskan — ke gym tiga kali seminggu, larian dua kali seminggu dan latihan angkat berat seminggu sekali. Kalau sibuk dengan penggambaran, Ikmal pastikan senaman ringan seperti skipping tetap dilakukan.
Paling menarik, Ikmal kini bersiap untuk menyertai pertandingan HYROX di Bangkok pada Mei 2025 bersama Hakimi, dalam kategori Men’s Pro Double.
“Ini permulaan untuk saya lihat di mana tahap saya dalam sukan ekstrem seperti ini. Kalau catatan masa baik, saya akan teruskan. Jika kurang memberangsangkan mungkin saya akan cuba dulu pertandingan berbeza seperti maraton, red line dan sebagainya,” jelasnya penuh semangat.
Walaupun aktif dalam dunia kecergasan, dunia lakonan tetap menjadi cinta pertamanya. Tahun ini, Ikmal kembali dengan naskhah dinanti seperti ‘Gantung: The Series’. Dan baru-baru ini dia tampil menbawakan watak antagonis menerusi filem ‘Soloz: Game of Life’.
“Melakonkan watak antagonis memang cukup berbeza. Ia seolah mengeluarkan diri kita yang orang tak pernah nampak. Karakter ini membuka ruang kepada saya menjadi pelakon lebih baik. Secara peribadi saya nak cuba lakonkan watak lebih jahat,” katanya berseloroh.
Transformasi Ikmal Amry bukan sekadar fizikal. Ia merupakan refleksi perjalanan seorang lelaki yang memilih untuk bangkit, berkembang dan menjadi inspirasi kepada ramai orang.
Untuk menyelami lebih lanjut perjalanan Ikmal, jangan lupa tonton video eksklusif MAN OF THE MOMENT bersama Ikmal Amry di bawah!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sebenarnya sudah ramai lelaki yang tampil dengan badan tegap tetapi kakinya ‘halus’ semacam sahaja. Kondisi ini berlaku kerana mereka mungkin tidak memberikan fokus kepada senaman kaki.
Mungkin terlalu asyik dengan senaman membina otot lengan, dada dan abdomen sampaikan terlupa bahagian paha dan kaki. Sejujurnya buat anda yang aktif bersenam, berapa kerapkah anda melakukan senaman kaki?
MASKULIN boleh agak mungkin jauh lebih sedikit berbanding untuk bahagian atas. Usah risau, kali ini MASKULIN ingin kongsi empat jenis senaman yang sangat efektif untuk bentu anda dapatkan kaki lebih berotot, tegap dan padu!
1. Lunge
Senaman ini boleh dilakukan menggunakan dumbbell, iron plate, barbell atau kettlebell. Cuba tambahkan beban secara berperingkat.
Anda juga boleh lakukan static lunge sekiranya mengalami masalah kekurangan ruang atau lakukan walking lunge sekiranya anda ada ruang yang besar.
Semasa melakukan senaman ini, buka kaki anda selebar bahu, pandang lurus ke hadapan, langkah ke hadapan dan rendahkan badan sehingga paras paha, selari dengan lantai.
2. Squat
Senaman ini agak popular dan sinonim dengan senaman di bahagian kaki. Senaman ini adalah antara senaman paling berkesan serta melibatkan pelbagai sendi dan otot. Senaman ini juga melibatkan kekuatan di bahagian kaki, abdomen serta tulang belakang anda.
Senaman ini boleh menggunakan pelbagai beban seperti barbell, dumbbell dan sebagainya.
Buka kaki anda selebar bahu, berdiri dalam keadaan tegak dan hanya bengkokkan sedikit kaki anda semasa dalam posisi permulaan.
Semasa anda merendahkan badan, pastikan lutut tidak melebihi hujung kaki dan paha perlu selari dengan lantai.
3. Step Up
Senaman yang mudah untuk dilakukan di mana-mana sahaja sama ada di taman rekreasi ataupun di rumah.
Paras ketinggian bangku atau bench sepatutnya optimum apabila anda memijak dan paras paha juga perlu selari dengan paras lantai.
Jika terlalu rendah, ia kurang berkesan dan jika terlalu tinggi, ia akan terlalu sukar. CUba ketinggian yang pelbagai secara berperingkat mengikut kemampuan anda.
Semasa anda mulakan langkah, pastikan badan tegak, pandang ke hadapan dan hembus nafas. Semasa anda langkah ke belakang, tarik nafas. Jangan lakukan terlalu laju.
Pastikan permukaan bangku atau bench stabil. Cuba tambah beban secara progresif.
4. Sumo Dead-lift
Senaman ini pula lebih efektif untuk membina otot kerana posisi kaki yang lebih sukar untuk mengangkat beban.
Anda boleh menggunakan pelbagai jenis beban seperti dumbbell ataupun barbell.
Pastikan posisi kaki menghadap penjuru dan tolak badan anda ke atas dengan menggunakan tumit kaki. Hembus nafas. Pastikan juga kaki dan badan tegak. Jangan melengkung.
Selamat mencuba! Lakukan senaman-senaman ini dengan meningkatkan dulu pengulangan dan kemudian tambah beban secara berperingkat. Cuba sebanyak 3-4 set, 20-30 pengulangan bagi anda yang ingin membakar lebihan lemak.
Jangan lupa untuik subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video workout menarik seperti di bawah!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Bagi anda yang tidak biasa berdepan masalah ini pastnya terpinga-pinga di tepi jalan sambil membuka bonet yang besar kemungkinan sudah berasap.
Segera berhentikan kereta jika lampu suhu panas menyala!
Ya, itulah sebaiknya anda lakukan apabila enjin menjadi terlalu panas. Ini bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih teruk.
Anda mungkin tertanya mengapa ini boleh berlaku. Terlebih dahulu apa yang perlu anda faham adalah masalah dasar overheat ini. Overheat adalah satu masalah di mana sistem penyejukan enjin telah gagal berfungsi dengan baik.
Punca Enjin Panas
Terdapat beberapa punca yang mungkin boleh membawa masalah suhu enjin kereta anda naik mendadak. Suhu normalnya adalah sekitar 70 ke 80 darjah Celcius. Jadi bila suhu terlalu tinggi maka berlakulah overheat.
BEBERAPA PUNCA BERLAKUNYA OVERHEAT
Kondisi menjadi terlalu panas ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku.
Kurang atau tiada langsung air di dalam radiator
Motor kipas rosak atau bermasalah
Kipas penyejuk radiator rosak dan tidak berfungsi dengan baik
Masalah pendawaian, relay atau coolant temperature switch
Radiator bocor
Radiator tersumbat
Hos getah penyambungan berkaitan sistem penyejukan pecah atau bocor
Apabila ini berlaku anda harus biarkan ia sejuk terlebih dahulu. Ingat, jangan sesekali membuka penutup coolant radiator ketika ia masih panas. Tunggu sahaja dahulu dan jangan buat apa-apa. Kalau ada asap putih keluar biarkan ia benar-benar hilang dahulu.
Satu perkara lagi yang ramai orang lakukan ialah menambah air dengan segera di dalam radiator untuk meredakan kepanasan. Usah berbuat demikian kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
Itulah beberapa punca mengapa enjin kereta boleh overheat. Ikuti artikel seterusnya untuk mengikuti bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.
Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN untuk video menarik seperti di bawah!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Salah satu acara yang mengetengahkan bakat jelita dari seluruh dunia, Miss Universe sentiaa dinantikan oleh jutaan peminatnya.
Jika pada tahun lalu menyaksikan peserta dari Amerika Syarikat, R’Bonney Gabriel diangkat sebagai pemenang bagaimana pula untuk edisi pada tahun 2023?
Pada Sabtu lalu di José Adolfo Pineda Arena di San Salvador, El Salvador satu sejarah baharu telah tercipta. Buat pertama kali dalam sejarah pertandingan Miss Universe menyaksikan pemenangnya dari negara Nicaragua.
Shennis Palacios, gadis berusia 23 tahun dari Nivaragua yang merupakan negara benua Amerika Tengah diumumkan sebagai pemenang mengalahkan 83 orang peserta-peserta lain dari seluruh pelosok dunia.
Sebelum ini pencapaian tertinggi bagi negara Amerika Tengah ini dalam pertandingan Miss Universe adalah pada tahun 2016 apabila wakil mereka berjaya mencapai Top 16.
Selain kemenangannya, penganjuran untuk edisi Miss Universe 2023 juga menyaksikan beberapa perkara baharu turut berlaku seperti kehadiran dua peserta yang merupakan ibu, dua peserta transgender dan seorang peserta ‘plus-size’.
PERJALANAN JAUH
Perjalanan Sheynnis Palacios dalam pertandingan ratu cantik bukanlah baharu kerana sejak berusia 16 tahun dia telah mula aktif dan memasang cita-citanya untuk dinobatkan sebagai Miss Universe.
Sebelum malam kemuncak Miss Universe 2023, Sheynnis Palacios mengambil kesempatan untuk merenung perjalanan pertandingannya di Instagram.
“Malam ini, saya persembahkan kepada gadis dalam diri saya dan kepada setiap gadis yang berhasrat untuk merealisasikan impian ini, walaupun langit sendiri adalah batasnya, impian begitu besar sehingga orang berpikir ia mustahil dicapai.
“Kerana di situlah anda tahu bahawa impian dan matlamat anda akan melepasi rintangan, dan ingatlah untuk menyertakannya dengan tekad, ketabahan, dan semangat,” jelasnya.
Di luar dunia pertandingan kecantikan, Palacios, yang telah memperoleh ijazah dalam Komunikasi Massa di Universidad Centroamericana, merupakan hos televisyen di saluran tempatan.
KEBOLEHAN BAHASA
Dia juga mempunyai kebolehan bahasa yang sangat baik apabila boleh bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Portugis dan Inggeris.
Sheynnis juga seorang peminat aktiviti adrenalin seperti bermain bola tampar selain mengakui bahawa dia paling gembira ketika menikmati matahari terbenam dan tidak boleh hidup tanpa haiwan kesayangannya dan keluarganya.
Minatnya dalam produksi audiovisual telah menyemarakkan impian Palacios untuk memulakan syarikat produksinya sendiri.
Sama ada sebagai penerbit atau editor, beliau juga menggunakan platformnya untuk menyuarakan isu-isu keadilan sosial yang dekat di hatinya, seperti pendidikan dan kesihatan mental.
Dalam video “Beauty with a Purpose” untuk pertandingan Miss World 2021, Palacios membincangkan inisiatifnya untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan untuk kanak-kanak, terutamanya perempuan.
MALAM KEMUNCAK
Mengenai malam penobatan, Palacios terus maju ke peringkat seterusnya dengan memberikan persembahan yang hebat dalam segmen pakaian renang dan pertandingan gaun malam.
Semasa segmen soalan dan jawapan Top 5 pertandingan kecantikan, beliau ditanya mengenai kualiti dan nilai-nilai yang memandu beliau sebagai pemimpin dan contoh teladan untuk orang lain.
Dia menjawab dengan penuh yakin, “Kualiti yang telah menginspirasi saya dan telah menginspirasi berjuta-juta wanita dan gadis adalah kesederhanaan dan kebolehan untuk menghargai perkara-perkara kecil, kerana di situlah perkara yang paling berharga: hakikat menjadi manusia.”
Dia kemudian maju ke Top 3 bersama Anntonia Porsild dari Thailand dan Moraya Wilson dari Australia. Kesemua tiga calon yang tersisa ditanya soalan yang sama dalam pusingan akhir: “Jika anda boleh hidup satu tahun dalam kasut wanita lain, siapakah yang anda pilih dan mengapa?”
Jawapan kemenangan beliau adalah: “Saya akan memilih Mary Wollstonecraft, kerana beliau membuka peluang untuk ramai wanita. Apa yang saya akan lakukan adalah membuka jurang pendapatan agar wanita dapat bekerja dalam apa-apa bidang yang mereka pilih kerana tidak ada sekatan untuk wanita. Itu berlaku pada tahun 1750. Sekarang pada tahun 2023, kita sedang membuat sejarah.”
Jawapan yang cukup baik tersebut dikatakan telah banyak membantunya meraih kemenangan Miss Universe 2023.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Cara berkesan hilangkan bau hapak dalam kereta. Bau hapak dalam kereta boleh mengganggu keselesaan pemanduan dan menjejaskan pengalaman penumpang. Bau ini biasanya berpunca daripada kelembapan, tumpahan makanan, asap rokok, atau barangan yang dibiarkan terlalu lama dalam kereta.