
Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dijangka bakal menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM), sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam bidang sukan mampu bergerak seiring dengan pencapaian akademik.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Pusat Sukan Universiti Malaya yang memaklumkan Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menerima kunjungan hormat Azeem di pejabatnya baru-baru ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Dekan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Profesor Madya Dr. Zulkarnain Jaafar serta Pengarah Pusat Sukan UM, Encik Afizal Abu Othman.

Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor menyatakan komitmen Universiti Malaya untuk menyediakan laluan terbaik buat Azeem melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, selaras dengan aspirasi universiti melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di arena sukan, malah memiliki kelayakan akademik yang tinggi.
Hasrat itu turut mencerminkan sokongan UM terhadap pembangunan atlet negara secara holistik dengan menyediakan ruang untuk mereka terus menimba ilmu tanpa mengetepikan kerjaya sebagai atlet elit.
Sebelum ini, Azeem telah melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, sebagai sebahagian daripada usahanya mengimbangi tuntutan akademik dan pembangunan karier sukan.
Sepanjang berada di Amerika Syarikat, pelari berusia 22 tahun itu beraksi dalam saingan olahraga National Collegiate Athletic Association (NCAA) mewakili Universiti Auburn. Pengalaman beraksi di pentas universiti berprestij itu membolehkannya bersaing dengan barisan pelari terbaik dunia di peringkat kolej, sekali gus memperkukuhkan reputasinya sebagai antara prospek pecut paling berbakat dimiliki Malaysia.

BACA JUGA: Azeem Fahmi Catat Sejarah, Pecah Rekod 60m Sekali Lagi Dalam Tempoh Kurang Sebulan
Nama Azeem bukan lagi asing dalam dunia olahraga tanah air. Atlet kelahiran Perak itu mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter lelaki menerusi catatan 10.09 saat pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Colombia, sekali gus memadam rekod kebangsaan yang bertahan lebih dua dekad.
Baru-baru ini, Azeem sekali lagi membuktikan dirinya masih bergelar pelari terpantas negara apabila muncul juara acara 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Beliau mencatat masa 10.21 saat untuk menewaskan pencabar terdekat, sekali gus mengesahkan prestasinya kekal berada pada tahap terbaik selepas menamatkan saingan NCAA di Amerika Syarikat.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




