Batuk merupakan satu penyakit yang biasa. Namun jika anda alami batuk berpanjangan melebihi dua minggu walaupun sudah makan ubat, itu mungkin petanda anda hidapi masalah GERD.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), GERD adalah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

GERD boleh menyebabkan kerisauan, kemurungan dan berupaya mengganggu produktiviti serta tidur seterusnya menjejaskan kehidupan harian. Masalah GERD ini akan beransur menjadi teruk sekiranya ia tidak dirawat.

Infografik makanan yang boleh mencetuskan masalah GERD perkongsian KKM:

1. Kopi
2, Buah dan jus buah sitrus (limau)
3. Tomato
4, Bawang merah
5. Pudina
6. Makanan pedas
7. Minuman berkarbonat
8. Makanan bergoreng

Menerusi perkongsian laman Facebook The Diagnosa – Original, selain masalah GERD, batuk berpanjangan juga boleh disebabkan oleh perkara-perkara lain antaranya penyakit tibi, asma, kanser paru-paru ataupun persekitaran di sesuatu kawasan yang berhabuk, dikelilingi kawasan pembinaan, rumah yang mempunyai banyak kulat dan sebagainya.

Oleh itu, jangan mengambil mudah dengan sesuatu perkara yang berlaku kepada diri anda di luar kebiasaan. Dapatkan nasihat doktor untuk anda melakukan rawatan selanjutnya.

Batuk melebihi 2 minggu & sudah makan antibiotik

Seorang pesakit datang ke klinik disebabkan batuk melebihi 2 minggu.

Pesakit menyatakan bahawa dia telah mengambil ubat batuk di farmasi, tetapi batuk tersebut masih berlaku dan ia menganggu kerja. Dia mengatakan ketika batuk dalam mesyuarat, dia perlu keluar daripada bilik mesyuarat untuk batuk terlebih dahulu bagi melegakan tekaknya yang gatal.

Jadi seperti biasa, pesakit akan menjalani pemeriksaan untuk penyakit Tibi yang melibatkan ujian darah, X-ray, Ujian kahak dan juga Ujian mantoux.

Pada hari tersebut, pesakit telah menjalani ujian darah, x-ray dan juga ujian mantoux.

IKLAN

Keputusan darahnya kelihatan normal. Tiada jangkitan bakteria yang kelihatan daripada keputusan tersebut

Manakala x-ray pun sama. Tiada tanda-tanda terdapat jangkitan kuman daripada x-ray

Ujian mantoux pula dilakukan dengan cara menyuntik satu bahan kepada lengan pesakit. Bahan tersebut mengandungi antigen yang seolah-olah sama seperti kuman Tibi. Setelah daripada 3 hari, kawasan suntikan tersebut perlu diukur untuk menentukan ia positif ataupun tidak. Ukuran yang lebih daripada 10mm menunjukkan ujian tersebut positif.

Kemudian ujian kahak pula perlu dilakukan bermula pada esok harinya dan pesakit perlu menghantar kahak 3 hari berturut-turut.

Pesakit selalunya akan diberi temujanji selama 2 minggu untuk mengetahui keputusan kahak tersebut.

2 minggu kemudian pesakit datang semula untuk mengetahui semua keputusan ujian yang telah dilakukan. Keputusan ujian mantoux nya adalah negatif dengan bacaan 0mm dan ketiga-tiga kahak tersebut tidak mempunyai sebarang kuman Tibi.

Di samping itu, pesakit juga telah mendapatkan antibiotik daripada klinik swasta disebabkan batuk tersebut masih teruk.

Tetapi setelah menghabiskan antibiotik tersebut, batuk masih berlaku dan simptom tidak berkurang langsung.

Jadi saya menerangkan kepada pesakit yang batuk lama ini selalunya mempunyai beberapa punca iaitu:

1. Penyakit Tibi
2. Gastro-esophageal reflux disease
3. Asma
4. Kanser paru-paru
5. Persekitaran – kawasan rumah yang berhabuk, dikelilingi kawasan pembinaan, rumah yang mempunyai banyak kulat dsb.

Penyakit Tibi telah disahkan tiada daripada ujian kahak, x-ray dan mantoux test sebelum ini.

Pesakit ini tidak mempunyai kanser paru-paru disebabkan x-raynya yang normal.

Pesakit juga mengatakan persekitaran rumahnya bersih

Manakala, dalam keluarganya tiada sejarah yang mempunyai masalah asma.

Jadi saya tanya soalan yang lebih spesifik iaitu selalunya dia batuk teruk waktu bila.

Pesakit menyatakan bahawa dia akan batuk teruk bila dalam keadaan baring. Baring je dia akan batuk. Bahkan jika terlalu teruk, dia akan batuk sampai muntah, kemudian barulah dia boleh tidur dengan selesa.

Pada waktu bangin pagi pula pesakit selalunya mempunyai rasa masam pada bahagian tekak. Seperti ada asid yang naik daripada perut kebahagian tekaknya.

Setelah makan pula, pesakit akan selalu sendawa seolah-olah perutnya penuh dengan angin.

Semua simptom yang diberitahu ini adalah merujuk kepada masalah Gastro-esophageal reflux disease atau dalam bahasa mudahnya asid refluks.

Keadaan ini berlaku disebabkan makanan di dalam perut refluks ataupun naik semula daripada perut ke dalam saluran esofagus hingga ke bahagian tekak. Asid ini akan menyebabkan berlakunya iritasi pada bahagian tekak.

Tekak akan menjadi lebih sensitif ketika mana terdedah dengan habuk menyebabkan pesakit selalu batuk disebabkan tekak yang gatal.

Pesakit seperti ini selalunya akan diberikan ubat seperti ubat gastrik dengan tujuan untuk mengurangkan asid di dalam perutnya. Jika makanan itu naik ke atas sekalipun, selalunya ia tidak akan menyebabkan tekak itu menjadi gatal.

Selain itu, pesakit juga diminta untuk:

1. Mengurangkan makanan pedas
2. Mengurangkan makanan berminyak
3. Menurunkan berat badan(bagi yang obes)
4. Tidak mengambil makanan yang banyak pada satu-satu masa

Setelah 2 minggu pesakit datang semula dan kesemua simptom batuk tersebut hilang dengan sendirinya.

Kesimpulannya

Jika anda mengalami batuk yang lama, anda perlu membuat penyiasatan terlebih dahulu untuk mengetahui punca-puncanya. Selalunya doktor akan membuat ujian penyakit tibi terlebih dahulu.

Kemudian, jika tidak sembuh juga, perhatikan simptom-simptom lain terutamanya GERD kerana ia menjadi salah satu punca utama batuk yang berpanjangan.