Strok atau angin ahmar adalah penyakit yang sangat biasa berlaku sekarang. Ia berkaitan cara hidup tidak sihat masyarakat zaman sekarang. Penyakit ini akan mengakibatkan masalah lumpuh sebelah badan atau lemah sebelah badan dengan masalah pertuturan serta muka menjadi senget.

               
Ia kerana saluran darah pada bahagian otak menjadi tersumbat atau berlaku pendarahan pada otak. Seseorang yang mengalami penyakit ini akan mengalami kesukaran meneruskan aktiviti seharian dan akan terlantar serta perlu dibantu untuk aktiviti kehidupan asas seperti mandi, bergerak, makan dan berpakaian.

Angin Ahmar Menyerang Lelaki Kuat Makan

IKLAN

Berdasarkan satu kajian dibuat di Sweden yang dilaporkan dalam Journal Neurology tahun ini, gaya hidup lebih sihat mampu menurunkan risiko mendapat strok. Kajian menunjukkan lima faktor dikatakan sebagai gaya hidup sihat iaitu pemakanan sihat, tidak merokok, aktif secara fizikal, meninggalkan minum alkohol dan mengawal berat badan.

Kajian menunjukkan sese­orang mengamalkan gaya hidup sihat mempunyai kadar risiko lebih rendah mendapat penyakit strok sehingga 54 peratus berbanding seseorang yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

IKLAN

Bagi pesakit yang mengalami masalah strok, mengamalkan gaya hidup sihat akan mendapat faedah mengurangkan impak dan mening­kat peratusan pemulihan kepada lebih baik.

IKLAN

Angin Ahmar Menyerang Lelaki Kuat Makan

  1. Mengawal tekanan darah tinggi
    Penyakit darah tinggi risiko utama untuk mendapat strok. Kita perlu selalu memeriksa tekanan darah dan memastikan ia tidak tinggi dan terkawal. Pesakit darah tinggi perlu mendapat rawatan dan mematuhi arahan doktor dengan mengambil ubat yang dipriskripsi secara tetap.
  2. Berhenti merokok
    Merokok juga faktor risiko tinggi boleh menyebabkan penyakit strok. Merokok merosakkan dinding saluran darah dan menyebabkan berlaku penyumbatan saluran darah oleh plak kolesterol yang mendap pada dinding saluran darah di otak. Merokok juga menyebabkan tekanan darah tinggi dan saluran darah lebih mudah menjadi sempit.
  3. Mengawal paras kolesterol
    Paras kolesterol terlalu tinggi akan menyebabkan saluran darah tersumbat akibat mendapan kolesterol pada dinding saluran darah. Kolesterol tinggi juga menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan lebih mudah tersumbat akibat darah beku yang akan menyebabkan penyakit strok.
  4. Mengawal paras glukosa darah
    Meninggalkan tabiat mengambil gula berlebihan menurunkan risiko mendapat strok. Pesakit diabetes didapati mempunyai risiko mendapat strok lebih tinggi berbanding orang lain. Pesakit diabetes perlu mengawal paras gula dengan baik mengikut arahan doktor dan mengambil ubat dengan betul.
  5. Bersenam atau aktif secara fizikal
    Seseorang tidak aktif secara fizikal berisiko mendapat masalah obesiti. Seseorang yang mengalami masalah itu mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat pe­nyakit strok. Bersenam akan melancarkan perjalanan darah dan mengawal berat badan lebih baik selain menurunkan risiko mendapat penyakit strok secara terus. Bagi pesakit strok, senaman secara fisioterapi penting untuk mengelak anggota menjadi keras dan kaku. Kajian juga menunjukkan senaman membantu mempercepat­kan pemulihan pesakit strok secara umumnya.
  6. Mengamalkan pemakanan lebih sihat
    Kajian mendapati seseorang yang mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian mereka akan menurunkan risiko mendapat penyakit strok. Ia juga benar untuk pesakit yang diserang penyakit ini. Makan lebih banyak ikan juga membantu menurunkan risiko penyakit strok kerana ikan mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi. Pesakit strok juga didapati boleh pulih dengan lebih baik jika makan ikan secara tetap atau mengamalkan makanan tambahan Omega 3. Mengambil makanan tambahan vitamin dan mineral juga boleh membantu mempercepatkan pemulihan pesakit strok.
  7. Tidak minum alkohol
    Minuman beralkohol diharam­kan dalam Islam. Ba­nyak kajian menunjukkan pe­ngambilan alkohol menyebabkan penyakit strok dan pelbagai pe­nyakit kronik lain. Meninggalkan tabiat minum arak akan mengurangkan risiko mendapat penyakit ini.
  8. Mendapatkan degupan jantung yang betul
    Degupan jantung tidak normal seperti masalah Atrial Fibrillation (AF) boleh mewujudkan masalah darah beku dalam jantung yang boleh menyebabkan penyumbatan saluran darah dalam otak yang menjadi punca penyakit strok. Pesakit perlu mendapat rawatan tepat dengan doktor. Dengan menjaga kesihatan secara keseluruhan, kita akan menurunkan risiko mendapat serangan angin ahmar. Di samping itu, ia akan mencegah dan menurunkan risiko mendapat penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan sakit jantung, insya-Allah.

 

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI