Foto: milatas/Shutterstock

Rata-rata di antara kita yang bersekolah rendah di Malaysia pastinya dapat mengaitkan diri dengan penggunaan alat muzik dikenali sebagai rekoder. Ingatkah anda suatu ketika dahulu di sekolah rendah waktu pembelajaran Muzik kita diajar menggunakan rekoder?

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah faedahnya kita belajar bermain alat muzik tersebut selain mempelajari asas-asas muzik?

Sebenarnya kelebihannya cukup baik terutamanya ketika kita masih lagi dalam prosesmembesar dan belajar. MASKULIN tertarik dengan perkongsian dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi satu hantarannya di Facebook.

Sebagai doktor rehabilitasi beliau mengatakan belajar menggunakan alat muzik rekoder merupakan salah satu komponen dalam usaha memaksikan perkembangan kanak-kanak.

Tak sangka, bukan! Ikuti kupasan perkongsian beliau di bawah.

Jelasnya lagi, aktiviti seperti sukan contohnya melatih kemahiran motor kasar iaitu kekuatan dan koordinasi anggota tangan, kaki dan badan kanak-kanak. Manakala bermain alat muzik pula melatih perlembangan motor halus.

KEMAHIRAN MOTOR HALUS

Anda mungkin juga pertama kali mendengar tentang istilah ‘motor halus’. Menurut Dr Kamarul, kemahiran motor halus atau dikenali sebagai ‘fine motot skill’ merupakan kemahiran dan kecekapan mengawal jari dalam memanioulasikan alatan yang dibantu oleh deria sentuhan dan stereognosis.

Tambahnya lagi, azimnya diajar bahawa manusia ada 5 deria. Namun jika kita dalami ilmu perubatan, manusia mempunyai tidak kurang daripada 21 deria. Salah satunya adalah stereognosis.

Stereognosis adalah kebolehan mengenal bentuk objek yang berada dalam tangan, walaupun tidak melihatnya. Maknanya, apabila mata ditutup, kita raba sesuatu objek, kita boleh tahu bentuknya.

IKLAN
Belajar Alat Muzik Rekoder Rupanya Bukan Untuk Tahu Asas Muzik Semata, Malah Kelebihannya Sangat Istimewa
Foto: moore piano

KEMAHIRAN PENTING

Kemahiran ini jelas beliau sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak. Deria propriosepsi iaitu kebolehan mengetahui di mana posisi atau kedudukan jarak anggota tubuh seperti tangan, kaki, kepala, jari dan sebagainya di dalam ruang.

Contohnya bila tutup mata kita tahu tangan kita berada di mana.Deria dan kemahiran ini perlukan latihan agar ia menjadi cekap. Kecekapan deria dan kemahiran tangan ni boleh menjadi faktor besar dalam menentukan masa depan seorang kanak-kanak.

Seorang pakar bedah mikro-pembedahan perlukan deria yang kemahiran tangan yang baik. Begitu juga seorang atlet dan pemuzik profesional. Malah, kita nak menaip pun perlukannya.

PENTINGNYA SKIL TIUPAN

Meniup melibatkan otot mulut dan muka. Melatih otot-otot ini menambah kecekapan bertutur. Ia boleh mengurangkan pelat, menambah kejelasan sebutan, dsb. Ia penting dalam komunikasi lisan.

Selain itu ia juga memastikan kecekapan mengunyah, menyedut, menghembus, bernafas, berdehem, batuk meneran, dan sebagiannya. Pendek kata, penting untuk penghadaman dan pernafasan.

IKLAN

OK, ni kelebihan lain kalau belajar muzik.

Ada orang deria pendengar dia cekap, bila satu bunyi dimainkan, dia boleh teka nada muzik apa yang dimainkan itu. Siapa yang langsung tak boleh bezakan, dipanggil tone deaf (pekak nada).

Selain itu ada satu deria ni tak ramai orang ada. Deria tempo (sense of tempo). Orang yang belajar muzik ni kena ada deria ni. Kalau tidak, dia main alat muzik berterabur, tak kena pada masa.

KELEBIHAN REKODER

Kenapa rekoder, dan bukan alat muzik lain?

Mudah sahaja. Kerana ia mampu milik, mudah dibawa ke sekolah, tidak perlu talaan dan penyelenggaraan rumit. Kalau gitar, piano, saksofon, mahal dan rumit. Kalau kastanet, atau marakas, tak mencabar pula.

IKLAN

Ada banyak lagi saya belum sentuh, tapi dah panjang sangat dah ni! Saya, rumuskan sahajalah.

Latihan bermain alat muzik seperti rekoder sebenarnya merangsang perkembangan deria kanak-kanak. Ia juga bantu mereka mengenal bakat dan minat mereka.

Perkara-perkara ini kadang-kadang tak nampak jelas manfaatnya, tapi jika diuruskan dengan baik, maka ia boleh membantu kanak-kanak mencari haluan hidup dan mencapai potensi sebenar diri mereka.

Itulah sedikit-sebanyak perkongsian dari Dr Kamarul. Semoga perkongsian beliau di atas boleh memberikan manfaat buat anda terutamanya yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah.

Kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

 

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI