Alhamdulillah, minggu hadapan kita akan dipertemukan sekali lagi dengan bulan mulia bulan penuh keberkatan, Ramadan Al Mubarak.
Dengan ketibaan bulan puasa maka kita akan saksikan suasana kemeriahan masyarakat Islam menjalani ibadah terutamanya di masjid. Pasar-pasar Ramadan juga akan meriah dengan pelbagai juadah hidangan berbuka.
Bercakap tentang juadah berbuka kita bersyukur kerana dilimpahi dengan pelbagai kemudahan serta rezeki yang banyak. Ada yang memilih untuk berbuka dengan memasak, ada yang memilih untuk membeli sahaja di pasar Ramadan dan terkini memilih untuk memesan makanan melalui servis penghantaran makanan.
Kini semakin banyak servis penghantara makanan ditawarkan kepada pengguna di negara kita seperti Grabfood, Food Panda, Honest Bee dan bermacam lagi. Menarinya servis-servis ini boleh dipesan dengan senang sama ada menggunakan laman sesawang ataupun aplikasi di telefon pintar.
Namun satu perkara yang mungkin ramai orang terfikir terutamanya di kalangan rider yang bekerja dalam bidang ini. Bagaimana jika makanan yang dihantar kepada orang Islam yang tak berpuasa. Adakah ia dikira bersubahat sama?
MASKULIN tertarik dengan ulasan yang dihuraikan oleh Natirah Azira, grduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam pengajian Al-Quran dan Sunnah menerusi laman sesawang TZKRH.com.
Jelasnya sebelum menjawab persoalan itu terdapat beberapa perkara yang perlu difahami tentang situasi tersebut.
BACA: Cara Nak Setting Aplikasi Waze Dengan Betul, Elak Termasuk Jalan ‘Merepek’!
PERTAMA
Selalunya rider penghantar makanan tak mempunyai informasi secara jelas siapakah yang membuat pesanan. Mungkin dia seorang lelaki atau perempuan. Atau mungkin dia seorang penganut agama Islam ataupun bukan.
KEDUA
Katakan rider penghantar makanan sekalipun mengetahui identiti pelanggan tersebut, dia masih tak tahu sama ada pelanggan beragama Islam itu berpuasa ataupun tidak. Atau dalam kata lain tiada bukti jelas menunjukkan pelanggan tak berpuasa.
Dan katakanlah jika dia tak puasa sekalipun, kita masih tak tahu apakah sebab sebenar mengapa dia tak berpuasa. Mungkin ada sebab tersendiri seperti sakit, uzur dan sebagainya yang membuatkan dia tak boleh puasa.
Ulas beliau lagi;
Bagi memahami hal ini dari pandangan hukum pula, salah satu kaedah fiqh telah digariskan oleh Imam Suyuti iaitu:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.
Kaedah di atas perlu diguna dengan teliti dan bukanlah bermakna boleh diguna secara umum kepada semua perkara. Sesetengah orang keliru dan hanya mengambil separuh daripada keterangan tersebut sahaja. Penjelasan penuhnya adalah seperti di bawah:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).
Maka dalam hal pekerjaan ‘servis penghantaran makanan’ ini, harus bagi penghantar makanan untuk menunaikan tugas dan tanggungjawabnya menghantar makanan kepada pelanggan sekalipun pada bulan puasa.
Melainkan seseorang itu jelas tentang pekerjaannya yang berkait dengan perkara haram seperti menyediakan dan menghantar arak, maka sudah jelas hukumnya haram (hukum berubah mengikut apa yang dikerjakan). Berkenaan perihal pelanggan berpuasa atau tidak, bukanlah dalam lingkungan tanggungjawabnya.
Bagi pihak pelanggan Muslim pula, dinasihatkan supaya tidak menjadikan kemudahan servis penghantaran makanan sebagai cara yang mudah untuk melakukan hal yang dilarang iaitu tidak berpuasa. Memang tidak akan ada orang yang tahu sama ada kita berpuasa atau tidak, tetapi Allah lebih tahu apa yang dilakukan. Istimewanya amalan puasa sehingga Allah berkata bahawa amalan puasa adalah untuk Allah dan Allah sendiri yang akan membalasnya.
(Memetik hadis riwayat Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)
“…Amalan puasa tersebut adalah untukKu. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya..”
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat yang berguna kepada kita. Amin.
SUMBER: TZKRH.com
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI