“3 rakyat Malaysia cipta teknologi pengecasan tanpa wayar di angkasa, bulan”, itulah tajuk utama laporan media tempatan yang membawa nama mereka menjadi sebutan dan meraih perhatian MASKULIN kali ini.
Idea untuk membangunkan sistem pengecasan tanpa wayar satelit ini dicetuskan oleh Razlan Dhamir, 29 atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Dhamir Hamdan.
Kemudian idea ‘gila’ ini disambut baik oleh dua rakannya iaitu Matt Kamil, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Mohd Kamil dan juga Lee Guo Rui, 25, yang lebih mesra disapa Justin.
Foto (dari kiri): Matt Kamil, Razlan Dhamir & Lee Guo Rui (Justin).
Bagaimanapun, Justin yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) tidak mampu untuk menyertai Razlan dan Matt di sesi temu bual bersama MASKULIN.
Ketiga-tiga mereka mengusahakan projek ini dibawah syarikat yang diasaskan bersama iaitu Aphelia.
Syarikat ini sudah diusahakan seawal 2017 namun didaftarkan secara rasmi pada 2020, demikian jelas Razlan ketika ditemu bual MASKULIN.
Menurutnya, pada asalnya Aphelia juga membangunkan teknologi yang serupa namun menumpukan pada telefon bimbit dan beberapa peranti lain.
“Walaupun saya minat sangat teknologi, saya juga minat bukan sahaja keusahawanan tetapi juga keusahawanan teknologi (technopreneurship),” kata Razlan.
Namun seperti perjalanan mana-mana syarikat rintisan, syarikat mereka juga menghadapi pelbagai dugaan, termasuklah gagal mendapatkan pelanggan.
“Dari situ kami fikir teknologi pengecasan tanpa wayar ini memang tak boleh untuk telefon bimbit. Jadi kami cari pilhan lain, antaranya dron,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Bagaimanapun idea itu juga tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Oleh itu, Razlan akhirnya berkata kepada Matt dan Justin, “saya rasa kita patut ke angkasa”.
Itulah titik permulaan bagaimana Aphelia mengubah hala tuju untuk membangunkan teknologi di angkasa pula.
Idea Gila Yang Tidak Gila
Seperti orang lain, idea luar biasa Razlan ini juga mengejutkan Matt dan Justin.
Ads
Menurut Matt, dia mengakui berasa ragu-ragu pada awalnya untuk melaksanakan idea Razlan.
“Dia (Razlan) ni gila ke gila genius?” seloroh Matt ketika ditanya MASKULIN.
Tetapi semangat membara yang terpancar pada diri Razlan akhirnya meyakinkan Matt untuk menyambut baik idea tersebut.
Tambahan pula, Matt menganggap usia mereka yang masih muda adalah satu peluang untuk meneroka pelbagai peluang dan risiko.
“Kita muda lagi, masa ini lah kita nak ambil risiko yang besar yang patut kita ambil. Sebab nanti kalau dah kahwin, dah ada anak kan susah, kan?” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dari UiTM itu.
Selain itu, idea Razlan yang dianggap ‘gila’ itu sebenarnya tidak lah begitu gila jika dibandingkan dengan idea-idea pemain industri yang sama di peringkat antarabangsa.
“Kita di Malaysia selalu hadkan diri kita. Kita akan rasa benda itu luar biasa,” ujar Matt.
Bergaul dengan pemain industri angkasa dari AS, Singapura menyedarkan Matt yang idea ‘gila’ Razlan itu sebenarnya sesuatu perkara yang biasa.
“Idea-idea mereka sebenarnnya lagi gila,” tambah Matt.
Ads
Industri Angkasa Perlu Tenaga Dari Luar Bidang
Selain itu, Matt memberitahu yang kebanyakan pemain industri angkasa sebenarnya tiada latar belakang pendidikan bidang angkasa.
“Cuma mereka jumpa satu jurang pasaran, satu masalah yang mereka percaya mereka boleh selesaikan. Itulah cara mereka masuk industri angkasa,” jelasnya lagi.
Hal ini juga dipersetujui Razlan yang memaklumkan bahawa bidang angkasa memerlukan ramai orang dari luar bidang itu untuk menyertai mereka.
“Bidang angkasa perlukan peguam, pembuat dasar, dan yang penting pemasaran,” tambah Razlan yang berhasrat memperbetulkan mitos bahawa seseorang perlu belajar kejuruteraan angkasa untuk memasuki bidang tersebut.
“Tidak wujud kejuruteraan angkasa. Bidang ini adalah gabungan pelbagai bidang seperti mekanikal, elektrik, kimia dan sebagainya,” ujar Razlan.
Masih Ramai Yang Cipta Apps
Sebagai wakil syarikat teknologi rintisan, Matt memaklumkan masih ramai syarikat tempatan lain yang mencipta aplikasi telefon pintar.
Perkara ini sangat berbeza di AS di mana banyak syarikat di sana yang sudah beralih ke teknologi mendalam.
“Kalau tanya sesiapa di Malaysia nak buat teknologi apa, kebanyakannya mahu mencipta aplikasi.
“Bukanlah tiada langsung pasaran, tetapi sudah terlalu tepu,” jelas Matt.
Ads
Memetik laporan media tempatan sebelum ini, Matt pernah memaklumkan yang mereka mahu keluar dari tanggapan yang mengatakan Malaysia hanya sekadar negara pengguna teknologi dan bukan pencipta teknologi.
“Banyak sangat orang pandai di Malaysia. Tetapi mungkin ketiadaan sesuatu platform atau pendedahan, bagi saya agak merisaukan sebab sampai bila kita nak jadi sekadar pengguna?
“Sebab dalam mesyuarat kerajaan banyak kali keluar topik itu, ‘kita bukan negara pencipta teknologi, kita negara pengguna teknologi’. Tapi itulah, siapa yang nak buat?”.
Disebabkan itulah, mereka mahu mengetengahkan diri untuk buktikan yang rakyat Malaysia mampu membina teknologi canggih sendiri selain berharap anak muda lain juga ada aspirasi untuk membina teknologi setara.
Paksa Diri Untuk Meneroka
“Saya masih ingat di acara syarikat rintisan di AS itu, pasti kita menjangkakan kehadiran pelabur, pengasas syarikat lain dan ahli korporat. Tetapi yang mengejutkan, ramai juga mahasiswa,” kata Matt kepada MASKULIN.
“Mereka (mahasiswa) tahu yang syarikat-syarikat berkenaan berpotensi untuk menjadi yang teratas di dunia.
“Walaupun mereka mahasiswa dari Berkeley, Standford, memang universiti terbaik dunia, tetapi nampak mereka segan membawa resume mereka,” demikian perkongsian Matt.
Tambahnya, semangat untuk tetap melaksanakan sesuatu walaupun segan inilah yang sepatutnya dicontohi oleh anak muda tempatan.
“Walaupun segan, kena buat juga. Nak kata jangan segan tu menipu lah, kami pun segan sebenarnya sampai sekarang”.
Hari demi hari kita dapat menyaksikan bagaimana kesungguhan rakyat Malaysia berdepan cabaran mencari rezeki selepas terkesan dengan teruk akibat wabak COVID-19. Ramai yang diberhentikan kerja dan ditamatkan kontrak kerana situasi ekonomi tidak menentu. Terbaru, tular seorang pemuda mengenakan kostum ‘Iron Man’ untuk berniaga air jagung.
Memetik laporan BERNAMA, pemuda tersebut Muhammad Syukur Mohd Patthi yang berusia 26 tahun merupakan bekas kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi. Dia telah diberhentikan kerja ekoran penularan pandemik yang berlaku sekarang.
Namun dia tidak pernah mengeluh dan berikhtiar mencari rezeki yang jalal dengan memanfaatkan kreativiti dengan mengenakan kostum adiwira tersebut sambil berniaga air jagung.
Foto: BERNAMA
Jelasnya, “Sebagai anak muda kita jangan terlalu berharap pada bantuan dan pemberian orang. Selagi ada kudrat, lebih baik cari rezeki sendiri”.
Berniaga di tepi jalan di bawah cuaca yang panas sambil mengenakan kostum bukanlah satu perkara yang senang dilakukan. Usaha anak muda ini bersama dua rakannya, Yusri Md Saad dan Mohamad Zaidi Zainal Abidin telah berjaya mencuri perhatian orang ramai dan juga mula tular di laman media sosial.
Mereka bertiga menjalankan perniagaan berdekatan sebuah persimpangan jalan di Badar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
MINAT SUDAH LAMA
Tambahnya lagi, minatnya menjadi penghibur dengan berkostum adiwira bukanlah perkara yang baru dilakukannya.
Semasa bekerja dahulu dia turut melakukan aktiviti sebagai penghibur berkostum sebagai kerja sambilan bersama kumpulan yang dikenali sebagai Geng Superheri Penang (GSP). Mereka kerap menerima tempahan untuk melakukan kemunculan dan menghiburkan tetamu di pelbagai majlis.
Foto: BERNAMA
Akan tetapi selepas berlakunya penularan wabak COVID-19, segala tempahan daripada pelanggan dibuat sebelum ini terpaksa dibatalkan. Sehubungan dengan itu mereka mendapat idea untuk berniaga air jagung dengan kostum untuk menarik pelanggan.
“Walaupun kini kami terpaksa berhujan dan berpanas di tepi jalan, setiap kali orang ramai melambai atau bunyikan hon, rasa letih itu berbaloi. Kami faham sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang rindu suasana di luar. Jika dengan melihat kami ini mereka boleh terhibur, saya turut gembira,” kata lagi.
Foto: BERNAMA
Lumrah perniagaan kadangkala ada untung dan kadangkala ada rugi. Pada awal perniagaan mereka pernah alami kerugiaan senigga 90 peratus. Namun kini perniagaan mereka menjadi semakin baik dan stabil. Malah mereka turut menyumbang stok harian yang tidak habis dujual kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya sekitar Pulau Pinang.
Semoga ‘Iron Man’ kental ini terus tabah dan kuat dalam mengarungi cabaran ini. Semoga usaha hebatnya memberikan inspirasi kepada mereka yang turut berdepan kesukaran di saat ini.
Jangan lupa untuk subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Kredit: BERNAMA
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Jodoh dan pertemuan itu ketentuan Ilahi. Kalau usaha dan sayang macam mana sekali tapi kalau sudah bukan jodoh memang kita harus terima sahaja.
Ada orang kenal dan bercinta sampai berbelas tahun lamanya baru kahwin. Dan ada juga yang baru kenal dua, tiga bulan terus kahwin. Lain orang lain cara jodohnya sampai. Apa yang paling penting sebenarnya ialah kehidupan selepas diijab kabul.
Pada zaman sekarang lelaki kebanyakannya lebih selesa mencari kestabilan hidup dahulu sebelum pasang keinginan untuk kahwin. Disebabkan itulah masih ramai jejaka bujang pada usia 30-an di luar sana.
Usah risau jika anda merasakan jodoh itu datang lambat. Mungkin anda lihat kawan-kawan lain yang kahwin lebih awal macam seronok sangat. Satu perkara kena tanam dalam fikiran, jodoh cepat atau lambat semuanya atas ketentuan Tuhan. Siapalah kita untuk menolaknya jika ditakdirkan jodoh lambat.
Tapi buat lelaki 30-an, sebenarnya ada beberapa kelebihan anda berkahsin pada usia ini.
LEBIH MATANG BILA JADI BAPA
Jika dikurniakan cahaya mata, mereka yang bersia 30-an bakal menjadi ibu bapa yang baik. Kesabaran dan kematangan yang tinggi akan membimbing mereka untuk mencurahkan kasih sayang yang terbaik untuk anak-anak.
Individu pada usia sebegini pasti sudah mempunyai kerjaya yang tetap, malah tak mustahil sudah memiliki kenderaan dan kediaman sendiri. Rumah tangga akan lebih bahagia kerana masalah-masalah kewangan bukan menjadi antara masalah utama.
JATI DIRI LEBIH KUAT
Mereka yang telah mencecah usia 30-an sudah membina jati diri yang kuat. Mereka juga mempunyai karisma serta matlamat hidup yang kuat. Kebiasaanya, mereka dapat memimpin diri dan pasangan ke jalan yang lebih teratur.
Kebanyakan individu pada usia ini sudah puas berseronok dan enjoy. Pelbagai kejayaan sudah digapai dan sudah tentu apabila berkahwin, akan lebih bahagia kerana masing-masing tidak lagi mengejar cita-cita individu.
MENTALITI MATANG & STABIL
Menurut kajian, setiap individu akan menjadi lebih tenang dan matang dalam menghadapi pelbagai situasi untuk menghargai cinta, malah akan lebih fokus untuk satu matlamat hidup.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Mendengar sahaja kanser prostat pasti cukup menggerunkan untuk kaum lelaki, namun tidak ramai yang mengambil pusing tentang penyakit ini.
Memandangkan ia berkait rapat dengan organ pembiakan maka sikap malu untuk menjalani pemeriksaan mahupun mendapatkan bantuan perlu diubah agar kanser prostat ini dapat dicegah dari awal.
Siapa sangka kehadiran penyakit yang tidak diduga ini telah mengubah cara hidup Datuk Seri Nazir Tun Razak untuk lebih peka tentang kesihatan diri.
Semuanya bermula ketika beliau menjalani pemeriksaan prostat sebagai syarat awal pembelian insurans sehinggalah beliau didiagnosis sebagai pesakit kanser prostat.
“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana penyakit barah saya dikesan dengan awal sekitar bulan Oktober 2018. Saya tidak mengalami sebarang simptom dan mendapat tahu secara tidak sengaja.
“Saya menjalankan ujian saya di London dan memberitahu doktor saya ketika itu untuk menjadualkan pembedahan saya selepas saya pulang dari bercuti.
“Betapa sihatlah saya rasa pada masa itu sehingga boleh bercuti dengan keluarga!” ujar beliau dalam temu bual yang dijalankan MASKULIN sempena Kempen ‘To Combat Against Prostate Cancer’.
Berhenti rokok dan ubah gaya hidup positif
Bukan mudah untuk menerima hakikat bergelar pesakit kanser, apatah lagi penyakit ini boleh meragut nyawa. Selain melakukan pemeriksaan dan menjalankan rawatan, sokongan ahli keluarga sangat penting dalam memberi semangat untuk pesakit melawan kanser prostat ini.
“Apabila saya mendapat tahu yang saya menghidap kanser prostat, saya serta keluarga saya risau kerana ia diketahui bahawa kanser mampu meragut nyawa pada bila-bila masa, dan saya juga khuatir jika sesuatu tidak baik berlaku semasa prosedur pembedahan.
“Tetapi keluarga saya memberi semangat terutamanya isteri dan anak-anak saya yang meyakinkan saya bahawa prosedur tersebut akan berjalan lancar dan saya akan cepat sembuh.
“Abang-abang saya Nizam dan Johari serta keluarga mereka melawat saya di London. Tidak lupa juga rakan-rakan saya seperti Tan Sri Tony Fernandes, Datuk David Chua, Datuk Haris Onn dan Datuk Kamaluddin Badawi,” ujar beliau.
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak
Disebabkan kanser prostat ini, Datuk Seri Nazir Razak berhenti merokok dan lebih kerap bersenam selepas pulih. Jika sebelum ini beliau terlalu fokus pada kerjayanya di CIMB sehingga mengabaikan kesihatan, tetapi kini beliau lebih memandang serius tentang kesihatan diri.
Untuk rutin pemakanan, beliau cuba untuk mengambil makanan yang lebih berkhasiat dan mengurangkan makanan yang berlemak tinggi. Tidak dilupakan, aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu tidak kira di rumah ataupun di luar apabila bermain golf.
Jumpa doktor jika ada simptom ini
“Jangan melengahkan masa lagi. Jika anda mempunyai gejala seperti kerap membuang air kecil, sukar untuk membuang air kecil ataupun mempunyai nafsu berahi (libido) yang rendah, anda harus berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Walaupun anda tidak mengalami apa-apa gejala, anda harus menjalani pemeriksaan prostat yang berkala selepas umur 50 tahun dan ke atas.
Mereka yang mempunyai sejarah kanser prostat dalam keluarga terdekat juga merupakan golongan yang berisiko tinggi dan wajar menjalani pemeriksaan prostat yang berkala dengan doktor.
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak
“Amerika Syarikat di mana ujian prostat kerap dilakukan, kemungkinan golongan lelaki mendapat kanser prostat adalah 10%. Ingat, hanya lelaki berisiko mendapat kanser prostat, dan mampu diselamatkan jika dikesan dan dirawat dengan awal.
“Penting untuk pesakit mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami simptom kanser prostat. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh termasuk digital rectal examination (DRE) dan ujian darah Prostate Specific Antigen (PSA) sebagai penyiasatan awal Kanser Prostat.
“Sekiranya keputusan ujian-ujian tersebut adalah ‘luar biasa’, pesakit akan dirujuk kepada pakar Urologi untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian biopsi kelenjar prostat,” terang Datuk Seri Nazir Tun Razak.
Peluang sembuh paling tinggi jika dikesan awal
Menurut Datuk Seri Nazir Tun Razak lagi, kanser prostat adalah antara kanser yang mempunyai peluang sembuh yang paling tinggi jika dikesan dan dirawat awal.
“Data dari kajian-kajian kanser prostat menunjukkan bahawa lebih 90% pesakit kanser prostat pada peringkat awal dapat hidup sekurang-kurangnya 10 tahun selepas menerima rawatan. Sebaliknya, jika kanser ini dikesan pada peringkat yang lewat, hanya sekadar 30% pesakit yang akan hidup lebih daripada 5 tahun.
“Berdasarkan pengalaman saya, selepas prosedur biopsi tersebut mengesahkan bahawa ketumbuhan saya sudah menjadi barah, doktor cadangkan saya untuk menjalankan pembedahan secepat mungkin. Selepas pembedahan tersebut, alhamdulillah saya pulih dengan sepenuhnya dalam beberapa bulan”
Tabung Amanah Kanser Urologi
Tabung Amanah Kanser Urologi yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah naungan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini dianggotai oleh pakar perubatan dan wakil orang awam.
Tabung ini bertujuan untuk mengumpulkan dana yang akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif pencegahan kanser urologi termasuklah rawatan, kesedaran kepada orang awam dan juga penyelidikan.
Tabung amanah ini memainkan peranan dalam:
(i) Mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kanser urologi terutamanya kanser prostat.
(ii) Meningkatkan pengesanan awal kanser prostat.
(iii) Memberikan bantuan kewangan kepada pesakit kanser prostat di Malaysia.
Kempen ‘Combat Against Prostate Cancer’
“Kanser prostat adalah salah satu kanser yang paling kerap dihidapi oleh golongan lelaki di Malaysia. Lebih daripada 60% kes kanser prostat di Malaysia dikesan lewat pada tahap yang serius. Oleh itu, visi kami adalah untuk mengurangkan peratusan itu kepada 30% menjelang 2025.
“Untuk mencapai matlamat ini, kempen ‘onlymencan’ ini dianjurkan dalam bulan November ini untuk meningkatkan kesedaran kanser prostat di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan lelaki agar kanser prostat dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal.”
Dua kumpulan yang akan disasarkan:
(i) Lelaki berusia 50 tahun ke atas kerana mereka adalah golongan yang paling berisiko untuk mendapat barah prostat.
(ii) Ahli keluarga lelaki-lelaki tersebut seperti isteri serta anak-anak mereka kerana mereka dapat meyakinkan suami ataupun ayah mereka untuk menjalani ujian.
“Saya rasa memiliki kesedaran mengenai kanser prostat adalah sangat penting. Kanser prostat adalah salah satu kanser yang lebih mudah dirawat dan kadar pulih pesakit kanser prostat yang dirawat awal juga adalah tinggi, hanya jika dikesan awal,” kata ahli lembaga Tabung Amanah Kanser Urologi ini.
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak
* Artikel ini diterbitkan dengan kerjasama Datuk Seri Nazir Tun Razak sempena Kempen ‘Combat Against Prostate Cancer’.
Datuk Seri Bung Moktar Radin, figura politik Sabah yang sinonim dengan laungan “Radu Tatap Radu”, meninggal dunia meninggalkan legasi keberanian dan perjuangan rakyat yang akan kekal dikenang.