Saban hari, kisah orang kita ditipu scammer bagaikan tiada kesudahan. Dalam sebulan, mesti ada sekali-sekali kita terbaca, guru/ warga emas/ penjawat awam & swasta/ mahu pun penganggur mengalami kerugian yang cukup besar nilainya.

Bagi yang belum pernah terkena atau menerima panggilan daripada scammer, ini antara perkara yang perlu tuan-tuan dan puan-puan tahu :

1. Guna spoofing

Scammer biasanya akan menggunakan sejenis alat yang dipanggil ‘spoofing’. Dengan menggunakan ‘spoofing’ ini, jika sang scammer menghubungi telefon bimbit anda, nombor yang tertera adalah nombor sah misalnya milik bank negara atau balai polis namun realitinya, panggilan itu akan disambungkan kepada sang scammer.

Oleh sebab itu jika selepas mereka memutuskan talian telefon dan kita menghubunginya semula nombor terbabit, pihak yang lain akan menjawab dan pastinya mereka juga akan terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang berlaku.

2. Buat panggilan rawak

Scammer ini juga sejenis makhluk yang akan membuat panggilan secara rawak dan popularnya, talian itu akan disambungkan ke telefon rumah atau pejabat yang sukar mengenal pasti apakah nombor yang sedang masuk.

IKLAN

Yang merisaukan, jika talian ini sampai ke rumah ibu bapa, saudara-mara, atuk dan nenek atau orang-orang tua yang langsung tidak mengetahui tentang bahaya serta modus operandi scammer ini. Sudah tentu mereka antara yang mudah terdedah kepada risiko untuk menjadi mangsa.

3. Dengar suara operator

Kebiasaannya, apabila panggilan yang diterima itu kita angkat, kita akan mendengar suara mesin operator yang akan bercakap terlebih dahulu. Misalnya, panggilan dibuat daripada Mahkamah Tinggi Klang, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tujuan nama-nama besar ini dipetik sudah tentu kerana mahu menakutkan orang awam dan mereka yang tidak bersalah pun, mungkin akan menjadi panik secara tiba-tiba kerana itu adalah lumrah manusia biasa. Perasaan takut menyelubungi diri secara tiba-tiba. Andai kata selepas ini tuan-tuan dan puan-puan ada menerima panggilan sedemikian, terus tetapkan dalam kepala, itu adalah scammer.

Putuskan sahaja panggilan

IKLAN

Di akhir pesanan suara itu, penerima panggilan biasanya akan terdengar ‘perempuan itu’ berkata, sila tekan ‘0’ untuk bercakap dengan pegawai kami dan jika itu yang berlaku, putuskan sahaja panggilan dan teruskan rutin harian tuan-tuan dan puan-puan. Kita ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat.

Jadi sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan tidak mahu perangai busuk mereka terus menular atau lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa, apa yang perlu atau boleh kita buat? Secara peribadi, cadangan penulis cukup mudah iaitu :

1. Hebahkan modus operandi ini

Kongsikan tentang hal ini. Banyakkan bersembang dengan mereka yang tidak terdedah kepada media sosial, akhbar mahu pun saluran TV terutamanya warga emas yang bersendirian. Dalam erti kata lain, kalau ada terjumpalah, alang-alang bertegur sapa.. apa salah buka topik ini untuk pengetahuan mereka.

2. Buang sikap cepat takut

Kenali diri kita secukup-cukupnya dan sebaik-baik mungkin. Buang sikap ‘cepat takut’ dan ‘gabra’ kecuali hanya untuk Allah S.W.T. Hal ini kerana dengan adanya sikap sedemikianlah, scammer lagi seronok memperdayakan mangsanya.

IKLAN

Jika tahu diri itu bersih, tidak bersalah dan tiada membuat sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, kenapa perlu takut tak pasal-pasal semata-mata mendengar perkataan POLIS, SPRM, MAHKAMAH dan sebagainya? Mereka itu rakan kita bagi orang yang baik.

3. Bertindak bijak

Jadi bijak. Jangan dedahkan sebarang maklumat diri seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun serta ‘CVV’nya atau apa-apa sahaja. Tanyakan semula kepada scammer itu, “Awak yang hubungi saya.. tentu awak ada maklumat tentang saya..” Mereka pasti gagal menjawab dan akan terkantoi di situ.

4. Sedar ruang dan masa

Lihat hari dan waktu. Jika di luar waktu bekerja atau pun pada hujung minggu, nama-nama itu yang disebut, pasti ada sesuatu yang aneh dan tidak kena. Seperti apa yang pernah saya katakan sebelum ini, letak sahaja telefon dan sambunglah kerja atau urusan anda yang lebih penting dan bermakna.

Semoga dengan tip yang dikongsikan ini mampu memberikan manfaat kepada ramai pihak dan marilah kita hapuskan scammer yang bermahajaralela di negara ini. Yang penting, jangan biar diri tertipu.

Anda ada kisah tentang scammer jahat ini? Apa yang anda lakukan? Ceritakan di ruangan komen!!