
Lelaki bekas banduan terima Ijazah PhD OUM, dari tirai besi ke pentas konvokesyen. Walaupun telah menghabiskan 23 tahun hidupnya di sebalik jeriji besi, Murad (bukan nama sebenar), 38, tidak pernah memadamkan impian untuk menimba ilmu ke tahap tertinggi.
Lelaki Bekas Banduan Terima Ijazah PhD OUM, Dari Tirai Besi ke Pentas Konvokesyen
Usaha gigih dan ketabahannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan sempena Majlis Konvokesyen ke-29 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Murad, yang ditahan di Penjara Kajang sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) sejak tahun 2001 ketika baru berusia 14 tahun, mula melibatkan diri dalam pendidikan formal pada tahun 2006 dengan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.
Berpindah dari Kota Marudu, Sabah ke Semenanjung Malaysia sejak kecil, Murad memberanikan diri memohon untuk menyambung pengajian di OUM melalui kerjasama dengan Jabatan Penjara. Menyedari cabaran yang bakal dihadapi termasuk pandangan skeptikal masyarakat, beliau tetap tekad untuk meneruskan perjalanan akademiknya.

Selepas 16 tahun menimba ilmu bermula dengan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian, hari ini beliau menerima Ijazah PhD daripada Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim — satu penutup gemilang buat perjuangan ilmunya.
“Sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh OUM amat saya hargai. Tidak lupa, saya amat berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keampunan dan kepercayaan yang diberi,” kata Murad yang kini merupakan seorang mualaf.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk membuka perniagaan kecil bagi membantu bekas banduan lain membina masa depan yang lebih baik melalui peluang keusahawanan.
Murad menerima pengampunan diraja sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-79 yang lalu, membuka laluan baru dalam hidupnya selepas sekian lama dalam tahanan.
Sumber: Harian Metro
BACA: Banduan Bergelar Doktor Falsafah Diberi Pengampunan Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI