
Bila sebut pasal tempat bersejarah di Kuala Lumpur, pasti ramai terbayang KLCC atau Tugu Negara. Tapi, ada satu lagi lokasi penting yang penuh dengan kisah kepimpinan dan jasa bakti iaitu Makam Pahlawan.
Terletak megah di perkarangan Masjid Negara, ia bukan sekadar tanah perkuburan biasa. Ia adalah tempat persemadian terakhir bagi tokoh-tokoh besar yang telah mencorak Malaysia.
Semalam negara kita telah kehilangan seorang lagi tokoh negarawan, Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemergian beliau sekali lagi mengingatkan kita tentang Makam Pahlawan, tempat di mana jasad pemimpin disegani ramai dan dihormati kerana jasa mereka bersemadi.
Allayarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara pada hari ini selepas solat Zohor di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Sejarah & Seni Bina Yang Unik
Dibina antara tahun 1963 dan siap pada 1965, Makam Pahlawan merupakan hasil rekaan arkitek dari Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharuddin Kassim.
Makam Pahlawan mengandungi dua bahagian utama:
1. Bahagian Dalam: Inilah tempat persemadian khas untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Ia dilitupi dengan kubah konkrit berbrntuk bintang pecah tujuh. Setiap bucu bintang mencecah tanah. Kawasan ini dikelilingi kolam air yang tenang, memberikan sempadan visual yang cantik dan damai. Di bahagian tengah terdapat ukiran Jata Negara dan hiasan bunga-bunga yang diperbuat daripada batu marmar khas dari Langkawi.
2. Bahagian Luar: Meliputi kawasan Lingkaran Makam Pahlawan yang terletak di luar kubah.
Bukan Sekadar Tanah Perkuburan
Makam Pahlawan ni lebih dari sekadar tempat bersemadi. Ia adalah simbol penghormatan tertinggi negara kepada para pemimpinnya.
Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri kita yang kedua, merupakan negarawan pertama yang dikebumikan di sini pada tahun 1973.
Pentingnya tempat ni diiktiraf secara rasmi bila Makam Pahlawan dan Masjid Negara diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 6 Julai 2007. Plak pengisytiharan juga dipasang pada 30 April 2009.
Siapa Yang Bersemadi Di Sini?
Sebelum pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahagian dalam kubah Makam Pahlawan menjadi tempat persemadian empat figura tokoh negara:
- Tun Dr. Ismail Abdul Rahman (TPM ke-2, meninggal 1973)
- Tun Abdul Razak Hussein (PM ke-2, meninggal 1976)
- Tun Hussein Onn (PM ke-3, meninggal 1990)
- Tun Abdul Ghafar Baba (TPM ke-6, meninggal 2006)
Manakala di bahagian luar Makam Pahlawan, turut bersemadi ramai lagi tokoh disegani yang telah menyumbang kepada negara dalam pelbagai kapasiti. Antaranya ialah:
- Menteri-menteri Kabinet seperti Tan Sri Syed Jaafar Albar, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tun Fatimah Hashim, dan Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis.
- Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Tun Syed Nasir Syed Ismail.
- Pasangan pemimpin negara seperti Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah (isteri Tun Hussein Onn) dan Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah (isteri Tun Abdul Razak).
- Pemimpin tentera seperti Jen. (B) Tun Ibrahim Ismail (mantan Panglima Angkatan Tentera).
- Dan ramai lagi tokoh penting lain yang jasanya terukir dalam sejarah Malaysia.
Legasi Yang Terus Hidup
Makam Pahlawan bukan sekadar destinasi ziarah atau tapak bersejarah. Ia adalah monumen hidup yang mengingatkan kita tentang pengorbanan, dedikasi, dan kepimpinan insan-insan hebat yang telah membina negara ini. Setiap nama yang terukir di sini membawa cerita dan legasi tersendiri.
BACA: Perginya Negarawan Berjiwa Besar, ‘Pak Lah’ Kembali Ke Rahmatullah
Dengan persemadian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, Makam Pahlawan terus menjadi saksi bisu kepada perjalanan sejarah kepimpinan Malaysia. Ia tempat untuk kita merenung jasa mereka dan mengambil inspirasi daripada sumbangan besar para negarawan ini.
Al-Fatihah buat semua Allahyarham dan Allahyarhamah yang bersemadi di Makam Pahlawan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
@maskulinmy Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar kehilangan seorang bekas Perdana Menteri, tetapi juga hilangnya seorang tokoh negarawan yang berjasa besar dalam membentuk nilai insan dan membina asas negara yang lebih progresif dan berintegriti. Terima kasih atas segala sumbangan dan kepimpinanmu, jasamu akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negara. Al-Fatihah. #Maskulin #PerdanaMenteri #TokohNegara ♬ Farewell, graduation, memorial, sentimental piano solo(850136) – fluere
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI