Baru-baru ini telah berlangsung satu acara yang mendapat sambutan hangat di kalangan peminat aktiviti larian iaitu ‘The Music Run by CIMB’.
Acara larian disaluti alunan muzik ini merupakan edisinya yang ketiga dan dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ia bukan sekadar acara biasa kerana hadir sebagai sebuah perayaan meraikan kegembiraan, muzik dan kecergasan. Kira-kira 17,000 peserta dari segenap lapisan masyarakat telah berkumpul untuk merasai pengalaman larian 5km yang unik, bertemakan “Live the Beat”, di mana muzik menjadi pemandu semangat mereka.
Diberi julukan ‘Asia’s Fittest Party’, acara meriah ini turut menyaksikan kehadiran penghibur antarabangsa seperti Sam Withers dan artis terkenal termasuk BLINK, The Filters, dan EMO NIGHT KL.
Mereka semua berpadu suara dalam pesta muzik yang memukau, membawa suasana penuh semangat dan kegembiraan.
Di bawah pengurusan Fresh Events Asia, The Music Run telah menjadi salah satu acara paling dinanti di Asia, dengan pengikut yang semakin bertambah sejak dekad yang lalu.
Ads
Acara ini bukan saja tentang larian dan muzik; ia juga menekankan pengalaman unik yang selamat, tanpa alkohol, mesra alam, dan menyeronokkan dengan moto ‘More Fun. Less Waste’.
Toni Darusman, Ketua Pegawai Jenama & Pemasaran Kumpulan CIMB Group, berbangga dengan kerjasama ini. “MELANGKAH KE HADAPAN BERSAMA”, CIMB komited pada kelestarian dan gaya hidup sihat.
Toni juga menambah bahawa CIMB akan mengimbangi pelepasan karbon selama acara dengan bantuan YTL-SV Carbon, sebagai langkah ke arah acara yang lebih mampan.
Ads
Manakala, Jeff Ross dari Fresh Events Asia pula menekankan kejayaan The Music Run sebagai bukti pengaruh muzik dan kecergasan dalam menyatukan komuniti. Acara ini bukan saja sekadar hiburan, tetapi juga inspirasi untuk perubahan positif.
Sejak mula dianjurkan di Malaysia pada tahun 2014, The Music Run telah berkembang dari segi populariti. Acara ini telah menarik lebih dari 300,000 peserta dalam 40 acara di 13 negara, menjadi simbolik gaya hidup aktif dan menyatukan orang ramai dari pelbagai latar belakang.
Dengan kejayaan edisi ke-9, The Music Run bukan saja menggabungkan muzik dan kecergasan, tetapi juga membawa harapan untuk masa depan yang lebih cerah.
Ia adalah bukti bahawa apabila bersatu, kita boleh merealisasikan impian dan mencapai lebih jauh bersama-sama. The Music Run, lebih dari sekadar larian, ia adalah perayaan kehidupan yang dinamik dan penuh warna!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Ada konsert yang diraikan kerana persembahannya hebat. Ada juga yang dikenang kerana nilai sentimentalnya. Namun Konsert ‘Hujan XX: 20 Tahun’ di Stadium Hoki Bukit Jalil berjaya menghimpunkan kedua-duanya dalam satu malam yang sukar dilupakan.
Lebih daripada sekadar meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Hujan, konsert ini sebenarnya menjadi sebuah perhimpunan gergasi buat komuniti peminat yang dikenali sebagai ‘Raingers’.
Mereka bukan sekadar hadir membeli tiket, sebaliknya menjadi saksi kepada perjalanan sebuah band indie yang pernah bermula daripada laman MySpace sebelum berkembang menjadi antara band paling berpengaruh dalam muzik alternatif Malaysia.
Kehadiran kira-kira 17,000 penonton bukan sahaja mencipta sejarah buat Hujan, malah turut melayakkan mereka menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kategori ‘Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert’.
Ia merupakan pencapaian yang cukup besar bagi sebuah band yang membina pengaruh secara organik tanpa bergantung kepada arus perdana pada awal perjalanan mereka.
Konsert bermula sekitar jam 8.15 malam dengan sorakan gemuruh penonton yang jelas sudah lama menantikan detik ini. Sejak lagu pertama dimainkan, suasana di Stadium Hoki Bukit Jalil sudah bertukar menjadi satu lautan manusia yang menyanyi bersama tanpa perlu dipelawa.
Apa yang paling menarik perhatian penulis ialah majoriti penonton terdiri daripada generasi milenial.
Mereka ialah generasi yang membesar ketika internet mula menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, ketika MySpace menjadi platform utama menemui muzik baharu dan ketika lagu-lagu Hujan menjadi runut bunyi zaman belajar, cinta pertama dan pencarian identiti.
Melihat ribuan peminat menyanyikan setiap bait lagu membuktikan karya Hujan masih kekal relevan walaupun sudah dua dekad berlalu.
Tidak ramai band mampu menghasilkan katalog lagu yang begitu konsisten. Hujan bukan sekadar memiliki satu atau dua lagu popular. Hampir setiap album mereka melahirkan karya yang terus hidup dalam ingatan peminat.
Lagu seperti Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, Aku Scandal, Kotak Hati dan Lonely Soldier Boy dinyanyikan beramai-ramai sehingga ada ketika suara penonton mengatasi sistem bunyi stadium.
Konsert ini turut diperkaya dengan kemunculan beberapa nama besar yang pernah melalui era kegemilangan indie bersama Hujan.
Kejutan bermula seawal lagu Pelangi dan Kau apabila Loca B dan Amir Masdi muncul di atas pentas, sebelum Fynn Jamal menghidupkan suasana menerusi Pijak Hatiku.
Kemunculan Loque menerusi lagu Rantai Rasa pula menjadi antara detik paling bermakna malam itu. Yuna pula muncul membawakan lagu Di Kala Bulan Bermain Biola yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Sebelum lagu dimainkan, Noh Salleh sempat berkongsi penghargaan kepada Butterfingers.
“Sejujurnya, Hujan tidak akan wujud tanpa album Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers.”
Konsert kemudian berubah wajah apabila Hujan membawa penonton kembali ke era Sang Enemy, fasa paling berat dalam diskografi mereka.
Joe daripada The Padangs, Ijam daripada Restraint serta gitaris Modread, Fahmi tampil menghidupkan lagu Mana Mungkin dan Bila Kau Jatuh, menghasilkan suasana yang jauh lebih agresif berbanding segmen sebelumnya.
Tidak cukup dengan itu, Akeem Jahat, DJ Uno, bekas pemain keyboard Hang Dimas dan Boyo turut muncul dalam Ke Selatan, menjadikan pentas semakin meriah.
Kemuncak kejutan sudah tentu kehadiran Datuk M. Nasir yang bersama-sama menyampaikan lagu Kembara, satu momen yang cukup istimewa buat seluruh stadium.
Di sebalik persembahan bertenaga, kekuatan sebenar konsert ini tetap terletak pada hubungan antara Hujan dan peminat mereka. Noh tidak pernah cuba menjadi seorang bintang rock yang jauh daripada penonton.
Sebaliknya dia berkongsi cerita, bergurau dan mengenang perjalanan bersama Raingers seperti berbual dengan rakan-rakan lama.
Beliau sempat menyakat peminat yang suatu ketika dahulu hadir sebagai remaja, tetapi kini sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri.
Turut hadir pada malam tersebut ialah bapanya, Salleh Ibrahim, yang menerima penghargaan secara terbuka daripada Noh.
Namun detik paling menyentuh hati hadir apabila Noh beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong Hujan.
“Mungkin bukan untuk Hujan secara keseluruhannya, tetapi bagi saya secara peribadi, saya bertahan dengan wang gig.
“Wang yang anda belanjakan untuk tiket yang membuatkan saya terus bertahan.
“Seluruh perjalanan saya dengan Hujan telah dibina semata-mata atas kasih sayang dan rahmat anda.”
Ungkapan itu cukup menggambarkan falsafah Hujan sejak dahulu. Tanpa Raingers, Hujan mungkin tidak akan berada di tahap ini.
Konsert ditutup dengan Ludah Amerika, antara lagu paling lantang dalam katalog Hujan.
Ketika lagu itu bergema, beberapa bola gergasi bertulis Icon Entertainment melayang di ruang berdiri sebelum pertunjukan bunga api menamatkan malam yang penuh emosi itu.
Konsert Hujan XX bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-20. Ia merupakan perayaan sebuah komuniti yang telah membesar bersama muzik mereka. Malam itu bukan tentang membuktikan Hujan masih relevan, kerana hakikatnya mereka tidak pernah benar-benar pergi.
Sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa sebuah band indie dari era MySpace masih mampu menghimpunkan 17,000 peminat dalam satu malam, mencipta rekod kebangsaan dan mengingatkan semua bahawa sesetengah muzik tidak pernah luput ditelan zaman.
Kredit foto: Bangsawan Pictures
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Rumah tangga bahagia adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Johan Raja Lawak yang sering berkongsi kemesraannya bersama keluarga di media sosial baru-baru ini berkongsi tip cara Bahagia rumah tangga caranya.
Walaupun tiada formula yang sempurna untuk mencapai kebahagiaan, terdapat beberapa rahsia dan amalan yang boleh membantu mewujudkan suasana harmoni dan bahagia dalam rumah tangga.
Menerusi perkongsian di TikTok, Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz berkongsi petua untuk memastikan perkahwinan sentiasa bahagia.
Menurutnya, lelaki terutama para suami perlu tanam dalam fikiran bahawa perempuan selalu betul dalam apa jua keadaan.
Ada dua sahaja. Kalau kata ada sepuluh tu semua tipu! Lelaki semua dengar.
Yang pertama, kau kena tahu perempuan selalu betul.
Yang kedua, kalau kau rasa kau betul tapi kau bergaduh, kau sepak diri kau, tengok balik nombor satu. Perempuan selalu betul.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya setuju dengan petua yang dikongsikan oleh Johan. Isteri yang gembira melambangkan perkahwinan yang bahagia.
Berikut antara komen-komen warga maya.
Untuk rekod, Johan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ozlynn pada 25 Julai 2009 dan dikurniakan enam cahaya mata.
Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah acara muzik yang bukan sekadar menghibur, tetapi turut membawa mesej inspirasi dan emosi mendalam melalui penganjuran Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025.
Bertempat di Mega Star Arena, festival yang bakal diadakan pada Pada 17 Ogos 2025 ini menjanjikan pengalaman muzik yang segar, disampaikan dalam format yang lebih peribadi dan menyentuh hati.
RIF 2025 merupakan hasil kerjasama antara Expoindo dan Thrive, dua nama yang tidak asing lagi dunia penganjuran acara hiburan di rantau ini.
Apa yang membezakan festival ini dengan konsert konvensional adalah pendekatannya yang menggabungkan persembahan muzik dengan ruang perkongsian kisah di sebalik lagu-lagu popular yang bakal dipersembahkan oleh artis terlibat.
“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi,” jelas Bram Tulong, wakil Expoindo.
Menjadi tarikan utama festival ini ialah kemunculan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy.
Popular menerusi lagu-lagu seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’ dan ‘Sialan’, Juicy Luicy bukan nama asing buat peminat muzik Malaysia. Dengan lirik yang dekat dengan realiti kehidupan anak muda dan melodi yang kuat, pemilihan mereka sebagai artis fasa pertama bagi RIF 2025 bukanlah satu kejutan.
“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” tambah Bram Tulong.
RIF 2025 juga menampilkan satu konsep yang lebih intim dan eksklusif, di mana para artis bukan sahaja mempersembahkan lagu, tetapi juga berkongsi pengalaman peribadi serta perjalanan mereka dalam dunia seni.
Ini memberi peluang kepada penonton untuk merasai hubungan yang lebih dekat dan autentik dengan penghibur kesayangan mereka.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” ujar pihak penganjur lagi.
Menariknya, festival ini akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu pada sebelah tengah hari dan malam.
Bagi sesi malam yang menampilkan Juicy Luicy, harga tiket presale telah diumumkan dan dijual sejak 3 Julai 2025. Tiket boleh didapati melalui aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur dengan harga bermula dari RM128 (Silver-Seated) hingga RM528 (VVIP-Seated).
Dalam usaha memperluas pengaruh dan jangkauan festival ini, Expoindo turut merancang untuk membawa RIF ke beberapa bandar utama lain di Malaysia. Misi ini turut menjadi langkah strategik dalam memperkukuh hubungan budaya dan muzik antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” kata Johnathon Wong, wakil BBO Events.
Dengan barisan artis tambahan yang akan diumumkan dalam masa terdekat, RIF 2025 dilihat sebagai platform yang bakal mengangkat pengalaman muzik ke satu dimensi baharu.
Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang