
Kembalinya perlumbaan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun bukan sekadar menghidupkan semula suasana perlumbaan di Malaysia. Bagi sekumpulan peminat tempatan, hujung minggu Bahrain Grand Prix turut membuka peluang untuk melihat sendiri apa yang berlaku di sebalik tabir pasukan Scuderia Ferrari HP.
Menerusi kempen Shell Motorsport Experience, Shell V-Power membawa tetamu terpilih mendekati operasi sebenar sebuah hujung minggu Formula 1, daripada lawatan ke pit lane dan garaj Ferrari hinggalah melihat sendiri bagaimana bahan api serta pelincir dianalisis sepanjang perlumbaan berlangsung.

Hujung minggu itu turut berakhir dengan keputusan positif buat Ferrari apabila Charles Leclerc dan Lewis Hamilton masing-masing menamatkan Bahrain Grand Prix di tempat ketiga dan keempat.
Dari Pit Lane Hingga Makmal Bergerak Shell
Pengalaman eksklusif berkenaan membawa tetamu menyertai Pit Lane Walk, memasuki garaj Scuderia Ferrari HP dan meneroka kawasan paddock yang biasanya tidak dapat diakses oleh penonton biasa.
Mereka turut dibawa ke Shell Trackside Laboratory, iaitu makmal bergerak yang digunakan saintis Shell untuk menguji dan menganalisis bahan api perlumbaan serta teknologi pelincir Scuderia Ferrari HP secara masa nyata sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Pengalaman itu turut diserikan dengan kemunculan Hamilton dan Leclerc sebelum para tetamu menyaksikan perlumbaan dari grandstand.
Pengurus Besar Shell Mobiliti & Kemudahan Malaysia, Zairi Dzuljastri, berkata kembalinya perlumbaan ke Sepang memberi peluang istimewa untuk membawa pelanggan lebih dekat kepada dunia Scuderia Ferrari HP.

“Kembalinya perlumbaan ke Sepang merupakan detik penting buat komuniti sukan permotoran Malaysia dan ia memberikan kami peluang unik untuk membawa pelanggan lebih dekat dengan dunia Scuderia Ferrari HP.
“Hubungan jangka panjang kami membolehkan kami mencipta pengalaman yang melangkaui apa yang biasanya dilihat peminat dari tempat duduk penonton, sekali gus membawa mereka lebih dekat kepada semangat dan prestasi di sebalik pasukan itu.
“Hubungan itu juga melangkaui hujung minggu perlumbaan. Selama beberapa dekad, Shell dan Scuderia Ferrari HP berkongsi komitmen untuk terus menolak sempadan prestasi dan inovasi, dan pembelajaran daripada kerjasama itu terus membentuk bahan api serta pelincir yang kami bangunkan untuk pelanggan,” katanya.
Kembali Ke Sepang Selepas Sembilan Tahun
Bagi peminat yang terpilih, pengalaman itu membawa nilai sentimental tersendiri.
Kumaragurubharan dari Port Dickson, yang sudah mengikuti sukan permotoran selama 12 tahun, kembali ke Sepang selepas kali terakhir menonton perlumbaan di litar berkenaan ketika berusia 14 tahun.
“Kali terakhir saya menonton perlumbaan di Sepang, saya berusia 14 tahun. Sekarang saya berusia 23 tahun, jadi dapat kembali sembilan tahun kemudian dan merasai pengalaman dengan cara seperti ini memang luar biasa.
“Saya tidak pernah membayangkan akan berpeluang melihat Lewis dan Charles secara dekat, dan saya benar-benar rasa bertuah dapat berada di sini,” katanya.

Bagi How Bee Yong dari Klang pula, peluang tersebut lebih bermakna kerana minat terhadap Ferrari turut dikongsi bersama keluarganya.
Peminat Ferrari yang sekian lama mengumpul model kereta Shell Ferrari itu berkata anak lelakinya antara individu yang paling teruja apabila mengetahui beliau memenangi peluang berkenaan.
“Anak saya mungkin orang yang paling gembira apabila saya mendapat tahu saya menang kerana dia sebenarnya sudah membeli tiket sendiri untuk perlumbaan itu.
“Akhirnya, kami berdua dapat berada di sana ketika perlumbaan kembali ke Sepang dan itu menjadikan pengalaman ini lebih istimewa,” katanya.
Lebih 500 Pesanan Peminat Diabadikan Dalam Corak Batik
Pengalaman Shell V-Power turut dibawa keluar dari kawasan litar menerusi aktiviti di Shell KLIA Sepang yang menggabungkan budaya tempatan dengan minat terhadap Scuderia Ferrari HP.
Lebih 500 pesanan dan ucapan daripada peminat Malaysia dikumpulkan sebelum diterjemahkan kepada karya khas berinspirasikan batik yang memuatkan nama serta pesanan penyokong buat Leclerc dan Hamilton.

Karya tersebut kemudian disampaikan kepada kedua-dua pelumba Ferrari oleh Siti Sulaiman, Country Chair Shell Malaysia, bersama Zairi Dzuljastri dalam sebuah acara tertutup.
Ia menjadi penghargaan bercirikan Malaysia kepada Ferrari, sekali gus membawa sentuhan budaya tempatan ke dalam pengalaman Formula 1 sepanjang minggu perlumbaan.
Teknologi Perlumbaan Dibawa Ke Jalan Raya
Kerjasama Shell bersama Ferrari bukan sesuatu yang baharu.
Menurut kenyataan Shell, teknologi peningkatan prestasi yang digunakan dalam bahan api jalan raya Shell V-Power turut digunakan oleh Scuderia Ferrari HP di litar.
Shell turut mendakwa formulasi V-Power mampu membersihkan sehingga 100 peratus bahagian kritikal enjin bagi membantu mengekalkan prestasi enjin.
Hubungan inovasi antara kedua-dua jenama itu telah berlangsung lebih 75 tahun, bermula di peringkat tertinggi sukan permotoran dan terus berkembang menerusi pembangunan teknologi bahan api serta pelincir.
Lebih Daripada Sekadar Menonton Perlumbaan
Shell Motorsport Experience merupakan sebahagian daripada kempen Feel the Fuel Shell Malaysia yang berlangsung dari 24 Ogos hingga 20 September 2026.
Penyertaan dikumpulkan menerusi aplikasi Shell, dengan pelanggan diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman yang lebih dekat dengan dunia Scuderia Ferrari HP.
Bagi peminat Formula 1 Malaysia, kembalinya perlumbaan ke Sepang sudah cukup istimewa selepas penantian sembilan tahun.
BACA: 5 Sebab Peminat F1 Sangat Suka Terhadap Litar Antarabangsa Sepang
Namun buat mereka yang berpeluang memasuki garaj Ferrari, melihat operasi pasukan secara dekat dan bertemu Hamilton serta Leclerc, hujung minggu tersebut membawa pengalaman yang jauh melangkaui apa yang biasanya dapat dirasai dari grandstand.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
