Dalam landskap sosial yang semakin kompleks, lelaki hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan, baik daripada masyarakat, keluarga, mahupun media sosial. Satu konsep yang kian mendapat perhatian dalam wacana maskuliniti moden ialah ‘Sigma Male’.
Berbeza dengan stereotaip tradisional lelaki alpha yang dominan atau lelaki beta yang lebih pasif, Sigma Male digambarkan sebagai individu yang berdikari, berpegang pada prinsip hidup sendiri dan tidak bergantung kepada hierarki sosial.
Tetapi sejauh mana konsep ini relevan dalam konteks lelaki Malaysia yang masih dibentuk oleh norma budaya Timur dan harapan sosial yang tinggi?
Foto hiasan
Siapa itu Sigma Male?
Istilah “Sigma Male” mula dipopularkan oleh penulis dan blogger kontroversi Vox Day sebagai sebahagian daripada klasifikasi sosial lelaki.
Ia kemudiannya digunakan lebih meluas oleh penulis dan ahli teori sosial untuk menggambarkan lelaki yang berada di luar struktur sosial konvensional. Mereka bukan pemimpin kelompok, tetapi mereka tetap berpengaruh.
Mereka tidak bergantung pada validasi luaran dan selesa menjalani kehidupan mengikut acuan sendiri.
Foto hiasan
Menerusi satu artikel yang diterbitkan oleh The Adult Man, Sigma Male digambarkan sebagai individu yang “tenang, sukar dijangka, namun memiliki karisma tersendiri yang tidak memerlukan pengesahan orang lain”.
Karakter seperti John Wick atau Batman sering digunakan sebagai perumpamaan visual. Ciri-ciri ini menjadi semakin menarik bagi sesetengah lelaki muda yang muak dengan tekanan untuk “menjadi seseorang” mengikut acuan masyarakat.
Ads
Dalam era di mana hustle culture dan media sosial sering menuntut pencapaian yang berterusan, Sigma Male memilih untuk bergerak secara senyap tetapi tetap mencapai matlamatnya.
Relevansi Dalam Budaya Lelaki Malaysia
Masyarakat kita cukup menekankan nilai kekeluargaan dan keharmonian komuniti, meletakkan harapan yang tinggi terhadap lelaki untuk menjadi pemimpin, penyara keluarga dan anggota masyarakat yang aktif.
Dalam konteks ini, kehadiran “Sigma Male” mungkin kelihatan bertentangan. Namun, semakin ramai lelaki, khususnya generasi muda urban, mula mempersoalkan norma ini.
Lelaki yang memilih untuk hidup secara solo, fokus pada pembangunan kendiri, dan tidak tergesa-gesa untuk berkahwin atau mengejar pangkat, kini bukanlah sesuatu yang asing.
Mereka mungkin tidak begitu menonjol di permukaan, tetapi mempunyai jaringan sosial kecil yang berkualiti dan matlamat hidup yang jelas.
Ads
Malah, sesetengahnya lebih selesa membina kerjaya secara bebas seperti freelancer, usahawan digital, atau pencipta kandungan.
Cabaran dan Persepsi Terhadap Lelaki ‘Sigma’
Namun begitu, menjadi lelaki yang mengambil jalan berbeza bukanlah tanpa cabaran. Persepsi masyarakat terhadap lelaki yang kurang bersosial atau memilih untuk tidak berkahwin selalunya negatif.
Mereka mungkin dilabel sebagai tidak matang, anti-sosial atau bahkan egoistik. Dalam konteks budaya Asia, tekanan untuk mematuhi jangkaan keluarga adalah tinggi dan ini menjadikan perjalanan seorang “Sigma Male” lebih mencabar.
Foto hiasan
Tambahan pula, terdapat risiko jika konsep ini disalah tafsir. Ada segelintir pihak yang mengangkat gaya hidup ini secara ekstrem. Lalu mengabaikan keperluan emosi dan hubungan sosial yang sihat.
Seperti yang ditegaskan dalam artikel oleh Verywell Mind, terlalu menekankan individualisme tanpa keseimbangan boleh membawa kepada keterasingan dan masalah kesihatan mental.
Ads
Konsep “Sigma Male” mungkin baharu dalam wacana arus perdana Malaysia. Namun ia mencerminkan realiti yang semakin relevan dalam kalangan lelaki moden. Terutamanya mereka yang mencari identiti di luar stereotaip maskuliniti konvensional.
Walaupun bukan untuk semua orang, gaya hidup ini menawarkan alternatif kepada lelaki yang mahu menentukan laluan hidup mereka sendiri tanpa tunduk kepada tekanan sosial.
Dalam dunia yang semakin kompleks, mungkin sudah tiba masanya kita meraikan kepelbagaian dalam cara menjadi lelaki.
“Being a Sigma Male is not about rejecting society — it’s about understanding where you stand without needing society’s validation.”
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Persoalannya, bolehkah menjadi jutawan dalam usia yang muda ini? Bukankah ia agak mustahil kerana angka satu juta merupakan jumlah yang banyak. Jawapannya, jika orang lain boleh melakukannya, kenapa kita tidak boleh? Semua manusia diberi masa 24 jam sehari. Di sini kita boleh bincangkan bagaimana menjadi jutawan pada usia muda bukan daripada warisan harta pusaka, keturunan orang kaya atau kerabat diraja.
Definisi Jutawan
Jutawan merupakan seseorang yang mempunyai NILAI ASET BERSIH sejumlah RM1 juta ke atas. Untuk mengira Nilai Aset Bersih, kita perlu menjumlahkan semua aset yang dimiliki dan juga semua hutang yang kita miliki. Formula seperti di bawah;
Nilai Aset Bersih = Jumlah Aset – Jumlah Hutang (Liabiliti)
Sebagai contoh, jika kita mempunyai 2 buah rumah yang mempunyai nilai pasaran RM 500 ribu, kita perlu menolak baki hutang RM200 ribu. Jadi nilai aset bersih kita ialah RM 300 ribu. Perlu kita ingat, membuat jualan 1 juta bukanlah dikira jutawan lagi. Jadi kita perlu berhati-hati dengan golongan yang selalu menggelar diri mereka jutawan.
Persiapkan Minda
Sebagai seorang yang bukan lahir daripada golongan berada, kita mungkin menghadapi halangan minda (mental block) untuk mencapai status jutawan. Halangan minda ini yang menyebabkan cita-cita tidak terhasil. Kita perlu membuang semua halangan minda ini untuk berjaya.
Jadi mulai saat ini, sematkan dalam minda yang kita boleh mencapai status jutawan sebelum umur 30 tahun. Ingat, untuk menghilang halangan ini, tiada kos atau tenaga yang diperlukan! Anda hanya perlu berazam untuk menjadi jutawan sahaja. Dan itulah yang anda perlu fikirkan hari-hari!.
Buat latihan minda setiap kali bangun pagi. Sebut di depan cermin dan katakan kepada diri anda sendiri dalam cermin, Hai Jutawan! Jika anda masih berasa malu, lakukan ketika orang lain tiada di sekeliling. Kita perlu yakin sebagai jutawan sebelum menjadi jutawan.Persiapan minda ini amat penting kerana ia akan membawa anda keluar dari pengaruh kehidupan sekeliling.
Tidak dapat dinafikan kebanyakan kita lahir daripada keluarga kurang berada atau kelas menengah. Sedikit sebanyak pemikiran miskin ini mempengaruhi kita dan kita menjadi sebahagian daripada mereka. Jika kita ingin menjadi luar biasa, kita perlu berfikir luar biasa.
Perubahan Sikap
1-Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah mengubah sikap anda terhadap wang. Tanyalah kepada diri anda, adakah anda pernah berfikir orang kaya itu jahat? adakah anda pernah berfikir wang adalah sumber kepada segala kerosakan?
Jika ya, anda perlu mengubah sikap anda terhadap wang. Tidak semestinya orang kaya itu jahat kerana orang miskin pun jahat juga. Tidak semestinya wang itu sumber pada kerosakan kerana wang juga sumber pada kebaikan.
Jadi anda tukar sikap anda terhadap wang. Wang bukanlah perkara yang mengubah anda, tetapi anda seorang yang menjadi mengubah kehidupan dengan wang. Anda adalah raja kepada wang, bukan wang menjadi raja kepada anda.
Jika anda menjadi raja kepada wang, anda akan memerintah wang itu mengikut kehendak anda. Jika wang itu menjadi raja kepada anda, anda akan menjadi hamba wang dan wang itu akan menjerumuskan anda kepada keburukan.
2-Kedua adalah sikap kita dalam menguruskan wang. Sikap tidak menghayati nilai wang yang diterima sehingga kita membazir kepada perkara yang tidak berfaedah perlu dibuang. Wang yang diterima perlu digunakan untuk menghasilkan banyak lagi wang.
3-Ketiga ialah sikap suka memberi. Konsep ini adalah konsep universal dan diajar dalam pelbagai agama dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Formula mendapatkan banyak wang adalah dengan memberi banyak wang. Jadi didiklah sikap suka memberi, bersedekah dan menyumbang ke arah kebaikan. Dengan bersedekah, ia mendidik kita konsep melabur dan sabar dalam menerima pulangan pada masa akan datang.
4-Keempat ialah membuang sifat dengki terhadap orang lain. Penghalang kepada kejayaan kita adalah kita asyik memikirkan keadaan orang lain. Kita sepatutnya fokus kepada mencapai matlamat kita. Jika kita benar-benar fokus, kita tidak akan iri hati kepada pencapaian orang lain kerana kita sibuk merangka kejayaan kita sendiri.
Instrumen Kekayaan
Setelah membetulkan minda dan sikap, barulah kita boleh memilih jalan atau instrumen untuk menjadi jutawan. Pastinya dengan minda dan sikap sahaja tidak boleh membawa kita ke mana jika tidak memulakan langkah.
Perlu kita ingat dengan hanya menyimpan setiap bulan tidak akan membuatkan kita menjadi jutawan dengan segera. Ia boleh dicapai dalam jangka masa yang agak lama namun jika anda mahu mencapainya lebih awal, anda perlu menggunakan segala sumber yang ada di sekeliling anda.
Mari kita mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya mencapai status jutawan dalam usia muda.
Perniagaan
Majoriti jutawan muda bermula dengan memulakan perniagaan. Ada di antara mereka merupakan cerdik pandai dalam bidang masing-masing seperti bidang perisian komputer, pemasaran online dan sebagainya.
Sebagai generasi muda, kita boleh memanfaatkan minat dan penglibatan kita dalam penggunaan Internet dan teknologi untuk dijadikan perniagaan. Kita tidak perlu mahir membina perisian yang mungkin memerlukan tingkatan kemahiran yang tinggi, tetapi menggunakan teknologi yang ada untuk mengumpul kekayaan.
Sebagai contoh, media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Orang biasa memandang ini sebagai medan untuk bersosial. Tapi bagi yang bijak, platform ini adalah lombong emas. Adakah anda tahu masalah terbesar perniagaan adalah mencari pelanggan? Jadi media sosial ini adalah tempat pelanggan berkumpul dan anda perlu fikir untuk mengeluarkan duit dari poket mereka ke poket anda!
Anda boleh menjual apa sahaja yang diperlukan oleh manusia di medan sosial ini. Anda juga perlu belajar untuk membuat pemasaran beretika dan berkesan. Mungkin anda perlu belajar dengan pakar untuk memahirkan diri.
Bidang perniagaan online melalui laman web dan medan sosial boleh dilakukan secara separuh masa dan waktu lapang. Jika dilakukan dengan serius dan berdisiplin, anda mampu menjana pendapatan lumayan dan boleh memecat bos anda dengan segera.
Saya sendiri memulakan perniagaan online menjual laptop terpakai sewaktu pada tahun kedua di universiti (tahun 2004) melalui Ebay. Hasil daripada perniagaan ini membolehkan saya mengumpul modal yang banyak untuk mula menceburi perniagaan dan pelaburan lain di Malaysia.
Contoh berjaya melalui perniagaan tersangat banyak. Ada yang berjaya membina laman web sendiri, menjual perisian sendiri, menjual kek, menjual servis, menjadi kontraktor pembinaan dan sebagainya. Anda tidak perlu menjadi cerdik pandai. Anda hanya perlu berfikir, mencari peluang dan berusaha keras. Telah ramai yang melakukannya.
Pelaburan Hartanah
Pelaburan hartanah antara instrumen kekayaan yang boleh mencepatkan usaha menjadi jutawan di usia muda. Purata kenaikan hartanah yang meningkat 20-30% setahun dari 2006 hingga 2013 sememangnya menjadi peluang besar untuk meningkatkan kekayaan kita. Untuk melabur dalam hartanah, kita perlu membuat perancangan yang rapi dan disiplin yang kuat. Berikut antara cara anda boleh ikuti untuk mengambil peluang dalam bidang pelaburan hartanah.
-Mula membeli hartanah seawal tahun pertama bekerja. Tidak perlu menunggu lama untuk membeli. Terus sahaja membeli dengan keupayaan kewangan yang kita ada.
-Mulakan dengan hartanah yang meningkatkan arus tunai kita dahulu seperti hartanah sewa.
-Setelah arus tunai stabil boleh mulakan hartanah jenis ‘capital gain’.
-Libatkan diri dalam mencari hartanah lelong untuk mendapatkan hartanah di bawah harga pasaran untuk margin untung dan sewa yang lebih tinggi.
-Berkawan rapat dengan ejen hartanah, ejen lelong, peguam hartanah, pegawai bank.
-Mencari dan menambah modal untuk hartanah dengan menjadi ejen hartanah sambilan.
-Mula menguruskan hartanah secara sewa atas sewa untuk tambahan arus tunai.
-Berkawan dan membina jaringan dengan pelabur hartanah yang lain.
Jika pelaburan hartanah dimulakan seawal selepas graduasi daripada universiti iaitu sekitar umur 23 tahun, tempoh masa 7 tahun untuk mencapai umur 30 tahun adalah sangat praktikal bagi membina portfolio hartanah bernilai jutaan ringgit. Namun ia bukanlah semudah yang disangka. Usaha dan sikap tidak putus asa perlu bagi mencapai kejayaan.
Pelaburan Saham
Secara asasnya, pelaburan saham adalah pelaburan yang tiada had. Kenaikan saham dan pulangannya boleh mencapai beratus ratus peratus dalam setahun. Jadi ia merupakan satu pelaburan yang menarik tetapi berisiko tinggi. Namun peluang menggandakan aset dan wang adalah sangat besar jika kita tahu cara dan ilmu yang sepatutnya digunakan. Secara asas, melabur dalam saham perlukan beberapa tatacara yang betul seperti;
-Memilih kaunter berpotensi berdasarkan analisa yang rapi.
-Analisa pula boleh berdasarkan latar belakang syarikat termasuk model perniagaan, kewangan dan potensi pengembangan syarikat. Analisa juga boleh dilakukan melalui interpretasi carta dan pergerakan harga.
-Disiplin dalam membuat tindakan belian dan jualan.
-Pengawalan emosi agar tidak terburu buru dan rugi.
-Pengurusan kewangan yang baik serta tidak membuta tuli membazirkan wang.
Selain saham, ada juga jutawan muda lahir hasil daripada pelaburan forex secara online. Namun, majoriti pakar dan fatwa mengatakan forex online tidak berstatus syariah. Ramai pelabur forex online beralih kepada pelaburan Pasaran Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) oleh Bursa Malaysia.
Seperti juga hartanah, anda boleh mengambil peluang menjadi ejen saham iaitu Remisier atau Dealer kepada syarikat Broker saham. Anda akan mendapat komisen hasil daripada jual beli saham pelanggan anda.
Pelaburan Emas
Lima tahun kebelakangan ini pelaburan emas menjadi buah mulut kerana harga emas meningkat secara mendadak. Namun setelah harga emas merudum sejak tahun 2012, emas tidak lagi menjadi tarikan. Pemerhatian saya ramai yang sudah tawar hati dengan pelaburan emas kerana harganya tidak meningkat dengan banyak seperti dahulu.
Namun sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam perniagaan emas ini, potensi emas sebenarnya sangat besar kerana ia merupakan logam berharga dan diakui seluruh dunia. Tambahan pula, emas boleh dipajak untuk pusingan modal menyebabkan ia merupakan satu komoditi berharga untuk para peniaga. Sama ada anda berjual beli emas, menjadi pemilik kepada kedai emas, menjadi ejen emas, anda boleh menjana pendapatan dengan potensi emas fizikal ini.
Perancangan Kewangan yang Lengkap
Setelah mengetahui beberapa sarana untuk menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun, kita perlu berbalik kepada asas perancangan kewangan. Kunci utama menjadi kaya adalah berjaya menguruskan apa yang ada di tangan, mengembangkannya untuk menjadi lebih banyak. Mulakan daripada jumlah kecil yang pasti, berdisiplin dan tetap kekal dengan matlamat asal untuk menjadi jutawan.
Rekodkan perancangan dalam dokumen bertulis. Ulang kaji dan ubahsuai strategi berdasarkan keadaan yang berlaku. Letakkan matlamat di tempat yang boleh dilihat seperti di cermin, pintu, atau atas katil.
Saya menulis sebuah cek bernilai satu juta kepada diri sendiri dan berjaya mencapainya sebelum tarikh tersebut. Pada waktu awal menulis cek tersebut, saya tidak tahu bagaimana saya untuk mencapainya, namun disebabkan matlamat yang terfokus, apa sahaja tindakan sahaja dan peluang yang bertandang senantiasa mengarah kepada matlamat itu.
Saya harap anda dapat mengaplikasikan ilmu ini dan berjaya menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Tiada perkara yang lebih memilukan dan menyedihkan di dunia ini melainkan kehilangan ibu tersayang. Jika anda pengikut setia Zul Ariffin, pastinya anda mengetahui bahawa Zul sangat mengutamakan ibunya, Robiah Nasir dalam segala perkara.
“Ibu saya memang sakit jantung. Saya tidak sangka dia meninggalkan kami seawal ini kerana sebelum ini tidak tidak menunjukkan sebarang tanda.
“Saya reda dengan pemergiannya dan berdoa agar urusannya di sana dipermudahkan,” kata Zul dipetik dari sebuah portal tempatan.
Menurut portal Astro Gempak, Allahyarhamah akan dikebumikan selepas selesai solat fardu Zohor dan disembahyangkan di Masjid Sungai penchala.
Dalam masa yang sama, kekasih hati Zul, Zahirah Macwilson turut memuat naik gambar ucapan takziahnya mengenai berita kehilangan tersebut.
Salam takziah buat Zul Ariffin dan semoga pelakon lelaki ini tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan ibu tersayang yang pastinya tiada pengganti.
Sumber : Mynewshub
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kontroversi terus membayangi bola sepak negara apabila Harimau Malaya sekali lagi dihimpit berita yang mencalar imej dan kredibiliti pengurusan.
Belum reda isu naturalisasi yang melibatkan beberapa pemain sebelum ini, hari ini pasukan kebangsaan menerima satu lagi tamparan besar di peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kesalahan menurunkan pemain tidak layak dalam perlawanan antarabangsa Tier 1.
Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu.
Menurut laporan Harian Metro, FIFA mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA Edisi 2025 apabila pemain yang tidak memenuhi syarat kelayakan diturunkan dalam tiga perlawanan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya.
Tiga perlawanan yang terlibat ialah perlawanan persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada 29 Mei yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Selain itu, perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September yang sebelum ini dimenangi Malaysia 2-1, serta perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 8 September yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0.
Susulan keputusan FIFA, ketiga-tiga perlawanan tersebut kini diisytiharkan sebagai kekalahan buat Malaysia dengan jaringan 3-0. Keputusan ini bukan sahaja menafikan kemenangan di atas padang, malah memberi implikasi besar terhadap rekod dan reputasi pasukan kebangsaan.
Selain pengisytiharan kekalahan, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (kira-kira RM51,414). Hukuman ini sekali lagi mengundang persoalan tentang tahap pematuhan terhadap peraturan antarabangsa serta ketelitian pengurusan dalam mengurus kelayakan pemain.
Lebih membimbangkan, keputusan tersebut dijangka memberi kesan langsung terhadap kedudukan Malaysia dalam ranking dunia FIFA.
Penolakan mata daripada tiga perlawanan berkenaan berpotensi menyebabkan Harimau Malaya tergelincir beberapa anak tangga, sekali gus menyukarkan usaha untuk kembali bersaing di pentas antarabangsa.
Dalam perkembangan lanjut, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memahami secara terperinci asas hukuman yang dikenakan, namun pada masa sama tidak mampu memadamkan hakikat kesilapan yang telah berlaku.
Persoalan besar kini timbul — adakah episod ini akan terus menghakis kepercayaan penyokong dan peminat bola sepak tempatan terhadap pengurusan pasukan kebangsaan?
Harimau Malaya bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi simbol harapan dan kebanggaan negara yang sentiasa dinanti prestasinya.
MASKULIN percaya bola sepak negara memerlukan perubahan menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada keputusan di atas padang, tetapi juga ketelusan, kecekapan dan pematuhan terhadap peraturan di peringkat pentadbiran.
Revolusi yang dijanjikan perlu diterjemahkan dengan tindakan konkrit, bukan sekadar slogan.
Sayangilah bola sepak negara. Harimau Malaya berhak dibebaskan daripada kemelut yang berulang dan diberikan ruang untuk bangkit dengan maruah di pentas antarabangsa.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kemeriahan Festival ULTRA5G U Mobile: Cara U Sabah yang berlangsung dari 6 hingga 8 Februari 2026 di Jetty DBKK, Kota Kinabalu lalu dimeriahkan barisan artis yang cukup hebat!