Ads

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

tarung

Isnin lalu, penulis sempat menghadiri tayangan premier filem ‘TARUNG: Unforgiven’ yang berlangsung di GSC Mid Valley. Secara jujurnya, penulis dapati suasana pada malam itu sendiri sudah cukup memberi bayangan bahawa filem ini bukan projek biasa-biasa.

Pada hemat, ia antara sesi tayangan premier filem tempatan terbesar pernah diadakan di Malaysia. Tidak lari dengan angka 1,500 orang hadir memenuhi ruang acara dan pawagam.

Bukan sahaja dihadiri penggiat seni dan rakan media, tetapi turut diserikan dengan pelbagai lapisan figura industri hiburan, content creator, influencer dan wajah-wajah popular yang datang memberikan sokongan.

Dari luar sebagai pemerhati, penulis boleh katakan bahawa ‘TARUNG: Unforgiven’ jelas hadir dengan perancangan yang cukup tersusun, bukan sahaja dari sudut pembikinan, tetapi juga pemasaran, positioning dan cara filem ini dibawa kepada khalayak.

 

Lihat siaran ini di Instagram

 

Siaran dikongsi oleh MASKULIN (@maskulinmag)

Ia terasa seperti sebuah projek yang tahu apa yang ingin dicapai. Bukan sekadar mahu tayang filem aksi, tetapi mahu membina satu momentum. Dan momentum itu jelas terasa pada malam tayangan premier tersebut.

LAPISAN CERITA LEBIH LUAS & GELAP

Pada dasarnya, ‘TARUNG: Unforgiven’ ialah sebuah filem aksi yang memaparkan kisah seorang anak muda dengan sejarah pergolakan emosi tersendiri, sebelum akhirnya terjerumus ke dalam dunia pertandingan gelanggang tarung.

Tetapi di sebalik premis yang nampak lurus itu, filem ini sebenarnya mempunyai lapisan cerita yang lebih luas dan gelap.

Di lapisan kedua, filem ini memperkenalkan sebuah organisasi bergelar MARGA, sebuah kumpulan ala-kongsi gelap yang merajai ibu kota melalui pelbagai bentuk jenayah terancang.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat
MARGA

Kehadiran MARGA menjadikan dunia dalam filem ini lebih ganas, lebih berbahaya dan lebih menekan. Ia bukan sekadar tentang siapa paling kuat di gelanggang, tetapi siapa yang mampu bertahan dalam sistem yang sudah lama rosak.

Filem ini berpusat kepada Hatta, seorang bekas pesilat yang hidup dalam bayang-bayang masa lalunya. Selepas satu insiden besar yang bukan sahaja mengubah jalur hidupnya, tetapi turut memberi kesan kepada orang-orang di sekelilingnya, Hatta berdepan depresi dalam tempoh yang cukup panjang.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

Hatta bukan sekadar lelaki yang kehilangan arah. Dia ialah lelaki yang masih berjalan, masih bernafas, masih berfungsi, tetapi jauh di dalam dirinya, ada sesuatu yang sudah lama patah.

Watak Hatta dibawakan oleh Mierul Aiman, antara wajah hero Malaya generasi baharu yang semakin mendapat tempat dalam industri.

Menerusi filem ini, Mierul berjaya membawa Hatta sebagai seorang anak muda yang bukan sahaja bergelut dengan konflik jiwa, tetapi juga membawa rasa bersalah itu sehingga merentasi sempadan minda kepada perbuatan fizikal.

Ads

PERTARUNGAN FIZIKAL & MENTAL

Hatta bukan karakter yang sekadar marah, menumbuk dan berlawan. Dia ialah karakter yang setiap tindakannya terasa datang daripada luka lama yang tidak pernah benar-benar sembuh.

Hidupnya masih bergerak kerana tiga figura penting iaitu Ucop (Amir Ahnaf) rakan baiknya, kakaknya, Aisha (Sharifah Sakinah), dan juga anak saudaranya. Tiga individu inilah yang menjadi pautan terakhir Hatta kepada dunia yang masih cuba menyelamatkannya daripada terus tenggelam.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat ‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

Selain Mierul Aiman, ada tiga karakter lain yang benar-benar mencuri perhatian, iaitu Zul Ariffin sebagai Badrul, Bront Palarae sebagai Khalid dan Azira Shafinaz sebagai Dahlia.

Ketiga-tiga karakter ini membawa hubungan dinamik yang cukup kontras, dengan tenaga, niat dan sisi gelap masing-masing. Mereka bukan sekadar watak sokongan yang wujud untuk menggerakkan plot, tetapi mempunyai kehadiran yang kuat setiap kali muncul di layar.

Zul Ariffin seperti biasa membawa fizikaliti dan aura dominan yang cukup meyakinkan. Bront Palarae pula hadir dengan karisma tenang tetapi berbahaya, sejenis watak yang tidak perlu terlalu banyak bergerak untuk membuatkan penonton rasa tidak selesa. Namun dalam kalangan mereka, persembahan Azira Shafinaz sebagai Dahlia antara yang paling mencuri tumpuan.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

Azira benar-benar meletakkan dirinya sebagai antara aktres yang wajar diberikan perhatian lebih serius selepas ini. Ada ketajaman dalam lakonannya, ada kawalan emosi yang kemas dan ada keberanian untuk membawa watak itu tanpa menjadikannya sekadar tempelan glamor.

Ads

Tidak keterlaluan jika dikatakan, dengan pilihan watak dan naskhah yang tepat, Azira berpotensi besar untuk menjadi antara calon pelakon wanita terbaik dalam mana-mana anugerah pada masa akan datang.

Satu lagi karakter yang menarik untuk diperhatikan ialah Isa, lakonan Aedy Ashraf. Watak ini mempunyai back story yang ada lapisan dan terhubung secara langsung dengan Hatta.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

Aedy membawakan Isa dengan pendekatan seperti chameleon. Ada banyak sisi dalam satu tubuh. Pada satu ketika dia kelihatan tenang, pada ketika lain dia boleh berubah sekelip mata apabila digerakkan oleh emosi. Karakter Isa menjadikan konflik dalam filem ini lebih peribadi, lebih tegang dan lebih menyakitkan.

PERTARUNGAN JIWA LELAKI

Namun selepas bercakap tentang persembahan barisan pelakon, perkara paling penting tentang ‘TARUNG: Unforgiven’ ialah apa yang sebenarnya cuba ‘dipertarungkan’ oleh filem ini.

Ya, ini sebuah filem aksi. Ya, ada gelanggang. Ada tumbukan. Ada darah. Ada koreografi pertarungan yang menjadi tarikan utama. Tetapi lebih daripada itu, ‘TARUNG: Unforgiven’ sebenarnya ialah sebuah karya tentang pertarungan jiwa lelaki.

‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat

Filem ini menyentuh bagaimana seorang lelaki yang dibelenggu rasa bersalah boleh perlahan-lahan terjerumus ke dalam dunia depresi.

Bagaimana seorang lelaki yang selama ini cuba kelihatan kuat akhirnya terpaksa berdepan dengan kebenaran yang paling dia takuti. Bagaimana seorang lelaki yang dilihat gagah, perwira dan tidak terkalah sebenarnya sedang dihantui bayangan sendiri yang penuh ketakutan.

Ads

Dalam banyak hal, filem ini terasa seperti sebuah filem untuk lelaki, dihasilkan oleh lelaki, tetapi bukan dalam maksud macho yang kosong.

Sebaliknya, ia cuba membongkar sisi lelaki yang jarang diberikan ruang dalam filem aksi arus perdana. Sisi yang rapuh. Sisi yang bersalah. Sisi yang takut untuk bercakap. Sisi yang memilih untuk berlawan secara fizikal kerana tidak tahu bagaimana hendak menyusun luka dalam bentuk kata-kata.

Stigma bahawa lelaki harus sentiasa kuat dilanyak habis-habisan oleh ‘TARUNG: Unforgiven’.

Filem ini mengupas pertarungan jiwa lelaki lapisan demi lapisan, tanpa perlu terlalu bersyarah. Ia menunjukkan bahawa kadang-kadang lelaki bukan kalah kerana tumbukan lawan, tetapi kerana perang dalam kepala sendiri yang tidak pernah selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: TARUNG: Unforgiven, Filem Aksi Sarat Wajah-Wajah Hero Malaya

LEBIH SEKADAR AKSI

Menariknya, ‘TARUNG: Unforgiven’ ialah sebuah filem yang cukup direct. Ia tidak memerlukan plot twist besar untuk mengejutkan penonton.

Ia tidak cuba menjadi terlalu bijak sehingga mesejnya tenggelam dalam gaya. Sebaliknya, mesej filem ini jelas terpampang di depan mata. Terpulang kepada penonton sama ada mahu menghadamnya sebagai hiburan aksi semata-mata, atau melihatnya sebagai sebuah kritik sosial yang pedih untuk ditelan, tetapi ada benarnya.

Dari satu sudut, filem ini memberikan apa yang penonton mahu daripada sebuah filem aksi tempatan berskala besar.

Tetapi dari sudut lain, ia juga membuka ruang untuk kita bercakap tentang isu yang selama ini jarang dipertontonkan secara serius, khususnya berkaitan kesihatan mental lelaki, tentang rasa bersalah akan masa lampau, tentang trauma yang bukannya satu jenaka dipandang remeh dan juga beban maskuliniti.

Secara keseluruhannya, ‘TARUNG: Unforgiven’ ialah antara filem tempatan yang wajib ditonton sepanjang tahun 2026. Ia hadir dengan pakej yang cukup meyakinkan dengan produksi yang kemas, barisan pelakon yang kuat, konflik emosi yang berisi dan mesej yang relevan dengan realiti lelaki hari ini.

Tahniah wajar diberikan kepada pengarah, Razaisyam Rashid, serta Amar Amir selaku penulis bersama dan Aedy Ashraf yang pertama kali menjadi produser bagi sebuah projek besar seperti ini.

‘TARUNG: Unforgiven’ bukan sekadar tentang siapa menang dalam gelanggang. Ia tentang lelaki yang akhirnya terpaksa bertarung dengan dirinya sendiri. Dan kadang-kadang, itulah pertarungan paling brutal.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah. 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
Lewis Hamilton

Lewis Hamilton Bakal Bersara? Spekulasi Tular Dinafikan, Ferrari Masih Percaya Kepadanya

Spekulasi Lewis Hamilton bakal bersara kembali hangat diperkatakan. Namun Ferrari masih percaya juara dunia tujuh kali itu belum selesai memburu gelaran kelapan.