Orang muda jangan bantah dulu. Bila bercakap bab poligami lelaki-lelaki muda ramai yang dabik dada dan kata.. ‘bukan saya’. Tunggu dulu, lelaki dalam lingkungan usia dua puluhan tidak sama dengan keadaan dan cara fikir lelaki lewat tiga puluhan dan awal empat puluhan. Ramai yang saya jumpa dulunya membantah keras isu poligami ini tetapi hari ini dia juga pengamalnya. Jadi lebih baik cakap beralas dan berlapik takut-takut nanti kena atas kepala sendiri. Perjalanan hidup ini masih jauh. Sebab Tuhan tahu naluri lelakilah maka dibenarkan lelaki kahwin sampai empat. Tetapi bukanlah bermakna semua lelaki boleh bercakap pasal haknya dan mengamalkannya tanpa menyemak diri sendiri dahulu.
Berikut adalah beberapa perkara yang mesti ada bagi seseorang yang berhasrat untuk berpoligami, kalau tidak baik seorang sahaja. Lebih aman, damai dan bahagia.
Lelaki itu perlu mampu
Mampu bukan bermakna asal ada duit, berpendapatan besar, berjawatan tinggi maka sudah layak. Mampu juga bukan sekadar dari segi fizikalnya sahaja tetapi batinnya mesti diambil kira juga. Bila sebut batin bukan tentang kepuasan seks sahaja, kepuasan batiniah yang lain seperti ketenangan, kasih sayang, perhatian, komunikasi dan kebahagian perlu dilihat juga. Sebab tujuan dibina satu-satu perkahwinan itu atas niat yang mulia. Mahu membangun ummah, mengembangkan zuriat dan melepaskan kehendak batin dengan cara yang halal. Yang lebih utama lagi kerana ia sunnah Nabi saw dan merupakan satu tuntutan agama.
Lelaki itu perlu adil
Adil ini bukan sekadar dari segi bilangan harinya tetapi juga dari segi pemberian nafkahnya. Di sini ramai yang terkeliru. Misalnya membelikan baju yang sama harga, sama kain dan sama fesyen kepada semua isteri bukanlah adil namanya. Bagi isteri yang suka batik sutera, maka seronoklah dia apabila kita belikannya batik sutera. Tetapi adakah isteri yang lain juga suka? Mungkin dia lebih sukakan baju moden. Maka kenalah belikan dia baju moden. Begitu juga isteri yang badannya besar perlukan kain ela yang lebih berbanding yang berbadan langsing. Jadi adil ini perlu menyeluruh dan kena faham betul-betul. Isteri yang ada empat orang anak pastilah nafkah yang diberikan kepadanya dan anak-anak lebih tinggi berbanding dengan isteri yang hanya ada seorang anak.
Lelaki itu perlu sabar
Bukan senang mahu bersabar terutamanya ketika diri diserang, dimaki, dicerca, dikata bertubi-tubi oleh para isteri. Ada ketikanya dihina. Tetapi ingat semula, siapa yang mulakan semua ini? Kitakah atau isteri? Kalau kita yang mulakan maka kasihanilah isteri. Tidak mungkin tidak boleh bersabar dengan kerenahnya. Hatinya terguris, kepercayaannya diragut, harapannya luluh. Dengan mengasihaninya maka kita akan lebih mengasihi. Biasanya, proses huru hara ini mengambil masa tiga tahun. Bukan tiada poligami yang berlaku dengan damai yang mana isteri pertama meminang isteri kedua, cuma bilangannya sangatlah sedikit. Ada ketikanya sekarang baru kita kenal isteri kita yang sebelum ini mungkin kita tidak pernah tahu atau terfikir. Oleh itu, perlu banyak bersabar. Usah asal ada masalah sahaja terus lafaz cerai. Hinggakan perkahwinan itu bagaikan satu barangan murahan pula.
Lelaki perlu bijaksana
Bukan senang mahu menjaga dua tiga hati dan membahagiakan dua tiga jiwa dalam satu masa. Tidak perlu bohong sunat atau temberang bagi menyelamatkan suasana atau meredakan keadaan. Yang penting perlu lebih bijaksana bagaikan menarik rambut dalam tepung. Bertindak ikut akal bukan ikut nafsu. Membuat satu-satu keputusan bagi kebaikan masa panjang bukan kepuasan sementara. Memberikan pandangan yang menguntungkan semua pihak bukan satu pihak sahaja. Semua itu memerlukan tahap kematangan berfikir yang tinggi. Tuhan jadikan lelaki dengan sembilan akal dan satu nafsu. Oleh itu gunakanlah kelebihan akan itu. Jangan pula cepat melenting dengan isteri yang memang tuhan berikan sembilan nafsu.
Lelaki perlu ada ilmu
Hanya lelaki yang berilmu sahaja yang layak berpoligami. Bukan sahaja berilmu tetapi beramal dengan ilmu-ilmunya itu. Ilmu ini bukan sahaja ilmu agama tetapi juga ilmu kekeluargaan dan keibubapaan. Kta tidak mahu lihat nanti kesan daripada poligami anak-anak terbiar dan akhirnya rosak kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang dari ayahnya. Semakin tinggi ilmu seseorang semakin benar pandangannya, bijaksana orangnya serta berfikiran jauh. Malah lelaki kena tahu bab-bab munakahad takut-takut nanti tercerai isteri tanpa disedari lalu hidup berzina sehingga ke penghujung nyawa. Ilmu-ilmu fardu ‘ain juga perlu didalami agar membolehkan lelaki mengajar anak isteri perkara-perkara harian yang wajib mereka ketahui. Kalau tidak dosa mereka kita juga yang kena tanggung semuanya nanti. Sanggup? Sedangkan dosa diri sendiri pun sudah banyak.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI