
Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru baru ini menyaksikan satu detik cukup menyentuh hati apabila seorang bapa dan anak berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) bersama sama selepas melalui perjalanan akademik yang penuh cabaran selama beberapa tahun.
Lebih manis, kedua dua mereka bukan sahaja mendaftar pengajian pada tahun yang sama, malah turut berkongsi pentas menerima ijazah dalam majlis konvokesyen yang berlangsung pada 6 Mei lalu.
Kisah inspirasi itu melibatkan Dr. Jafni Ghazali, 60, dan anak sulungnya, Dr. Nurul Huda, 29, yang berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Pengurusan Perniagaan selepas memulakan perjalanan akademik tersebut pada tahun 2021.
Impian Yang Tersimpan Selama 30 Tahun
Menurut Dr. Jafni yang juga bekas Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, impian untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi sebenarnya sudah lama tersimpan dalam dirinya.
Beliau mendedahkan detik itu menjadi lebih bermakna kerana ia turut mengingatkannya kepada arwah ibunya.
“Alhamdulillah, kira kira 30 tahun lalu arwah ibu bertanya apa hasrat saya dan saya jawab mahu belajar sampai habis. Hari ini, impian itu tertunai,” katanya.
Menariknya, keputusan untuk menyambung pengajian bermula ketika beliau menemani anak sulungnya mendaftar di UiTM Permatang Pauh.
Daripada sekadar menemani anak, ia akhirnya menjadi titik permulaan kepada perjalanan akademik yang luar biasa buat mereka berdua.

PhD Bukan Perjalanan Mudah
Walaupun berjaya menamatkan pengajian bersama, Dr. Jafni mengakui perjalanan mendapatkan PhD bukan sesuatu yang mudah.
Sebagai seorang pendidik ketika itu, beliau perlu membahagikan masa antara kerjaya dan penyelidikan akademik sebelum akhirnya bersara kira kira tiga tahun lalu.
Namun, kehadiran anak sebagai teman seperjuangan menjadi kekuatan terbesar sepanjang proses tersebut.
“Saya akui PhD bukan mudah dan perjalanannya memang kena laluinya sendirian, tetapi saya beruntung ada anak bersama sama untuk kami berkongsi perjalanan pengajian ini,” ujarnya.
Dari Bapa & Anak Jadi Rakan Seperjuangan
Bagi Dr. Nurul Huda pula, pengalaman menerima ijazah bersama bapanya menjadi antara momen paling bermakna dalam hidup.
Kini bertugas sebagai Pakar Komunikasi Serantau di Kulim Hi Tech, beliau menyifatkan hubungan mereka sepanjang pengajian bukan lagi sekadar bapa dan anak, tetapi juga rakan seperjuangan yang saling menyokong.

“Terharu dapat menerima ijazah dengan ayah. Walaupun kami daftar pada tahun yang sama, kami tidak jamin akan habis pengajian bersama kerana PhD ialah perjalanan yang panjang,” katanya.
Lebih istimewa, ini juga merupakan pengalaman pertama beliau meraikan konvokesyen secara rasmi selepas tidak sempat menghadiri majlis graduasi terdahulu ketika menyambung pengajian di Universiti Manchester, United Kingdom akibat pandemik Covid 19.
BACA: ‘TARUNG: Unforgiven’, Filem Aksi Yang Sebenarnya Bercakap Tentang Stigma Lelaki Harus Sentiasa Kuat
Simbol Inspirasi Buat Ramai
Kisah dua beranak ini bukan sekadar tentang kejayaan akademik, tetapi juga simbol semangat, pengorbanan dan sokongan keluarga.
Dalam dunia yang sering melihat pendidikan sebagai perjalanan individu, mereka membuktikan bahawa impian boleh dicapai bersama sama.
Malah, kejayaan mereka turut menjadi inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu dan mengejar cita cita.
Perjalanan mendapatkan PhD sememangnya panjang dan mencabar.
Namun bagi Dr. Jafni dan Dr. Nurul Huda, perjalanan itu menjadi lebih bermakna kerana mereka melaluinya bersama.
Dari dewan kuliah hingga ke pentas konvokesyen, kisah mereka membuktikan bahawa sokongan keluarga mampu menjadi kekuatan paling besar dalam mencapai impian hidup.
Sumber: UTUSAN & Harian Metro
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




