
Dalam dunia kecergasan moden, lelaki hari ini semakin menuntut lebih daripada sekadar jam tangan pintar yang boleh mengira langkah atau kadar degupan jantung.
Mereka mahukan peranti yang mampu menjadi rakan latihan, penasihat kesihatan, dan pelengkap gaya hidup aktif.
Garmin menjawab keperluan ini dengan pelancaran dua jam tangan GPS terbaru mereka, Forerunner 570 dan Forerunner 970, serta monitor kadar denyutan jantung baharu, HRM 200 dan HRM 600.
Diperkenalkan secara rasmi oleh Garmin Malaysia pada 4 Jun 2025, kesemua peranti ini direka khusus buat atlet dan peminat sukan yang mahu membawa prestasi mereka ke tahap seterusnya.
Dengan fungsi terkini, reka bentuk premium dan ketahanan yang diperhalusi, Garmin terus membuktikan bahawa mereka kekal di hadapan dalam segmen jam tangan sukan berprestasi tinggi.
“Dicipta untuk setiap atlet yang berusaha mengejar matlamat dan sangat mengambil berat terhadap data latihan mereka, Forerunner 570 dan Forerunner 970 hadir dengan alat latihan inovatif, metrik pemulihan serta fungsi sambungan pintar untuk membantu mereka mencapai prestasi terbaik,” jelas Penolong Pengurus Besar Garmin Asia, Scoppen Lin.
“Sama ada anda seorang atlet elit yang sedang memburu masa terbaik peribadi, atau pelari biasa yang sedang menambah jarak untuk perlumbaan akan datang, jam tangan pintar premium ini akan menemani setiap langkah dalam perjalanan larian anda,” tambahnya lagi.
Forerunner 570 dan Forerunner 970
Forerunner 570 menampilkan skrin AMOLED paling terang setakat ini, dibina dengan reka bentuk butang lima dan sokongan sentuhan yang responsif.
Selain keupayaan asas seperti pemantauan denyutan jantung, VO2 Max, serta skor kesediaan latihan, jam ini turut dilengkapi speaker dan mikrofon terbina dalam untuk panggilan dan kawalan suara.
Untuk mereka yang mahukan lebih, Forerunner 970 hadir dengan bahan binaan premium seperti lensa sapphire dan bezel titanium, serta dilengkapi fungsi tambahan termasuk lampu suluh LED, aplikasi ECG, dan metrik lanjutan seperti running economy, step speed loss dan running tolerance.
Ciri-ciri ini membantu pengguna memahami kesan sebenar latihan terhadap badan mereka, dan merancang jumlah jarak larian mingguan yang ideal.
Kedua-dua model ini menyokong pelbagai fungsi pintar termasuk Garmin Triathlon Coach, cadangan latihan harian, serta integrasi penuh dengan aplikasi Garmin Connect.
Tambahan pula, hayat bateri yang ditawarkan adalah antara terbaik dalam kelasnya: sehingga 11 hari untuk Forerunner 570 dan 15 hari untuk Forerunner 970 dalam mod jam pintar.
HRM 200 dan HRM 600
Bagi mereka yang serius dalam latihan, HRM 200 dan HRM 600 membawakan pembacaan kadar denyutan jantung dan variabiliti kadar jantung (HRV) yang lebih tepat.
Kedua-dua model menyokong transmisi data masa nyata ke peranti Garmin lain, serta aplikasi latihan seperti Tacx dan Garmin Connect.
HRM 600 lebih menyeluruh dengan tambahan fungsi seperti rakaman aktiviti berdiri sendiri, dinamik larian lanjutan termasuk panjang langkah, imbangan masa sentuhan lantai dan step speed loss.
BACA: 3 Perkara Penting Perlu Diawasi Pada Kereta Ketika Cuaca Panas Seperti Sekarang
Ia turut hadir dengan bateri boleh dicas semula yang mampu bertahan sehingga dua bulan dalam satu cas.
Bagi pengguna yang menitikberatkan estetika, Garmin menawarkan pilihan warna menarik dan reka bentuk ergonomik.
- Forerunner 570 ditawarkan dalam dua saiz (42mm dan 47mm) dengan harga RM2,399.
- Forerunner 970 dengan saiz 47mm pula berharga RM3,269, hadir dengan promosi tali tambahan percuma untuk pra-tempahan.
- HRM 200 dan HRM 600 masing-masing berharga RM349 dan RM739, dan mula dijual pada 11 Julai.
Kesemua peranti ini boleh didapati di laman rasmi Garmin, Shopee, Lazada, AECO e-store, serta kedai fizikal Garmin dan pengedar sah seluruh negara.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI