Baru-baru ini viral di media sosial cara penghasilan kopi luwak yang membuatkan netizen dan khususnya penggemar kopi luwak terkejut. Malah, mereka tidak menyangka di sebalik harga yang mahal itu tersembunyi ‘rahsia’ kandungannya yang tidak dijangkakan.
Kopi merupakan sejenis minuman yang paling popular di dunia dan kebanyakkan daripada kita akan mengambil kopi pada pagi hari untuk membangkitkan semangat. Itulah sebabnya ada orang yang merasa hari mereka tidak sempurna dan tidak berfungsi jika belum minum kopi di pagi hari.
Kopi semakin hari kian berkembang di serata dunia dan pemasar kopi juga semakin rancak berusaha menghasilkan kopi yang terbaik untuk dijual kepada penggemar minuman kopi ini. Di antara berjuta-juta jenama kopi yang terdapat di dunia, kopi luwak merupakan kopi yang termahal di dunia. Biji kopinya mencapai harga sehingga USD100 per 450 gram.
Kopi ini dikenali sebagai kopi yang mahal kerana ia merupakan campuran biji kopi yang diambil dari sisa najis luwak atau musang.
Kopi Luwak sudah lama terkenal di kawasan Asia Tenggara, namun semakin menjadi perhatian peminat kopi gourmet setelah diiklankan pada tahun 1980-an. Siapa yang dapat menyangka biji kopi yang mahal ini sebenarnya adalah campuran daripada pencernaan seekor musang.
Bagi penggemar kopi, keenakan kopi luwak adalah berdasarkan kepada dua faktor iaitu haiwan berkenaan mahir memilih buah kopi yang terbaik untuk dimakan. Oleh itu, biji kopi yang diperoleh darinya mempunyai kualiti yang tinggi. Selain itu, ketika biji kopi dicernakan ia menyerap enzim di dalam saluran pencernaan haiwan tersebut. Hasilnya, rasa kopi itu seperti coklat dan tidak pahit.
Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatNya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 172 yang bermaksud:
“ Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”
Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah menetapkan bahawa: الأصل فى الأشياء الإباحة، ما لم يقم دليل معتبر على الحرمة iaitu hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagimana tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya. Ulama’-ulama’ fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut, selagi mana ianya tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.
Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan-pandangan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:
1. Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam
2. Biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.
Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
sumber: Bahagian Hab Halal, JAKIM
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI