Tidak sekadar meraih kejayaan di Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024M, anak muda ini turut cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Mewakili negeri Johor, Muhammad Asyraf Amir berjaya meraih markah sebanyak 97.33 peratus bagi Kategori Hafazan Tahap 1 hingga 20 Juzuk (Lelaki) sekaligus melayakkannya sebagai johan kategori itu di MTHQK2024.
View this post on Instagram
Kemenangan itu diserikan lagi dengan kecemerlangannya di bidang akademik apabila Asyraf berjaya meraih keputusan 12A dalam SPM.
Lebih menarik, Asyraf yang meraih 7A+ dan 5A itu terkenang bagaimana dia terpaksa mengejar masa apabila peperiksaan SPM bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan yang diambilnya dijadualkan hanya sehari selepas tarikh pertandingan hafazan di peringkat negeri tahun lalu, demikian ujarnya kepada Berita Alhijrah.
Memetik laporan Berita Tengah Hari RTM, Asyraf berkongsi bagaimana dia membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan menghafaz Al-Quran.
“Sesuaikan ikut keutamaan. Kalau sedang peperiksaan, kita utamakan peperiksaan. Sekiranya ada masa untuk Al-Quran itu baru kita selitkan. Jangan kosonglah, selitkan sikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat MTHQK20204 pada Selasa.
Dalam satu klip video temu bual berasingan yang dimuat naik di Instagram rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, Asyraf mengakui dia juga kadangkala tidak sempat melakukan murojaah (kaedah mengulang ayat Al-Quran untuk menghafal) disebabkan sibuk dengan kelas tuisyen dan sebagainya.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, Asyraf bersyukur dia masih diberikan kemampuan untuk mengimbangkan kedua-dua pelajaran dan hafazan atas bimbingan guru-gurunya.
Dalam pada itu, Asyraf menekankan kepentingan untuk mempelajari Al-Quran seawal usia
“Sebab bila kita makin besar makin banyak tanggungan, bila kita tak jaga Al-Quran itu betul-betul daripada masa kita kecil-kecil, maka bila dah besar itu dia akan jadi susah,” ujar Asyraf menerusi video itu.
Bagi kategori sama, naib johan disandang oleh wakil dari Perak, Muhammad Hakim Rusli dengan markah sebanyak 97.13 peratus manakala tempat ketiga disandang oleh wakil dari Melaka, Muhammad Abdullah Tuah dengan markah sebanyak 96.11 peratus, demikian menurut keputusan penuh yang dilaporkan Alhijrah Online.
Johan keseluruhan MTHQK2024 pula disandang oleh Negeri Sembilan Darul Khusus.
View this post on Instagram
Untuk rekod, MTHQK Tahun 1445H/2024M berlangsung selama enam hari di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula pada 23 hingga 28 Mei 2024.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Sumber: Berita Tengah Hari RTM, Alhijrah Online, Instagram @myjakim, Instagram Berita Alhijrah.
BACA: Qari Negeri Sembilan Jadi Juara Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2024
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI