
Kapten Scotland, Scott McTominay, mendedahkan dia terpaksa menjalani rawatan pada jantung hanya dua hari sebelum aksi pembukaan negaranya di Piala Dunia 2026, satu pengalaman yang disifatkannya sebagai antara detik paling mencabar sepanjang karier.
Pemain tengah Napoli berusia 29 tahun itu mengalami masalah degupan jantung tidak teratur atau arrhythmia ketika Scotland tiba di Amerika Syarikat pada Jun lalu. Ketika itu, ketiadaannya daripada sesi latihan pada awalnya dilaporkan berpunca daripada masalah perut sebelum keadaan sebenar diketahui kemudian.
McTominay akhirnya menjalani prosedur yang melibatkan renjatan elektrik kepada jantung bagi memulihkan ritma normal hanya dua hari sebelum Scotland berdepan Haiti dalam perlawanan pertama Piala Dunia.
“Saya terpaksa menjalani prosedur renjatan elektrik pada jantung saya dua hari sebelum perlawanan menentang Haiti.
“Itulah detik paling penting dalam hidup saya dan sentiasa ada rasa keinginan untuk kembali beraksi,” katanya.
Walaupun berdepan situasi itu, McTominay tetap beraksi dalam kesemua tiga perlawanan Scotland di Piala Dunia. Namun prestasinya tidak mencapai tahap yang biasa ditampilkan sebelum pasukan tersebut tersingkir di peringkat kumpulan.
Dari Katil Hospital Terus Ke Piala Dunia
Mengimbas kembali pengalaman tersebut, bekas pemain Manchester United itu mengakui situasinya jauh daripada persediaan ideal untuk sebuah kejohanan sebesar Piala Dunia.
“Saya 100 peratus cergas, tetapi apabila anda berada di atas katil hospital dua hari sebelum perlawanan pertama Piala Dunia dan bakal ditidurkan, ia memang bukan situasi yang ideal, bukan?
“Anda sudah membuat persediaan dengan begitu baik, saya berada dalam keadaan fizikal yang sangat bagus dan kemudian perkara seperti ini berlaku, anda mula terfikir, ‘Bagaimana perkara ini boleh berlaku kepada saya?’
“Ia sama sekali bukan alasan, tetapi ia sesuatu yang perlu anda lihat kembali dan berkata, ‘Baiklah, ini sebahagian daripada proses’.”

McTominay menjelaskan bahawa kesan pengalaman tersebut bukan hanya dirasai secara fizikal. Selepas Scotland tersingkir, dia turut memerlukan masa untuk menerima kekecewaan yang dialami.
“Dengan cara Piala Dunia itu berakhir, sekurang-kurangnya dua atau tiga minggu saya hanya duduk dalam keadaan kecewa dan secara mental tidak benar-benar berada dalam keadaan terbaik. Saya perlukan masa untuk bertenang dan berehat.
“Selepas Piala Dunia, ia mungkin kekecewaan terbesar yang pernah saya rasakan sepanjang karier.
“Saya sentiasa seorang yang melihat gelas sebagai separuh penuh, tetapi yang satu ini memang mengambil masa beberapa minggu untuk saya lepaskan daripada fikiran.”
Kenyataan itu menggambarkan bahawa tekanan seorang atlet elit bukan semata-mata datang daripada keputusan perlawanan. Dalam kes McTominay, dia terpaksa melalui kebimbangan mengenai keadaan jantung, rawatan kecemasan serta tuntutan untuk terus beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia dalam tempoh yang sangat singkat.
Masalah Kembali, Pilih Jalani Prosedur Pada September
Selepas Piala Dunia, McTominay kembali bersama Napoli dan memulakan musim baharu Serie A. Namun masalah degupan jantung tersebut terus memberi kesan kepadanya ketika kembali beraksi di Itali.
Selepas bermain dalam dua perlawanan awal liga, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan lanjut.
Pada September, McTominay menjalani prosedur cardiac ablation di Spire Manchester Hospital bagi merawat mild benign arrhythmia yang dialaminya. Napoli ketika itu mengesahkan prosedur tersebut berjaya dan pemain berkenaan diberikan tempoh rehat sebelum kembali menjalani latihan.
Cardiac ablation secara ringkas merupakan prosedur yang digunakan untuk merawat sesetengah jenis masalah ritma jantung dengan menyasarkan tisu yang menghasilkan isyarat elektrik tidak normal.

Rawatan tersebut menyebabkan McTominay terlepas aksi sepanjang September serta empat perlawanan awal Scotland di bawah pengendali baharu, Sebastien Pocognoli.
Namun selepas menjalani pemeriksaan susulan, dia dibenarkan kembali berlatih bersama Napoli pada awal Oktober. Sejak itu, McTominay kembali mendapat minit permainan secara konsisten bersama kelabnya.
“Saya Rasa Jauh Lebih Baik”
Kini kembali bersama skuad kebangsaan, McTominay berkata keadaan dirinya jauh lebih baik berbanding beberapa bulan lalu.
“Saya baik. Saya rasa jauh, jauh lebih baik daripada sebelum ini. Saya rasa ia sesuatu yang memang perlu dilakukan. Dalam karier, ada waktunya perkara seperti ini berlaku dan mengejutkan anda.
“Sudah tentu, ia nampak jauh lebih serius kepada orang dalam media, keluarga dan rakan-rakan yang menghubungi anda selepas melihat berita berkaitan masalah jantung. Tetapi ia sebenarnya prosedur yang agak mudah dan semuanya berjalan dengan sangat baik di Manchester.
“Saya cuma sangat gembira dapat kembali bermain bola sepak. Itulah perkara paling penting dalam hidup saya dan ia akan sentiasa begitu.”
BACA: Ubermen Aura EDP Tampil Dengan 4 Haruman Baharu, Lengkapkan Rutin Grooming Lelaki Moden
Kepulangannya memberikan suntikan penting buat Scotland yang sedang melalui kempen UEFA Nations League di bawah Pocognoli.
Scotland kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan B1 dengan empat mata selepas empat perlawanan, tiga mata di belakang Slovenia dan lapan mata di belakang pendahulu Switzerland. Mereka bakal berdepan North Macedonia di Hampden Park sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Switzerland.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
