
Kolaborasi UNIQLO dan JW ANDERSON kembali menerusi koleksi Musim Luruh/Sejuk 2026, kali ini membawa inspirasi daripada dunia teater, budaya akademik dan ekspresi seni yang lebih spontan.
Koleksi terbaharu itu mengetengahkan pakaian yang mengambil elemen klasik sebagai asas, sebelum diberikan sentuhan lebih kontemporari menerusi potongan santai, permainan warna, corak serta fungsi yang sesuai untuk gaya harian. Koleksi tersebut akan mula berada di pasaran Malaysia pada 16 Oktober 2026.
Tradisi British Diberi Nafas Baharu
Antara fokus utama koleksi kali ini ialah bagaimana gaya tradisional diterjemahkan semula tanpa menjadikannya kelihatan terlalu formal.
Bagi pilihan genderless, Short Blouson tampil dengan potongan lebih pendek dan siluet santai yang memberikan karakter moden. Untuk wanita pula, Padded Short Jacket menggabungkan struktur berisipadu lembut dengan elemen fungsi yang lebih praktikal.

Pilihan pakaian rajut turut diperluaskan menerusi sweater leher-V dan vest leher bulat dalam pelbagai warna serta corak yang lebih menonjol.
Untuk lelaki, antara item yang diketengahkan ialah Short Blouson, Lambswool Fair Isle Crew Neck Sweater dan Straight Work Pants, menawarkan kombinasi yang mudah digayakan secara berlapis tanpa kelihatan terlalu berat.
Mudah Digayakan Untuk Cuaca Lebih Sejuk
Koleksi ini turut memperkenalkan Windproof Fleece Jacket untuk lelaki dan Fleece Short Blouson untuk wanita, kedua-duanya direka untuk memberi keselesaan serta memudahkan gaya berlapis.
Bagi wanita, Pleated Skirt hadir dengan rekaan asimetri untuk menghasilkan pergerakan yang lebih dinamik.


Pilihan aksesori pula merangkumi stokin, stole, beanie dan beg yang boleh digunakan untuk melengkapkan gaya musim luruh dan sejuk.
Pengasas JW ANDERSON, Jonathan Anderson, berkata koleksi kali ini cuba menghubungkan kreativiti bebas dengan pengaruh tradisi.
“Musim ini mencerminkan pandangan dunia teater dan budaya akademik, iaitu titik pertemuan kreativiti tanpa batas.
“Dengan membina daripada gaya tradisional, kami menghasilkan koleksi yang menggabungkan warna, corak dan fungsi untuk dinikmati dalam pelbagai situasi harian,” katanya.
Variasi Pilihan
Dari segi harga, koleksi kali ini kekal berada dalam julat yang pelbagai mengikut kategori.
Pakaian luar ditawarkan pada harga sekitar RM179.90 hingga RM349.90, manakala kemeja bermula daripada RM129.90.
Koleksi pakaian rajut pula berada dalam lingkungan RM149.90 hingga RM199.90, sementara aksesori berharga sekitar RM129.90 hingga RM199.90. Pilihan bahagian bawah dan skirt pula disenaraikan pada harga RM149.90.

Secara keseluruhan, koleksi tersebut merangkumi 13 item wanita, 13 item lelaki dan tiga kategori aksesori, termasuk beg, beanie dan stole.
Koleksi penuh akan ditawarkan di butik UNIQLO terpilih di seluruh Malaysia serta menerusi platform dalam talian UNIQLO.
Kerjasama Yang Bermula Sejak 2017
Kerjasama antara UNIQLO dan JW ANDERSON bukan sesuatu yang baharu.
Kolaborasi pertama kedua-duanya diperkenalkan pada musim luruh/sejuk 2017 dengan matlamat menggabungkan warisan pakaian British bersama pendekatan LifeWear UNIQLO yang memberi penekanan kepada material, fungsi dan keselesaan.
BACA: Lari Sambil Berjalan Untuk 10km, Ini Strategi Hebat!
JW ANDERSON sendiri diasaskan Jonathan Anderson pada 2008. Sepanjang kerjayanya, pereka dari Ireland Utara itu telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk International Designer of the Year daripada CFDA pada 2023 serta beberapa kali dinobatkan sebagai Designer of the Year oleh British Fashion Council.

Untuk Musim Luruh/Sejuk 2026, identiti kolaborasi itu sekali lagi cukup jelas.
Daripada work pants dan sweater Fair Isle kepada jaket pendek serta aksesori bertekstur, koleksi ini tidak cuba mengubah pakaian klasik secara keterlaluan. Sebaliknya, elemen tradisional dikemas kini supaya lebih mudah dipakai dalam kehidupan moden.
Bagi lelaki khususnya, ia menawarkan pendekatan yang mudah untuk bereksperimen dengan gaya British berlapis tanpa perlu kelihatan terlalu formal.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
