
Pada usia 43 tahun, Kumaran Rengiah masih aktif bekerja, menyara keluarga dan mengumpul pingat larian. Jarak paling jauh yang pernah diselesaikannya ialah separuh maraton.
Namun di sebalik setiap kilometer yang ditempuh, tersimpan perjalanan hampir sedekad hidup dengan leukemia mieloid kronik atau chronic myeloid leukemia (CML), sejenis kanser darah yang memerlukan rawatan dan pemantauan berterusan.
Perjalanannya bermula pada penghujung 2015 apabila Kumaran mengalami penurunan berat badan tanpa sebab, kelesuan melampau dan sakit belakang sehingga mengganggu kehidupan sehariannya.

“Saya asyik terfikir, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada saya. Saya seorang yang aktif dan memikul banyak tanggungjawab. Saya ada keluarga, ramai yang bergantung harap pada saya. Fikiran saya tiba-tiba berubah daripada sangat positif ke sangat negatif,” katanya mengimbas sejarah diri.
Ujian darah kemudian mendapati jumlah sel darah putihnya terlalu tinggi sebelum dia dirujuk ke Hospital Ampang dan akhirnya disahkan menghidap CML.
Pada awalnya, Kumaran merahsiakan diagnosis itu daripada isteri dan ibunya selama beberapa bulan. Namun sokongan keluarga akhirnya menjadi antara kekuatan terbesar sepanjang rawatannya.
“Isteri dan anak adalah tonggak kekuatan saya. Apabila balik ke rumah dan melihat mereka, saya tahu itulah dunia saya. Merekalah penguat semangat saya untuk terus melangkah,” katanya.
25 Tahun Yang Mengubah Rawatan CML
Sempena Hari CML Sedunia 2026, tema Daripada Akses Kepada Pemantauan: 25 Tahun Kemajuan Rawatan untuk Setiap Pesakit CML menandakan suku abad sejak terapi bersasaran pertama diperkenalkan.
Kemunculan perencat tirosina kinase (TKI) telah mengubah cara CML dirawat sehingga ramai pesakit kini mampu menguruskan penyakit itu dalam jangka panjang.
Perbincangan mengenai CML juga bukan lagi tertumpu semata-mata kepada kelangsungan hidup, tetapi turut melibatkan kualiti hidup dan kemungkinan mencapai remisi bebas rawatan atau treatment-free remission (TFR) bagi pesakit tertentu.

Pakar Perubatan dan Hematologi, Dr Haris Abdul Rahman, berkata, “Kita tidak lagi hanya memikirkan soal kelangsungan hidup. Kita memikirkan tentang hidup dengan CML, dan kini, untuk pesakit tertentu, sama ada remisi bebas rawatan boleh menjadi pencapaian mereka yang seterusnya.”
Apa Sebenarnya Remisi Bebas Rawatan?
TFR membolehkan pesakit terpilih yang mencapai tindak balas molekul mendalam dan stabil menghentikan rawatan TKI di bawah pemantauan perubatan yang ketat.
Namun, TFR bukan bermaksud pesakit telah sembuh atau boleh berhenti mengambil ubat sesuka hati.
Menurut rencana tersebut, kira-kira 40 hingga 50 peratus pesakit yang layak kekal tanpa rawatan selepas mencuba TFR. Jika penyakit kembali dikesan pada tahap molekul, sekitar 90 hingga 95 peratus pesakit yang memulakan semula rawatan berjaya memperoleh semula tindak balas molekul mendalam seperti sebelumnya.
Bagi Kumaran, peluang itu membawa makna besar kerana dia perlu mengambil ubat dua kali sehari dengan jarak 12 jam serta mengatur waktu makan dan berpuasa sebelum dan selepas dos.
“Apabila sibuk bekerja, memang ada kecenderungan untuk terlupa. Jadi saya perlu merancang masa kerja dan waktu makan dengan jadual pengambilan ubat. Selepas beberapa bulan, rutin itu menjadi kebiasaan, tetapi kita tetap perlu berusaha mematuhinya sebaik mungkin,” katanya.

Selepas hampir sedekad menjalani rawatan dan ujian PCR secara berkala, dia berharap TFR suatu hari nanti menjadi pilihan.
“Jika doktor kata saya boleh, sudah tentu saya mengalu-alukan peluang itu. Jika doktor kata saya belum boleh, maka saya akan teruskan pengambilan ubat.”
Apa Yang Pesakit Boleh Lakukan?
Menurut Dr Haris, persediaan menuju TFR boleh bermula lebih awal walaupun seseorang pesakit belum layak. Antara perkara penting ialah:
- berbincang dengan doktor mengenai matlamat rawatan jangka panjang;
- mengambil ubat mengikut arahan dan tidak mengubah rawatan sendiri;
- memahami keputusan PCR serta tahap BCR::ABL1;
- bersedia menjalani pemantauan yang lebih kerap sekiranya rawatan dihentikan;
- memahami bahawa perlu memulakan semula rawatan bukan bermaksud seseorang itu gagal.
Untuk TFR dilakukan dengan selamat, pesakit juga memerlukan akses kepada pakar, ujian PCR yang boleh dipercayai serta sistem rawatan yang mampu bertindak dengan cepat jika tahap molekul meningkat.
“Kerjasama antara pesakit dan pasukan penjagaan kesihatan adalah teras kepada segala-galanya,” kata Dr Haris.
“Anda Sebenarnya Tidak Bersendirian”
Selain doktor dan keluarga, Kumaran turut mendapat sokongan melalui Max Family Society Malaysia. Pertemuan dengan pesakit lain yang terus menjalani kehidupan secara aktif membantu mengubah persepsinya terhadap kanser.
“Saya melihat sekeliling saya dan terfikir, mereka kelihatan baik-baik sahaja. Mungkin saya juga boleh begitu. Anda sebenarnya tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Dengan maklumat yang tepat, anda boleh mengambil tindakan yang betul dan meneruskan langkah,” katanya.
BACA: ASICS Raikan Semangat Larian Malaysia, Perkenal Koleksi KLSCM 2026 & 42 ‘Pacer’ Rasmi
Bagi Kumaran, TFR masih merupakan sebuah harapan, bukan sesuatu yang dijanjikan. Tetapi lelaki yang pernah takut tidak dapat melihat keluarganya membesar kini masih menjalani kehidupan sebagai seorang suami, bapa, pekerja dan pelari.
Pesanannya kepada mereka yang baru menerima diagnosis juga cukup ringkas:
“Jangan berputus asa. Dapatkan maklumat yang tepat, ikut nasihat doktor dan teruskan usaha.”
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
