
Menabung sering dianggap sebagai tugas yang sukar, tetapi dengan perancangan rapi dan disiplin, anda boleh mencapai matlamat kewangan anda.
Tahun 2025 boleh menjadi titik permulaan bagi anda untuk menyimpan RM5,000, walaupun dengan pendapatan sederhana. Artikel ini akan memberikan formula mudah dan langkah praktikal untuk membantu menabung dan mencapai sasaran tersebut.
Kenapa Perlu Menabung?
Menabung adalah asas untuk kestabilan kewangan. Dengan tabungan RM5,000, anda boleh:
- Menampung keperluan kecemasan.
- Melabur dalam peluang masa depan.
- Mencapai matlamat peribadi seperti melancong atau membeli barang berharga.
Formula Menabung
Untuk mengumpul RM5,000 dalam tempoh 12 bulan, anda hanya perlu menyimpan secara konsisten setiap bulan. Berikut adalah formula asas:
Jumlah Simpanan Bulanan = Matlamat Tabungan ÷ Jumlah Bulan
Dalam kes ini:
RM5,000 ÷ 12 bulan = RM417 sebulan
Sekiranya anda ingin mengurangkan beban, anda boleh membahagikan tabungan kepada mingguan:
RM5,000 ÷ 52 minggu = RM96 seminggu
Artikel Menarik: Cara Berjimat Dalam Perbelanjaan Bulanan, Kalau Buat Memang Sampai Boleh Menyimpan
Cara Menabung Secara Konsisten
Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh anda ikuti untuk memastikan tabungan anda berjalan lancar:
Tetapkan Matlamat Kewangan
- Kenal pasti matlamat anda dan tuliskan.
- Contoh: “Saya mahu simpan RM5,000 untuk dana kecemasan.”
Buat Bajet Bulanan
- Rekod semua pendapatan dan perbelanjaan anda.
- Tentukan jumlah perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
Potong Perbelanjaan Tidak Penting
- Kurangkan makan di luar, langganan yang tidak digunakan, atau pembelian impulsif.
Gunakan Teknik ‘52-Week Savings Challenge’
- Mulakan dengan menyimpan RM10 minggu pertama, RM20 minggu kedua, dan gandakan jumlah setiap minggu.
- Jumlah terkumpul selepas 52 minggu boleh mencapai hampir RM5,000.
Automatikkan Simpanan
- Tetapkan pemotongan automatik ke akaun simpanan setiap bulan pada hari gaji.
Gunakan ‘Tabung Berbeza’
- Asingkan tabungan untuk memastikan ia tidak bercampur dengan akaun harian.
Petua untuk Berjaya Menabung
- Konsisten dan Disiplin
Sentiasa ingat matlamat anda dan elakkan mengeluarkan wang kecuali untuk kecemasan. - Cari Pendapatan Tambahan
Lakukan kerja sambilan seperti menjual produk secara dalam talian, menjadi pemandu e-hailing, atau menawarkan perkhidmatan kemahiran anda. - Gunakan Aplikasi Kewangan
Aplikasi seperti DuitNow atau e-wallet boleh membantu anda merekod dan merancang perbelanjaan.
Motivasi Menabung
Menyimpan wang memerlukan komitmen, tetapi ganjarannya amat berbaloi. Setiap kali anda mencapai sasaran bulanan, raikan pencapaian kecil anda sebagai motivasi untuk terus berusaha.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda boleh memastikan tahun 2025 menjadi tahun yang penuh dengan kestabilan kewangan. Pastikan anda bermula sekarang dan jadikan menabung sebagai tabiat berterusan.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Mitos Mengenai Jerawat Yang Mungkin Anda Percaya Selama Ini

Jerawat adalah masalah kulit yang biasa dihadapi oleh ramai individu, terutamanya remaja. Walaupun banyak maklumat yang beredar mengenai punca dan cara mengatasi jerawat, tidak semuanya tepat. Dalam satu video temu bual dengan Maskulin, seorang doktor pakar kulit terkenal, Dr. Lim Ing Kien atau lebih dikenali sebagai Dr. Ingky telah menjelaskan beberapa mitos yang sering dikaitkan dengan masalah jerawat.
1. Jerawat Disebabkan Darah Kotor
Salah satu mitos yang sering kita dengar ialah jerawat disebabkan oleh darah kotor. Menurut Dr. Ingky, kenyataan ini tidak benar sama sekali. Beliau menjelaskan bahawa tiada kuman di dalam darah kita yang boleh menyebabkan jerawat.

Sebaliknya, jerawat berpunca dari permukaan kulit kita yang tercemar oleh kuman. Kuman ini biasanya wujud disebabkan oleh minyak berlebihan pada kulit atau akibat daripada penjagaan kulit yang tidak betul dan rapi.
Apabila pori-pori tersumbat oleh minyak dan kotoran, kuman mudah membiak dan seterusnya mencetuskan jerawat.
2. Makanan Bergoreng Cetuskan Jerawat
Ramai yang berpendapat bahawa pengambilan makanan bergoreng boleh mencetuskan jerawat. Namun, Dr. Ingky memberitahu yang terdapat sebuah kajian klinikal yang mengesahkan makanan bergoreng tidak mempunyai kaitan langsung dengan pembentukan jerawat.
Sebaliknya, makanan yang lebih berpotensi mencetuskan jerawat ialah makanan yang manis dan bergula.

Gula boleh menyebabkan peningkatan kadar insulin dalam badan yang seterusnya merangsang pengeluaran minyak berlebihan pada kulit, lalu mencetuskan jerawat.
Oleh itu, pencinta makanan manis dan hidangan pencuci mulut perlulah mengawal keinginan mereka terhadap makanan tersebut jika enggan berhadapan dengan masalah jerawat yang teruk.
3. Kerap Cuci Muka, Jerawat Tidak Akan Tumbuh
Ramai yang percaya bahawa dengan kerap mencuci muka, mereka boleh mencegah pertumbuhan jerawat.
Dr. Ingky menjelaskan bahawa walaupun rutin penjagaan kulit wajah yang rapi boleh mengurangkan kebarangkalian pertumbuhan jerawat, kebarangkalian itu masih tetap ada.

Hal ini kerana jerawat bukan sahaja disebabkan oleh kebersihan kulit, tetapi juga oleh pelbagai faktor lain seperti genetik, hormon, dan persekitaran.
Faktor-faktor ini memainkan peranan besar dalam menentukan kesihatan kulit seseorang. Oleh itu, walaupun penjagaan kulit yang baik adalah penting, ia tidak menjamin kulit bebas jerawat sepenuhnya.
Pengetahuan mengenai mitos dan fakta sebenar tentang jerawat adalah penting untuk mengelakkan salah faham dan mengamalkan penjagaan kulit yang lebih efektif.
Dr. Ingky menekankan bahawa pemahaman yang tepat tentang punca jerawat dapat membantu individu mengambil langkah yang lebih bijak dalam merawat dan mencegah masalah kulit ini.
Oleh itu, penting untuk kita mendapatkan maklumat yang sahih dan berdasarkan kajian sebelum mempercayai sesuatu mitos mengenai jerawat.
BACA: Rutin Penjagaan Kulit Wajah Untuk Pemalas
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Terlalu Kerap Batuk, Jangan Anggap Itu Sakit Biasa

Demam disusuli tubuh menggigil waktu tengah malam kerana kedinginan adalah antara petanda paru-paru dijangkiti kuman atau lebih dikenali sebagai pneumonia.
Gejala lain yang biasa dialami pesakit pneumonia adalah batuk yang mengeluarkan kahak yang kadangkala berwarna kuning atau hijau serta mengalami sesak nafas. Jangkitan kuman menyebabkan pundi atau alveoli di dalam paru-paru yang berfungsi menyerap oksigen dipenuhi cecair yang menyukarkan pesakit untuk bernafas.
Organisma yang paling kerap menjadi punca pneumonia adalah Streptoccocus pneumoniae iaitu sebanyak 50 peratus dan 20 peratus lagi disebabkan Haemophilus influenzae.
Kanak-kanak muda, pesakit tua, perokok, pesakit yang mempunyai penyakit kronik lain seperti kencing manis adalah golongan paling berisiko mengalami pneumonia.
Membunuh empat juta setiap tahun
Secara global, pneumonia dijangka akan dihadapi oleh kira-kira 450 juta pesakit dan membunuh empat juta orang setiap tahun. Dengan rawatan sewajarnya pesakit akan pulih dalam masa tiga hingga tujuh hari sekiranya jangkitan yang dialami tidak terlalu teruk.
Sekiranya jangkitan lebih serius, pneumonia boleh membawa kepada penyakit paru-paru bernanah dan bagi pesakit yang tenat, mereka perlu diberi bantuan pernafasan dan malangnya ada yang maut.
Rawatan biasanya dengan mendapatkan rehat secukupnya, pengambilan ubat antibiotik, ubat mengurangkan demam seperti paracetamol serta kemasukan air menerusi salur darah (IV). Sesetengah pesakit mungkin memerlukan oksigen dalam tempoh diperlukan serta bantuan fisioterapi untuk membantu mereka mengeluarkan kahak.
Pesakit yang tenat memerlukan alat bantuan pernafasan bagi membantu mereka mendapatkan oksigen.
Kanak-kanak, orang tua berisiko tinggi diserang
Kadar kematian akibat pneumonia boleh mencecah sehingga 10 peratus disebabkan kekurangan oksigen, jangkitan kuman yang terlalu kuat untuk sistem pertahanan badan atau disebabkan organ lain tidak cukup kuat. Kebanyakan pulih sepenuhnya tetapi bagi sesetengah pesakit, terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga tua, pneumonia boleh mengurangkan kekuatan paru-paru mereka.
Paru-paru yang lemah akan mendedahkan pesakit sekali lagi kepada serangan pneumonia pada masa depan. Bagaimanapun, terdapat vaksin bagi melawan kuman Streptococcus pneumoniae bagi mengurangkan risiko mendapat pneumonia bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
Vaksin terbukti mampu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini.
INFO: Gejala pneumonia
– Batuk.
– Demam.
– Bernafas termengah mengah.
– Menggigil dan gigil bergeser akibat kedinginan.
– Sakit dada yang semakin sakit apabila batuk atau ketika menarik nafas.
– Denyut jantung laju.
– Merasa letih atau sangat lemah.
– Loya dan muntah.
– Cirit birit.
# Bagaimana pneumonia bermula:
– Apabila kuman masuk ke dalam paru-paru semasa bernafas.
– Lebih cenderung dialami selepas mengalami demam dan selesema.
– Mengalami penyakit kronik dalam jangka masa panjang seperti asma, jantung, barah atau diabetes.
# Adakah paru-paru berair sama dengan pneumonia?
– Paru-paru berair berlaku akibat cecair berlebihan di dalam paru-paru
– Berpunca daripada penyakit jantung.
# Langkah mencegah pneumonia:
– Berhenti merokok.
– Elakkan diri daripada terdedah kepada menghidu asap perokok.
– Prihatin dengan keadaan persekitaran tercemar dengan melindungi diri.
– Senaman dapat meningkatkan stamina dan kekuatan paru-paru.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
HARAM Bagi Kedai Makan Tukar Jenama Minuman Coklat Murah, Tak Sama Dalam Menu – Mufti WP

Sebagai orang Malaysia sejak kecil lagi kita sudah didedahkan dengan minuman coklat dari jenama Milo. Dan popularitinya di negara kita memang tak dapat disangkal lagi hinggakan hampir semua restoran tempatan pastui terdapat hidangan Milo sama ada panas atau sejuk di dalam menu.
Namun seiring dengan peredaran zaman semakin banyak jenama berbeza minuman coklat ditawarkan di pasaran. Kebanyakannya berharga lebih murah daripada jenama Milo.

Jadi apabila terdapat lambakan jenama lain timbul persoalan bagaimanakah jika pengusaha restoran atau kedai makan mengiklankan minuman Milo dalam menu tetapi menggunakan serbuk coklat lain yang jauh lebih murah.
Persoalan inilah yang telah diajukan oleh seorang follower Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepadanya yang dikongsikan di laman Facebook beliau.
Follower tersebut bertanyakan apakah hukum sekiranya tauke kedai makan menukar serbuk Milo dengan serbuk coklaty yang lebih murah harganya dalam meningkatkan keuntungan.
Menururt Mufti Wilayah Persekutuan, hukumnya adalah HARAM dan BERDOSA!
Ikuti perkongsian posting terserbut di bawah!
AL-KAFI #1088: HUKUM TAUKE KEDAI MAKAN MENUKAR SERBUK COKLAT YANG LEBIH MURAH
Baca di laman rasmi PMWP: https://goo.gl/8UM9CS
SOALAN
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum sekiranya tauke sesebuah kedai makan menukarkan serbuk Milo dengan serbuk Coklat yang lebih murah harganya dalam meningkatkan keuntungan? Mohon pejelasan Dato’ Seri Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Mu’amalah jual beli di dalam agama Islam adalah harus dan dibolehkan. Islam juga tidak melarang umatnya untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam setiap jual beli yang dijalankan. Namun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang jelas agar mu’amalah yang dijalankan selari dengan kerangka syariat yang ditetapkan.
Antara syarat sah jual beli ialah saling reda meredai antara penjual dan pembeli. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Syeikh al-Maraghi berkata: Jual beli mestilah dijalankan dengan prinsip saling reda-meredai antara penjual dan pembeli. Oleh sebab itu, kecurangan, pendustaan dan pemalsuan merupakan perbuatan yang diharamkan dalam jual beli.
Maksud ‘batil’ dalam ayat ini bermaksud mengambil harta harta orang tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya atau dengan cara tipu daya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168-1169)
Dalam satu hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu dengan cara sukarela.”
Riwayat Ibn Majah (2185)
Jual beli yang harus dan menepati syarak memberi kesan dan implikasi akan bertukar pemilikan dengan syarat berlaku keredaan antara pembeli dan penjual. Berlainan pula jika dengan paksaan. Ia tidak dianggap memberi kesan tetapi barang jualan tetap milik penjual. Jika sekiranya berlaku bentuk jual beli dengan adanya akad yang diredhai bersertakan syarat dan mengikut syarak, maka dianggap muktabar. Ini kerana keredaan adalah perkara yang tersembunyi. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
أَنّ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه وسلم مَرّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ، فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلاً. فَقَالَ: “مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطّعَامِ؟” قَالَ: أَصَابَتْهُ السّمَاءُ يَا رَسُولَ اللّهِ! قَالَ: “أَفَلاَ جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النّاسُ، مَنْ غَشّ فَلَيْسَ مِنّي”.
Maksudnya: “Bahawa Rasul SAW melalui setumpuk makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah. Maka Baginda pun bertanya: “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Pemilik makanan menjawab: “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa kamu tidak meletakkan bahagian yang basah ini di atas supaya manusia dapat melihatnya, siapa yang menipu, maka dia bukan dariku.”
Riwayat Muslim (102) dan al-Tirmizi (1315)
Larangan terhadap amalan menipu dalam perniagaan amat jelas dalam hadis di atas. Perbuatan menukarkan serbuk milo kepada serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pembeli bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi adalah dikira sebagai menipu dan curang dalam perniagaan. Syarat sah jual beli juga menetapkan bahawa penjual dan pembeli mengetahui dengan jelas barang yang diniagakan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/13)
Dalam situasi ini, pembeli tidak mengetahui pertukaran tersebut sehinggalah barang tersebut diterima. Justeru, perbuatan tersebut adalah haram dan dilarang sama sekali.
Konsep keuntungan dalam Islam bukanlah diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara reda-meredai. Sekiranya, jual beli berlaku dengan cara yang tidak betul (menipu dan sebagainya), sudah pasti pembeli tidak lagi mahu mengulangi muamalah jual beli dengan penjual yang sama. Keuntungan juga boleh diperolehi dengan cara kepandaian, kecergasan dan ketelitian ketika bermuamalah.
Kesimpulan
Kesimpulan yang dapat kami simpulkan ialah, hukum perbuatan menukarkan serbuk milo dengan serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa. Ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar. Selain itu, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apa-apa ‘aib yang ada pada barangan yang diniagakan itu. Justeru, sekiranya perkara-perkara seperti di atas berlaku, maka penjual dikira telah menipu dan akad pembelian tersebut adalah tidak sah.
Kami cadangkan kepada pengusaha kedai kopi supaya sentiasa bertekad untuk meraih keberkatan dalam mendapat rezeki sebagaimana yang selalu kita doakan ketika membaca doa qunut:
وَبَارِكْ لَنا فِيمَا أَعْطَيْتَ
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan kefahaman kita dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik pada masa hadapan. Amin.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI